Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Thursday, 4 June 2009
UiTM Johor bina jaringan dengan sekolah
SEGAMAT 2 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor di sini mengambil langkah proaktif membina jaringan yang lebih terbuka dan dinamik dengan sekolah-sekolah di daerah ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (BPJI) universiti itu, Azizah Aris berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan sekolah mengenai usaha yang boleh dilaksanakan oleh UiTM di sekolah-sekolah berkaitan.
Menurutnya, BPJI yang baru diwujudkan itu adalah langkah untuk memperkasakan lagi penyelidikan, perundingan dan membina jaringan dengan pihak luar termasuk kerajaan negeri, industri dan masyarakat setempat.
"Kami melihat bidang pendidikan sebagai satu sasaran yang boleh diperluaskan peranannya dalam pembangunan masyarakat, khususnya yang berkait rapat dengan perundingan," katanya pada majlis taklimat pengurusan sekolah daerah Segamat di sini semalam.
Azizah berkata, UiTM Johor mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dan pihak sekolah sewajarnya merebut peluang tersebut untuk tujuan pembangunan pelajar, guru serta prasarana sekolah masing-masing.
Setakat ini, katanya lagi, universiti itu berjaya melaksanakan beberapa siri perundingan dan kerjasama termasuk penganjuran Wacana Intelektual secara berkala yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, program khidmat masyarakat, sekolah angkat dan bengkel pusat sumber sekolah peringkat daerah Segamat.
"Kami berharap dengan kerjasama yang terjalin melalui usaha penyelidikan, perundingan, inovasi serta jaringan industri dan masyarakat, UiTM Johor bakal menjadi sebuah pusat kepakaran di wilayah selatan Semenanjung," ujarnya.
Sementara itu, dua guru yang ditemui pada majlis itu menyambut baik usaha yang dilakukan oleh UiTM Johor kerana dengan kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi itu dapat membantu pihak sekolah dalam bidang-bidang tertentu mengikut keperluan masing-masing.
Noorwati Muda, 42, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Convent di sini berkata, jaringan ini memang wajar disambut baik kerana sekolah akan mendapat banyak manfaat daripadanya.
"Program Pengajaran Bahasa Inggeris kepada murid-murid di sekolah-sekolah luar bandar misalnya perlu dipertingkatkan kerana UiTM mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan," katanya.
Hamidah Ibrahim, 44, dari SK Gelang Cincin pula berpendapat, projek sekolah angkat yang dilakukan oleh UiTM selama ini perlu diperluaskan supaya lebih banyak sekolah akan mendapat faedahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment