HULU LANGAT 11 Mac - Barisan Nasional (BN) mempunyai formula terbaik untuk membuat kejutan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini, sekali gus merampas kembali kerusi tersebut dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jentera BN akan melancarkan gerakan ofensif bukan sahaja ketika menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan lawan, malah untuk mendedahkan belang sebenar pakatan pembangkang.
Pada masa sama beliau memberitahu, perbalahan besar yang berlaku antara parti-parti dalam pakatan pembangkang dan dalam kem PKR sendiri memberi kelebihan besar kepada BN dan masalah tersebut akan didedahkan secara terperinci kepada pengundi Kajang.
"Pakatan pembangkang fikir mereka gabungan yang mantap sedangkan jelas berlaku perbalahan besar sama ada dari segi dasar mahupun antara kepimpinan. Meskipun mereka cuba menafikan perkara ini tetapi hakikat tersebut tidak mampu disembunyikan lagi.
"Ini peluang besar untuk kita. Kita akan lancar gerakan lebih ofensif," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan semua ketua sayap pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO.
Pilihan Raya Kecil DUN Kajang yang terpaksa diadakan selepas Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa alasan kukuh menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, pertembungan satu lawan satu tidak menjejaskan peluang parti, sebaliknya yakin kelebihan dari segi integriti dan pengalaman akan menyebabkan pengundi memberi sokongan kepada Mei Fun.
"Saya percaya pemilihan Mei Fun adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas. Kerana itu saya yakin beliau perlu dan boleh diundi sebagai individu yang akan mewakili penduduk di Kajang," katanya.
Kepada soalan mengenai strategi kempen mungkin berubah selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak jadi bertanding, beliau mengakui BN akan melakukan sedikit penyesuaian kerana parti lawan menampilkan calon berbeza, tetapi fokus kekal sama.
Beliau juga menjelaskan BN tidak khuatir dengan strategi pembangkang untuk menjaja keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas kesalahan liwat kerana yakin pengundi sudah cukup matang untuk menilainya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140312/po_02/BN-ada-formula-terbaik-cipta-kejutan-di-Kajang---TPM#ixzz2vj0GijK6 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment