Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 7 July 2011

Kia Sportage


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my



KALAU diingat semula kira-kira sepuluh atau lima tahun lalu, kereta berjenama Korea jarang sekali berada di senarai teratas jika seseorang hendak membeli kereta baru. Bagi segelintir yang membelinya, tidak kiralah sama ada Hyundai atau Kia, ada beberapa sebab kenapa keputusan itu diambil.

Antara sebab popular adalah mahu lari daripada kebiasaan. Sudah tidak mahu pandu Proton atau Perodua. Selain itu, mahu mencuba produk baru. Siapa tahu, kereta itu mungkin bagus dan memuaskan hati.

Ketika ramai yang langsung tidak merungut, tidak kurang juga yang menyesal selepas membelinya. Bukan sahaja harga alat ganti yang boleh membuatkan pemiliknya menelan air liur malah nilai jualan semulanya yang teruk menjadi faktor utama kenapa jenama kereta Korea mula dipinggirkan.

Tetapi, itu cerita dahulu. Sekarang, kereta Korea sudah banyak berubah. Sudah mampu mencabar gergasi-gergasi automotif dari Jepun. Kalau dilihat sekali imbas, sukar untuk bezakan kereta Korea dengan model keluaran pembuat kereta terkemuka dunia yang lain. Jurang standard pun semakin mengecil.

Melantik Peter Schreyer sebagai Ketua Pegawai Rekabentuk mungkin tindakan paling bijak pernah dibuat oleh Kia. Bermula pada tahun 2006, bekas pereka bentuk Volkswagen itu mula menghasilkan rekaan-rekaan magisnya ke atas produk-produk baru keluaran Kia.

"Dahulu, kereta-kereta Kia sangat neutral. Apabila melihatnya di atas jalan, anda tidak tahu itu kereta Korea atau Jepun. Jadi, saya fikir amat penting kereta Kia dapat dikenal pasti sebaik sahaja ia dilihat buat pertama kalinya," kata Schreyer.

Gelombang kebangkitan
Schreyer mengangkat konsep 'hidung harimau' sebagai paksi rekaan gril korporat kenderaan Kia. Kini semua model Kia mengaplikasikan gril korporat tersebut. Di samping rekaan tubuh yang menarik dan kontemporari.

RUANG kokpit yang mengetengahkan rekaan moden dan futuristik.
Berikutan perubahan tersebut, gelombang kebangkitan Kia kian terasa terutama di pasaran-pasaran penting seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Menjadi antara lima jenama automotif paling pantas berkembang, Kia mencatatkan jualan mencecah 988,011 unit hanya dalam tempoh lima bulan tahun 2011. Angka itu mewakili pertumbuhan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Kia Malaysia (Naza Kia) menjadi penaung kepada jenama tersebut untuk pasaran tempatan. Sejak Disember tahun lalu, Naza Kia dilihat terus mengujakan pasaran dengan pengenalan model-model baru Kia.

Selepas model SUV Sorento, sedan popular Kia Forte yang ditambahbaik diperkenalkan. Tidak cukup dengan itu, model lebih sporty Forte Koup turut ditawarkan kepada pengguna pada Mac lalu.

Perubahan secara total
Terbaru, Naza Kia mengetengahkan model SUV kompaknya yang sudah lama ditunggu-tunggu, Kia Sportage. Memasuki generasi ketiga sejak diproduksi pada tahun 1993, nama Sportage tidak pernah ditukar. Itu adalah taktik pemasaran yang biasa diamalkan oleh pengeluar kereta bagi mengukuhkan lagi jenama dan model terbabit.

Kalau hendak dibandingkan dengan generasi sebelum ini, perbezaannya seperti langit dengan bumi. Sportage terbaharu mengalami perubahan secara total. Sama ada dari segi rekabentuk, prestasi, keselesaan serta teknologinya.

Jentera itu mengekalkan nilai-nilai kefungsian serta versatiliti Sportage sebelumnya. Tetapi dipakej dengan gaya yang lebih moden dan kemas. Penampilan luarannya diserlahkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.

Sementara bahagian dalamannya pula terasa mewah menerusi penggunaan material kulit berwarna hitam pada stereng, panel pintu dan tempat duduknya.

Pada harga cuma RM138,888 seunit, cuba lihat apa yang tidak ada pada Sportage. Ya, tipikal kereta Korea generasi baru, ia menawarkan segala ciri yang biasanya cuma ada pada produk lebih premium.

DARI KIRI: Pengurus Besar dan Ketua Operasi ASEAN, Kia Motors Corporation, S. P. Choi, Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Dilanda demam yang dipopularkan oleh Audi, Sportage tidak terkecuali dalam barisan model baru yang dipasang dengan lampu DRL (Daytime Running Lights). Itulah antara ciri-ciri premium yang saya katakan tadi.

Tidak cukup? Bagaimana dengan bumbung panoramik, paparan kamera mengundur pada cermin pandang belakang dan butang Start/Stop untuk menghidupkan enjin. Fungsi-fungsi itu pasti membezakan Sportage anda dengan SUV kompak yang lain.

Dilihat pada aspek keselamatan, Sportage adalah juara untuk segmen dengan harga di bawah takat RM150,000.

Sportage memperoleh rating lima bintang dalam penarafan keselamatan Euro NCAP. Memiliki enam beg udara, selain sistem ABS, EBD, Downhill Brake Control dan Traction Control System pasti membuatkan anda berasa lebih yakin ketika memegang sterengnya di atas jalan raya.

Sportage menggunakan khidmat unit enjin Theta II dual-CVVT bersesaran dua liter yang menjimatkan minyak. Enjin itu didakwa mampu menghasilkan kuasa sehingga 166 PS dan tork puncak mencecah 197Nm. Bagi menjamin kelancaran pemanduan, kuasa tersebut diagih menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Sasaran Naza Kia
Enggan menjadi SUV olok-olok, Sportage mengaplikasikan sistem pacuan All Wheel Drive (AWD). Pada kondisi pemanduan biasa, sistem tersebut menghantar 100 peratus kuasa tork kepada roda hadapan untuk meningkatkan kadar penjimatan bahan api.

Namun apabila gelinciran roda dikesan, peratusan kecil kuasa tork akan diagihkan kepada roda belakang. Ini bagi memastikan kestabilan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Kehadiran Sportage dilihat tepat pada masanya. Menjadi segmen paling pantas berkembang di Malaysia, jualan SUV kompak memperlihatkan pertumbuhan sehingga 85 peratus iaitu kepada 5,253 unit pada tahun ini.

"Dengan potensi itu, Naza Kia yakin Sportage akan diterima baik oleh pengguna. Apa yang dibimbangkan sekarang adalah dari aspek penawaran produk ini kepada para pelanggan.

"Apatah lagi, Sportage merupakan model kedua paling laku untuk pasaran luar Korea dengan volum mencecah 128,949 unit. Justeru, Naza Kia meletakkan sasaran sebanyak 200 unit Sportage dapat dijual setiap bulan," kata Ketua Pegawai Operasi, Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar.

Hanya satu varian, Sportage yang dijual di sini adalah sama spesifikasinya dengan model yang ditawarkan di pasaran luar negara.

Anda boleh memilih daripada lima warna menawan termasuklah putih, perak, oren, kelabu dan coklat. Lebih menarik lagi, ia hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had!

No comments: