Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 12 July 2011

SIAPA PETUALANG NEGARA?


Politik melampau Anwar
Oleh ZULKIFLEE BAKAR




ANWAR Ibrahim bersama Ambiga, Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang mengadakan sidang akhbar di Hotel KL Hilton sebelum mengadakan perhimpunan Bersih, Sabtu lalu.

PADA 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada kerajaan dan UMNO telah berjaya menggerakkan ribuan orang untuk mengadakan demonstrasi bagi membela dirinya yang kononnya teraniaya.

Hasilnya, pada 1999 apabila pilihan raya umum diadakan Barisan Nasional (BN) dan UMNO mengalami tamparan hebat apabila Pas berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu.

Selepas itu, arena politik negara kembali tenang memandangkan mulai tahun 1999 hingga 2004 Anwar sedang menjalani hukuman penjara.

Ketika itu tiada mana-mana pemimpin pembangkang sama ada dari DAP mahupun Pas yang mahu menjadi 'batu api' menghasut rakyat menentang kerajaan. Mereka sendiri pun tiada keupayaan apatah lagi selepas BN menang besar pada tahun 2004.

Bagaimanapun segala ketenangan itu hanya sementara, arena politik negara kembali panas apabila Anwar dilepaskan daripada kurungan.

Mulai 2005, Anwar mula mengatur strategi untuk menumbangkan kerajaan BN dan Anwar berjaya 'memperkudakan' pemimpin serta ahli Pas untuk turun ke jalanan pada 2007 untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil.

Kebijaksanaan Anwar memanipulasikan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan negara pada masa itu berjaya 'menyumbang' kejayaan besar kepada pembangkang apabila mereka menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, mempertahankan Pas di Kelantan dan menjadi kerajaan di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Namun kemenangan itu masih tidak mencukupi bagi Anwar kerana impiannya menjadi Perdana Menteri belum tercapai.

Oleh itu beberapa hari selepas pilihan raya umum 2008, Anwar menguar-uarkan bahawa pembangkang akan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang berikutan adanya Ahli Parlimen BN yang akan menyertai mereka.

Maka bergembiralah pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Pas kerana pada tanggal 16 September 2008 seperti mana dijanjikan oleh Anwar, mereka akan menjadi kerajaan.

Ada di kalangan mereka sudah bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet sehingga mengubah cara penampilan termasuk di Dewan Rakyat. Ketika pemimpin pembangkang terus berkhayal, negara pula berada dalam keadaan tidak stabil.

Janji 16 September telah menggugat bukan sahaja kehidupan rakyat tetapi juga ekonomi negara. Ramai pelabur asing melihat kestabilan politik Malaysia semakin tergugat.

Anwar tidak peduli, yang penting beliau menjadi Perdana Menteri. Tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan pembangkang bukan sahaja gagal ke Putrajaya malahan Anwar berhadapan dengan tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Berdasarkan kepada catatan berkenaan, jelaslah Anwar adalah ahli politik yang cukup melampau dalam segala tindakannya.

Keghairahan dan kerakusan untuk menjadi Perdana Menteri telah memungkinkan Anwar bersedia menggadaikan segala-galanya termasuklah hak orang Melayu dan agama Islam sekali pun.

Malahan keselamatan dan ketenteraman negara pun sanggup dipertaruhkan oleh Anwar demi impian politiknya. Apa yang berlaku pada Sabtu lalu sekali lagi menjadi bukti kerakusan nafsu politik Anwar.

Tetapi malangnya masih ramai yang menyokongnya, Anwar menerima sokongan padu daripada DAP dan sentiasa dilihat benar oleh Pas biarpun terdapat banyak bukti menunjukkan Anwar terlibat dalam perbuatan yang bercanggah dengan Islam.

Anwar amat memahami kelemahan DAP dan Pas tetapi mengakui kekuatan mereka. DAP boleh dipergunakan untuk meraih sokongan masyarakat Cina manakala Pas untuk meraih sokongan orang Melayu.

Namun dalam masa yang sama, DAP juga mempergunakan Anwar sehingga memungkinkan mereka memerintah Pulau Pinang dan menambah kerusi di Parlimen, selain itu perjuangan Anwar juga selari dengan mereka iaitu Malaysian Malaysia.

Tetapi dalam hubungan antara Anwar dengan Pas, Ketua pembangkang itu sentiasa untung dulu, kini dan selamanya. Pas telah dipergunakan oleh Anwar sepenuhnya bagi memantapkan kedudukan politik beliau.

Anwar bukan sahaja berjaya mempengaruhi sebahagian besar pemimpin kanan Pas menyokong apa juga tindakannya, malahan dalam apa juga isu termasuklah rakaman video seks baru-baru ini, Anwar diselamatkan oleh Pas.

Kesemua pemimpin kanan Pas termasuklah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta ulama-ulama parti itu mempertahankan Anwar.

Mereka menganggap semua itu fitnah dan konspirasi UMNO biar pun pakar luar negara mengesahkan bahawa rakaman video berkenaan adalah tulen dan 99.9 peratus pelakunya menyerupai Anwar.

Sebab itulah apabila Anwar turut berceramah mempertahankan dirinya, golongan yang paling ramai menyambut dan bersorak ialah ahli-ahli Pas.

Keadaan itu berlaku kerana Anwar yang disifatkan oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai anugerah Tuhan telah berjaya menanamkan politik kebencian di kalangan rakyat terutamanya orang Melayu yang ada di dalam PKR dan Pas.

Apabila kebencian sudah berjaya diterapkan, maka mudahlah Anwar melaksanakan agenda politiknya termasuklah juga mengarahkan ribuan penyokong Pas turun ke jalanan pada Sabtu lalu.

Walaupun perhimpunan haram itu anjuran S.Ambiga atas nama Bersih namun semua itu adalah perancangan Anwar.

Anwar begitu berharap perhimpunan tersebut mencetuskan huru-hara sebab itulah beliau melakukan provokasi dalam twitternya pada hari itu kononnya ratusan ribu rakyat sedang berhimpun di Kuala Lumpur, walaupun hakikatnya tidak sampai 10,000 orang yang datang.

Politik kebencian, pembohongan, penipuan dan memutarkan belit fakta yang diamalkan oleh Anwar disokong oleh DAP dan Pas kerana mereka mahukan kuasa.

Dalam soal ini, bagi DAP dan Pas sudah tidak ada lagi pertimbangan sama ada Anwar bertindak benar atau tidak, apa yang penting Anwar adalah 'political animal' yang paling sempurna untuk membolehkan pembangkang mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Anwar pun amat memahami keghairahan pemimpin DAP dan Pas tersebut, sebab itulah Anwar memiliki kekuatan luar biasa bagi berhadapan dengan BN, biar pun dirinya sendiri hakikatnya adalah insan yang paling tidak layak di muka bumi Allah ini untuk menjadi pemimpin.

Sememangnya, pendekatan politik melampau Anwar yang berlandaskan kepada 'matlamat menghalalkan cara' sudah banyak menyusahkan rakyat dan negara ini.

Mungkin Wan Azizah berhak menyatakan suaminya itu anugerah Tuhan namun kita berhak menegaskan bahawa Anwar bukannya dianugerahkan untuk membahagiakan rakyat atau mensejahterakan negara.

Sebaliknya bagi membolehkan rakyat khususnya orang Melayu mengenali sifat sebenar seorang pemimpin yang sanggup melakukan pendustaan, penipuan, pembohongan, hasutan dan sandiwara demi memenuhi impian politiknya.- Itulah Anwar Ibrahim!

KOMEN : DARKSIDE OF ANWAR....

2 comments:

Onna said...

peliknya..ada pengikut...mana akal mereka2 ini...ramai yang berpelajaran tinggi tapi macam takder otak..

Anonymous said...

Dulu pernah terdengar kata2 orang tua:
Menuntut ilmu itu satu hal....
dan untok mengamalkan nya satu hal yang lain!!!
Apa guna mempunyai ilmu yang tinggi...jika ia nya tidak memberikan munafaat (mengamalkan).