Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Sunday, 27 May 2012

Kereta Lokal Untuk Global!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN  
DARI KOSMA ONLINE


Menampilkan rekaan moden yang tidak dimakan usia.

PREVÉ bermaksud ‘to envision’ atau untuk membayangkan sesuatu pada masa depan. Justeru, Proton ingin menunjukkan kepada ramai bahawa model terbaharu itu adalah bukti kemampuannya untuk menghasilkan sebuah kereta dengan ciri-ciri global.

Maksud kedua pula, Proton ingin membayangkan kepada orang ramai, beginilah standard kenderaan Proton pada masa akan datang. Ia bukan sekadar produk, malah merangkumi standard perkhidmatan yang ditawarkan kepada pasaran.

Kiranya Prevé adalah suatu yang besar dan amat penting untuk Proton. Suka juga untuk saya kongsi, perkataan Sepanyol yang dipilih bukanlah sesuatu yang asing untuk Proton.

Contoh signifikan ialah Persona yang perkataan Inggeris itu sebenarnya berasal daripada bahasa Sepanyol! Lebih ironik, tiada maksud khusus Persona dalam bahasa Melayu. Apa yang ada adalah perkataan pesona yang bermaksud guna-guna, mantera, sihir dan fitnah. Mujurlah Proton menggunakan nama Persona, jika pesona yang dipilih pasti haru-biru jadinya.

Pada penghujung April lepas, saya berpeluang memandu uji Proton Prevé 1.6 CFE dari Cherating, Pahang ke Kuala Lumpur. Terus-terang saya katakan kereta dengan kos total projek RM540 juta itu mempunyai karakter berbeza dengan kereta buatan Jepun atau Korea Selatan.

Prevé 1.6 CFE terasa berat dan itu tidak bermakna lembap. Maksudnya kereta itu stabil pada kelajuan tinggi dan tidak terapung-apung. Rasa Prevé lebih kepada kereta buatan Eropah. Maka tidak hairanlah jika ada rebiu daripada media lain yang mendakwa mereka memandu jauh lebih tinggi daripada had kelajuan lebuh raya.

Output daripada enjin 1.6 turbo itu agak bertenaga. Padanan transmisi CVT tujuh kelajuan Protonic menjadikan jentera tersebut lancar ketika dipandu. Walau bagaimanapun, daripada maklum balas dalam dunia maya, ada yang mengatakan Prevé 1.6 CFE tidak seagresif Proton Exora Bold.

Iya, Prevé 1.6 CFE agak melahu dari kelajuan pegun. Namun itu hanyalah untuk beberapa saat sebelum prestasi sebenarnya menjelma di atas jalan. Menurut jurutera enjin Proton, karakter sebegitu memang sengaja dibuat untuk disesuaikan dengan rata-rata pemandu berkeluarga. Jika kereta bergerak secara menggelupur, itu namanya kereta drag dan bukan sedan keluarga.

Jika diperhatikan di atas jalan mahupun lebuh raya, ramai ketua keluarga yang memandu sedan mereka dengan laju. Menyedari hakikat itu, apa yang Proton buat adalah meningkatkan ciri-ciri keselamatan. 

Hasilnya, Prevé dilengkapi dengan struktur kukuh hasil penggunaan Hot Press Forming (HPF) pada 12 bahagian kereta dan menamakannya sebagai Reinforced Safety Structure (RESS) sebagai ciri standard. Bukan itu sahaja, Prevé 1.6 CFE turut dilengkapi empat beg udara, ABS, EBD dan tali pinggang praregangan. Satu ciri yang istimewa ialah ESC atau Electronic Stability Control sebagai bantuan pemandu untuk mengelakkan gelinciran sewaktu mengambil selekoh atau pun dalam keadaan jalan licin. Harus tahu bahawa tidak semua pemandu sukakan ESC kerana berpendapat sistem itu hanya menutup kelemahan sebenar pemandu. Ada pemandu yang sukakan sedikit gelinciran pada selekoh supaya mereka tahu had pemanduan mereka.

Tetapi, jika anda tergolong dalam kategori niche itu, usah risau kerana sistem tersebut boleh dimatikan hanya dengan menekan butang. Biarpun begitu, ESC akan dihidupkan kembali secara automatik apabila kelajuan melebihi 160km/j dan dimatikan semula di bawah kelajuan tersebut.

Bab pemanduan dan pengendalian (R&H), Proton memang handal. Saya tidak pasti sama ada Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang terkenal kerana jalan yang berombak sudah dibaik pulih atau R&H Prevé memang betul-betul bagus. Sebabnya, saya tidak rasa kereta beralun-alun malah agak selesa.

Bagi yang sudah terbiasa dengan pengendalian tajam pula, mereka akan berasa Prevé sedikit 'loose'. Ia bukanlah suatu yang negatif kerana Preve dibina untuk pasaran massa dan bukan untuk kelompok pemandu terpencil.

PREVE menjadi taruhan Proton untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna tempatan.

Dari segi estetik, ada yang jatuh cinta kepada Prevé 1.6 CFE dan tidak kurang yang memberi pelbagai komen pedas. Produk rekaan Proton|Design, jabatan yang bertanggung jawab mereka bentuk Prevé mengambil pendekatan rekaan tidak dimakan waktu.

Konsep rekaan tersebut terdapat pada model Proton lain seperti Waja dan Satria GTi. Maknanya, rekaan dua produk itu masih segar walaupun sudah lama dikeluarkan. Ada yang kata Prevé meniru kereta buatan Jepun, Korea Selatan dan Jerman.

Hakikatnya apa yang dibuat adalah mengikut trend bentuk kotak 2.5 (2.5 box), rupa tunggal (single face) dan sebagainya. Walaupun rekaan belakang Prevé menerima reaksi yang pelbagai, jika dilihat dari arah sisi kereta itu nampak seperti skulptur yang bergerak. Sewaktu berada dalam keadaan statik, Prevé nampak seperti sedang bergerak.

Kesimpulannya, jika disenaraikan peralatan serta ciri-ciri yang ada pada Prevé 1.6 CFE bolehlah dikatakan ia bernilai untuk wang. Ruang kabinnya luas dan bonetnya besar. Ditambah pula dengan kuasa dan ciri-ciri keselamatan yang ada, ia sangat sesuai untuk dijadikan kereta keluarga.

Cuma yang menjadi masalah ialah Proton sudah ada bukti yang mereka komited untuk menjadi lebih baik, namun tidak ramai percaya Prevé 1.6 CFE adalah suatu yang lain daripada Proton.

Apa boleh buat, kadang-kadang persepsi itu lebih penting daripada realiti. Proton perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan kepada umum, mereka sememangnya komited sebagai peneraju industri automotif negara!


No comments: