Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 14 July 2009

Tidak harus terhenti setakat mansuh PPSMI




Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

MAMPUKAH bahasa Melayu diangkat martabatnya hanya dengan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu? Atau keputusan kerajaan berbuat demikian hanya tertumpu kepada usaha untuk memastikan pencapaian cemerlang para pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran?

Mengaitkan kedudukan bahasa Melayu dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak enam tahun lalu sememangnya tidak salah.

Tetapi menjadikan alasan PPSMI sebagai faktor utama 'membunuh' Bahasa Kebangsaan adalah tidak tepat malah boleh saja dikatakan tidak betul.

Hasil pelaksanaan PPSMI menyebabkan keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik merosot. Data dan fakta mengenainya dibentangkan sebagai bukti. Namun tidak dibentangkan pula prestasi pencapaian para pelajar bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia begitu juga Bahasa Inggeris.

Apakah trend keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu - meningkat atau merosot atau mendatar? Tidak diketahui melainkan ada pihak yang berminat membuat rumusan.

Dan apabila banyak pihak mengalu-alukan pemansuhan PPSMI atas alasan mengembalikan martabat atau kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, maka komen mereka tidak harus terhenti setakat itu.

Ini kerana bahasa Melayu tidak akan dapat 'dimuliakan' sebagaimana Jepun dan Perancis mengagungkan bahasa ibunda mereka dengan hanya memansuhkan PPSMI.

Bahasa Melayu hanya akan menjadi relevan, berkesan dan tinggi kedudukannya jika rakyat Malaysia menghargai nilai serta peranan bahasa tersebut.

Paling penting apabila rakyat negara ini tanpa mengira bangsa tidak berasa malu bertutur dalam bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa untuk semua urusan.

Tetapi jika untuk urusan menamakan jalan pun masih riuh rendah bertelagah untuk menyeragamkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, inikan pula soal meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang dihormati dan dipandang mulia.

Begitu juga apabila Dewan Bahasa dan Pustaka umpama 'harimau tanpa taring' untuk melaksanakan fungsinya memartabatkan bahasa Melayu. Adakah PPSMI perlu dipersalahkan seratus peratus sebagai penyebab runtuhnya bahasa Melayu.

Sebab itu pemansuhan PPSMI sebenarnya bukan jawapan mutlak kepada langkah memartabatkan bahasa Melayu. Pengumuman kerajaan baru-baru ini sebenarnya jika diteliti secara tersirat lebih kepada soal pencapaian pelajar terutama di luar bandar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Selain itu tumpuan diberi kepada usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan pelbagai langkah baru dilaksanakan.

Justeru timbul persoalan apa lagi usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu selain memansuhkan PPSMI?

Adakah dengan mengembalikan bahasa ibunda bagi matapelajaran Sains dan Matematik cukup untuk memuaskan hati para pencinta bahasa tentang kedudukan bahasa Melayu sehingga mahu langkah itu segera dilaksanakan?

Ada bezanya apabila kita bercakap mengenai kedudukan bahasa Melayu dan pencapaian pelajar Melayu. Perbezaan itu mesti difahami.
Komen : Sebenarnya bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerajaan seharusnya tidak lagi melayan karenah orang-orang yang masih berselindung di sebalik bahasa ibunda untuk kepentingan agenda politik mereka. Bukankah untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan terpikul diatas bahu semua kaum yang ada di Malaysia. Sebaiknya sistem pendidikan yang sepatutnya ada di Malaysia hanyalah satu aliran bahasa sahaja. Kenapa perlu adanya sekolah beraliran cina dan india? Kenapa pejuang bahasa terhenti perjuangannya hanya sekadar untuk menghapuskan PPSMI? Kenapa kerajaan tidak mengadakan sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan kepada rakyat yang mahu meneruskan dasar PPSMI? Tidak mustahil bila sampainya pilihanraya umum nanti PPSMI akan dijadikan senjata kempen oleh pihak yang sekarang menyokong pemansuhannya untuk mendapat undi dari golongan yang tidak berpuas hati atas pemansuhan dasar ini oleh kerajaan...

2 comments:

Onna said...

Salam sayang,

Dah nampak dah...PRU akan datang undi tu cam nak rosak aje..hehehehe...

AJAI62 said...

Salam sayang

Bukan macam, rasa-rasanya memang dah rosak.