Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 10 May 2012

Berubah agar UMNO tak terhakis


Oleh Norfatimah Ahmad 
DARI BERITA HARIAN
2012/05/10


KUALA LUMPUR: Bakal mencecah usia ke-66 esok, UMNO perlu berani berubah bagi memastikan kekuatan parti itu tidak terhakis disebabkan perpecahan, rebutan kuasa dan amalan enggan memberi ruang kepada individu berwibawa menyertai perjuangannya.

Pandangan itu disampaikan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang khuatir masa depan parti itu terjejas tanpa perpaduan, selepas parti itu mengharungi pelbagai cabaran untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara selama ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun UMNO, tiba masanya kepemimpinan dan ahli UMNO diingatkan mengenai pentingnya kembali ke perjuangan asal dan mengutamakan kesetiaan kepada parti, bukan pemimpin atau individu tertentu.

“Kuasa akan terhakis kerana rebutan untuk jadi calon, ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian dan cawangan. Malah, perbuatan pengikut pihak yang kalah tidak beri kerjasama kepada pihak yang menang juga boleh menyebabkan UMNO lemah dan jika parti itu lemah tentu perjuangannya tidak akan berjaya sepenuhnya.

“Hakikatnya, ahli UMNO perlu mengutamakan parti, bukan pemimpin tertentu atau individu di mana-mana peringkat sekali pun, termasuk presiden dan ini perlu difahami setiap ahli kerana jika UMNO gagal, tidak mungkin ia dapat dipulih semula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, ahli dan kepemimpinan UMNO juga perlu sedar bahawa kemenangan sesebuah parti politik itu yang boleh menjamin kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

“Kemenangan individu di kawasan tanpa kemenangan parti tidak memberi makna kepada perjuangan, malah kemenangan itu pula datangnya daripada kekuatan tetapi jika kita berebut hingga jadi lemah dan gagal, tentu nikmat yang diperoleh selama ini tidak ada lagi,” katanya.
 
Mengenai pendekatan UMNO yang tidak menggalakkan kemasukan ahli berwibawa, Dr Mahathir berkata, amalan ini perlu diubah bagi memastikan UMNO tidak berhadapan masalah kurang keupayaan dari segi kepemimpinan.

“Kita dapati kadang-kadang nak cari calon yang elok, yang baik pun susah dalam UMNO, kadang-kadang orang kata nak cari calon jadi Menteri Besar (MB) cukup sukar sebab tidak ada ramai calon, tidak banyak pilihan, semuanya sebab kita tak beri masuk orang berpelajaran, wibawa dan cekap kerana kita lebih utamakan kedudukan.

“Ada yang bimbang jika individu ini masuk, mereka akan hilang peluang, inilah sikap yang ada dan jika ia berterusan UMNO tidak akan ada ahli,” katanya.

Mencadangkan supaya sejarah perjuangan dan asas kekuatan parti itu menjadi subjek kepada ahli UMNO, beliau berkata, langkah itu dapat menyedarkan ahli dan kepemimpinannya mengenai tujuan penubuhan dan peranan mereka dalam UMNO.

Mengenai generasi muda yang mempunyai pandangan tersendiri berkaitan politik tempatan, Dr Mahathir menegur sayap parti terutama Pemuda dan Puteri UMNO supaya lebih aktif dan mendekatkan diri kepada golongan muda.

“Pemuda dan Puteri UMNO perlu ambil tahu pemikiran generasi muda dan memperbetulkan pemikiran mereka kerana banyak persepsi mereka salah, tetapi jika tidak ada orang yang boleh betulkan persepsi ini, mereka akan terus berpegang kepada pandangan mereka yang salah itu.” katanya.

No comments: