Pembangkang protes keputusan mahkamah pada majlis perasmian Parlimen
KUALA LUMPUR 10 Mac - Majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-13 hari ini dijadikan platform oleh pakatan pembangkang untuk membantah keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu.
Kesemua Ahli Parlimen pakatan pembangkang tidak menghadiri majlis perbarisan kawalan kehormat bagi menyambut keberangkatan tiba Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Ahli-ahli Parlimen pakatan pembangkang juga tidak menghadiri majlis santapan diraja yang diadakan selepas Seri Paduka menyempurnakan majlis perasmian itu.
Malah, mereka hanya memakai kot berwarna gelap dan bukannya pakaian istiadat seperti yang lazim dipakai pada majlis-majlis yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu adalah tanda protes terhadap keputusan mahkamah dan bukannya boikot terhadap perbarisan kawalan kehormat serta majlis santapan diraja.
"Semuanya agak jelas dan Ketua Pembangkang telah pun mempersembahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan Jumaat lalu kerana didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Berikutan keputusan itu, Ah li-ahli Parlimen pakatan pembangkang enggan menghadiri majlis perbarisan kawalan kehormat dan majlis santapan diraja tersebut serta akan memboikot sidang Dewan Rakyat esok.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menafikan keputusan memboikot sidang Dewan Rakyat itu ada kaitan dengan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Kajang) pada hari yang sama.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua memperlekehkan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan dalam kes Anwar dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari dengan menyifatkannya sebagai 'mahkamah kanggaru'.
Ahli Parlimen Batu itu juga seolah-olah tidak menghormati undang-undang apabila enggan mematuhi arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar pakatan pembangkang mematuhi garis panduan yang ditetapkan sekiranya ingin menganjurkan perhimpunan.
"Mengapa saya perlu beritahu Ketua Polis Negara? Rakyat sekarang ingin berhimpun untuk menyuarakan bantahan mereka dan bukan kesemua mereka ahli parti," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140311/po_01/Pembangkang-protes-keputusan-mahkamah-pada-majlis-perasmian-Parlimen#ixzz2vd55UzHi © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : BILA DAH TERSEPIT BARULAH KAU CARI AGONG YANG KAU CACI DAN YANG KAU NAK GULINGKAN... SEMOGA AGONG TERUS BERKECUALI DAN PEDULIKAN PERANGAI KURANG AJAR MEREKA... DAULAT TUANKU..
No comments:
Post a Comment