Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 15 July 2009

'Rintis penyatuan Melayu'




Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

IPOH 14 Julai - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan sealiran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah semua pihak harus mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

"Berpijaklah kepada kenyataan, berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim, hayati semangat bermaaf-maafan, bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

"Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad SAW itu ialah Rasul Junjungan, al-Quran itu kitab pegangan dan secara bersama menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara," titahnya.

Baginda menyatakan demikian dalam titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Dewan Bankuet bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Raja Nazrin menegaskan, budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah, yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah.

"Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?" titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa.

"Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang.

"Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu," titahnya.

Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

"Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

"Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil.

"Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah," titah baginda.
Komen : Apa kata pemimpin PAS nanti? Apa kata pemimpin parti yang tidak memperjuangkan Islam nanti? Bagi saya Melayu/Islam dari UMNO dari dulu memang mahukan perpaduan dan penyatuan Melayu bagi membina modal keupayaan umat yang kuat. Jadi untuk mencapai perpaduan ummah ni kita sebagai orang yang mengaku Melayu/Islam hendaklah meninggalkan pemimpin2 yang mengaku Islam tapi menolak perpaduan sesama Islam. Kita hendaklah menolak pemimpin politik yang menggunakan Islam sebagai modal menghalalkan politik songsang mereka. Kita paling perlu menolak secara total pemimpin yang bersekongkol dengan anasir luar untuk menghancurkan Bangsa Melayu/Islam dibumi Tanah Melayu. Sampai bila Melayu/Islam nak bertelagah? Sedangkan orang bukan Islam terus bertambah kuat perpaduan mereka. Bila kuasa politik dah tiada Melayu/Islam nak jadi apa?

No comments: