Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 6 March 2014

Rayuan pendakwaan diteruskan


Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my




PUTRAJAYA 5 Mac - Sehingga ke saat-saat akhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berusaha untuk menangguhkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah pembebasan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Percubaan ad-hoc di mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan bahawa permohonan penangguhan interim (sementara) yang didengar pada pukul 4.30 petang tidak mempunyai sebarang merit.

Panel tersebut juga sebulat suara menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk menangguhkan pendengaran rayuan pihak pendakwaan yang dijadualkan esok dan lusa.

Yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Zaleha Zahari dan Datuk Ramly Ali.

Anwar melalui peguam-peguamnya, Karpal Singh dan R. Sivarasa memohon penangguhan pendengaran rayuan itu hari ini selepas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Isnin lalu yang menolak permohonan kali ketiganya untuk menyingkirkan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Pendengaran permohonan ad hoc itu dibuat selepas Karpal menemui Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di kamar hakim pada petang ini.

Alasan yang diberikan ialah panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi telah mengeluarkan penghakiman penuh berhubung keputusan yang dibuat pada 3 Mac lalu.

Selain itu, panel tersebut turut menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu atas alasan tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan itu ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan tersebut.

Mahkamah tersebut juga menyatakan terdapat elemen yang menunjukkan permohonan ketiga untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dibuat atas tujuan melengah-lengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput ekoran tiada sebarang perkembangan sejak Julai 2013.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pendengaran rayuan itu pula sebelum ini telah tertangguh sebanyak tiga kali.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140306/ma_02/Rayuan-pendakwaan-diteruskan#ixzz2v9C0QAlD  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: