Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 27 July 2011

Rangka 21 pejuang Iban kembali ke tanah kelahiran


Tangisan sambut 'kepulangan' pejuang Iban




WARIS keluarga Lawas Unggat (tunduk) bersama ahli keluarganya tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat keranda berisi rangka bapanya, Unggat Ujom yang tiba di Pangkalan TUDM, Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ HAMZAH

KUCHING 26 Julai - "Pulang jua kau akhirnya, aku rindu," Demikian ratapan Bedang Bagi, 84, sebaik sahaja menyambut ketibaan sisa rangka abangnya dan 20 pejuang Iban lain di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching di sini, hari ini.

Tangisan wanita warga emas itu mengundang simpati para hadirin, lebih-lebih lagi apabila dia memeluk erat dan tidak mahu melepaskan tajau berisi rangka mendiang, Rejap Bagi yang terkorban pada 1956.

Bedang juga beberapa kali memanggil nama abangnya dan meminta maaf kerana dia tidak pernah menziarahi pusara asal mendiang yang terletak di Semenanjung.

"Sudah lebih 50 tahun saya ingin melawat, namun tidak mampu ke sana. Bagaimana saya mahu melawatnya, terlalu jauh. Kami juga tidak tahu di mana tempatnya," katanya.

Rejap merupakan antara pejuang Iban yang terkorban ketika menentang komunis dan dikebumikan di beberapa perkuburan Kristian di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Lawas Unggat, 59, menyifatkan usaha membawa pulang rangka para pejuang tersebut amat bermakna kepadanya kerana ia dapat melepaskan kerinduan terhadap bapanya, Unggat Ujom yang meninggal dunia pada 1955.

"Sekurang-kurangnya, sekarang saya tahu di mana kubur bapa dan boleh ceritakan kepada anak cucu bahawa mendiang pernah berjuang menjaga keamanan negara," katanya.

Rehap dan Unggat merupakan antara 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis.

Kesemua pejuang tersebut akan dikebumikan semula di tapak perkuburan Kristian berhampiran Tugu Peringatan Wira Perang Dunia Kedua di sini, esok.

Rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 selamat tiba di bandar raya ini menerusi 'Ops Mai Pulai' (Ops Bawa Balik) kira-kira pukul 1 petang ini.

Sebaik sahaja tajau (tempayan) yang berisi sisa rangka tiba, satu upacara khas 'Miring Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan' disempurnakan oleh veteran perang, Kanang Langkau.

Turut hadir pada upacara berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Awi Suboh.

Anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang dibawa pulang tersebut ialah Ungkok Jugam, Jaweng Jugah, Unggat Ujom, Ugap Utut, Letan Kusing, Nyambik Pasang, Kumpang Tinggi, Bulan Kasau, Kelambu Gadung, Untang Engan, Rejap Bagi dan Entap Tulu.

Turut dibawa pulang ialah Nyantau Juna, Manit Cheling, Nyaru Talap, Mat Akit, Empati Dugu, Adrain Tandang, BS Utot Tanggang, Dampi Berain dan Janggak Ingkoi.

Sebelum ini, lima kumpulan khas ditubuhkan untuk menggali semula kubur mereka yang terletak di Alor Setar, Kedah; Batu Gajah dan Kamunting, Perak; Cheras, Kuala Lumpur; Terendak, Melaka dan Keranji di Singapura.

Kesemua pejuang tersebut akan dikebumikan semula di tapak perkuburan khas, Heroes Graves yang terletak berhampiran Tugu Peringatan Wira Perang Dunia Kedua di sini, petang esok.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual hadir pada upacara pengkebumian itu.

KOMEN : PERJUANGAN MEREKA MEMPERTAHANKAN TANAH AIR TETAP AKAN DIKENANG.. PLEASE REST IN PEACE...

No comments: