Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 8 September 2014

POLITIK : Pertembungan dalam Pas kritikal


PERWAKILAN ke Muktamar Tahunan Pas kini menjadi sandaran untuk memulihkan kedudukan dan maruah parti mereka. - Gambar hiasan

SEBELUM ini pemimpin, ahli dan penyokong Pas amat marah apabila mana-mana pihak merumuskan kerjasama atau tahaluf siyasi parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akhirnya akan menyebabkan Pas bagaikan 'lebai malang, menang sorak kampung tergadai'.

Malah pemimpin-pemimpin Pas juga menyanggah dengan keras dan menganggap dakwaan berlakunya pertembungan antara golongan ulama dan bukan ulama dalam parti tersebut hanya satu usaha memecahkan belah parti itu.

Selain itu, Pas juga memandang sepi amaran oleh banyak pihak bahawa di dalam parti tersebut sudah wujudnya satu kelompok yang lebih taat kepada pemimpin PKR dan DAP berbanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pas mentafsirkan pandangan atau amaran itu sebagai perasaan dengki, cemburu dan kegelisahan musuh-musuh politiknya termasuk media arus perdana terhadap kejayaan parti tersebut bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Pemimpin-pemimpin kanan Pas terus dibuai dengan 'cucukan jarum-jarum' yang menyatakan kerjasama itu akan menguntungkan mereka manakala kewujudan lebih ramai golongan bukan ulama akan memantapkan lagi perjuangan Pas untuk meraih sokongan pelbagai peringkat masyarakat.

Tetapi kini pandangan dan amaran itu sudah menjadi kenyataan. Pas berhadapan konflik dalaman serius yang mungkin mengulangi sejarah perpecahan parti itu pada tahun 1978 sehingga tertubuh Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang dipimpin oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhammad Nasir atau krisis politik 1982 dengan terdirinya Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) di bawah pimpinan bekas Presiden Pas, Tan Sri Mohd. Asri Muda.

Dan kini Pas berhadapan sekali lagi konflik dalaman apabila berlakunya pertembungan secara nyata golongan proulama dengan bukan ulama, atau ditafsirkan oleh orang sebagai perbalahan antara golongan ulama dengan sekelompok pemimpin yang lebih akur kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bermati-matian mahu mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pas dilihat begitu bijak menyembunyikan masalah dalaman mereka. Ia ibarat dua sahabat berada dalam satu selimut, waima kalau bergaduh sekalipun hanya mereka sahaja yang tahu.

Tetapi perbalahan kali ini sudah tidak boleh dibendung lagi, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru, bangkai tikus biarpun kecil pasti akan terhidu. Begitulah juga krisis yang berlaku dalam Pas, ia bukanlah sekadar berbalas cakap dalam mesyuarat tertutup tetapi sudah berbalas kenyataan dalam media secara terbuka.

Kewujudan apa yang dipanggil Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) telah membuktikan Pas berada di ambang perpecahan.

Persatuan itu dikatakan ditubuhkan bagi mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti itu akibat kebimbangan melampau kononnya ada usaha untuk membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

Tidak kiralah apa pun alasannya yang pasti, 'rumah tangga' Pas kini berantakan. Situasi itu sudah tentulah tidak akan menguntungkan parti tersebut sebaliknya akan menyebabkan ia menjadi lemah untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik negara.

Ketika PKR berjaya menyembunyikan kekalutan dalaman mereka berikutan kekecohan yang berlaku semasa pemilihan parti baru-baru ini, Pas pula terpaksa bergelut menyelesaikan krisis dalamannya.

Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Pas sudah membuktikan bahawa pertelagahan dalam parti itu sudah mencapai ke tahap serius.

Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad dalam blog beliau, khalidsamad.com secara terbuka mendakwa wujudnya satu kumpulan baru dalam parti tersebut.

"Mereka merupakan muka baru yang muncul kebelakangan ini iaitu pada tahun-tahun akhir 1990-an dan awal 2000... matlamat di sebalik strategi yang dilaksanakan adalah supaya pendekatan inklusif yang diguna pakai sekian lama oleh Pas sejak terlaksananya konsep kepimpinan ulama akan ditukar dengan pendekatan lebih syadid dan tertutup.'' tulis beliau.

Sambil menamakan strategi golongan itu sebagai 'Langgar Golongan Profesional', Khalid menegaskan, antara yang dilakukan ialah menyerang PKR, DAP dan Anwar.

Beliau juga menganggap kemunculan golongan baru itu melegakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa kelompok tersebut mahu Pas meninggalkan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Ketua Dewan Ulama Pahang, Mokhtar Senik dalam Facebook menulis, "Cukuplah fitnah kamu itu. Tiada siapa pun yang sedang kemaruk dengan apa yang kamu katakan Pas+UMNO atau UG (Unity Goverment) atau Pas tolak PR (pakatan rakyat). Apa yang ada ialah ulama dan profesional berdiri teguh di belakang presiden dan pimpinan parti yang setia kepada parti.''

Malah Mokhtar juga turut menulis; "Sejak sebulan yang lalu saya telah menulis memperingatkan ahli tentang jalur dan bentuk pemikiran mereka;

* Asalkan tidak setuju dengan cara Anwar maka orang itu dikira anti-PR.

* Tidak setuju dengan WA (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) sebagai Menteri Selangor maka dikira berminat dengan UMNO.

* Menyokong Presiden dan Ulama dikira UG.

* Mempertikaikan beberapa yang dilihat tidak menguntungkan Islam dalam PR dikira anti tahaluf yang diputuskan oleh ulama.

* Bila tidak setuju dengan pandangan seorang profesional maka dikira anti semua yang bergelar profesional.

Mokhtar mengakhiri coretan dalam laman sosial itu dengan menulis; "Untuk pengetahuan, kami...Pas bukan sahaja tidak berminat dengan UMNO, bahkan tidak berminat langsung menjadi kuda kepada siapa pun termasuk PKR dan DAP, lebih-lebih lagi suatu yang di luar keizinan syarak. Kita hanya bertahaaluf siyasi...Ingat itu...kita tidak lebih daripada itu."

Kenyataan kedua-dua pemimpin itu sudah membuktikan bahawa Pas kini semakin berpecah dan krisis kali ini dianggap oleh sesetengah pihak lebih buruk daripada apa yang berlaku pada 1978 dan 1982.

Seorang pemimpin Pas ketika dihubungi penulis mengakui bahawa, krisis dalaman parti itu boleh dianggap sudah kritikal.

"Dulu orang tak nampak sangat pertembungan antara golongan ulama dan profesional tetapi sekarang ia sudah berlaku secara terbuka,'' katanya.

Persoalannya apakah nasib Pas selepas ini? Apakah Pas mampu menanganinya secara musyawarah atau mampukah Pas meyakinkan orang Melayu dan umat Islam bahawa parti itu masih mampu membela serta memperjuangkan Islam sedangkan sudah terdapat pertembungan yang nyata antara dua kelompok dalam parti itu?

Kalaupun Pas mahu terus bersama dalam pakatan pembangkang, mampukah parti itu menunjukkan ketegasan supaya tidak terus dipaksa mengikut kehendak nafsu politik PKR dan DAP?

Oleh itu Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 yang akan diadakan di Batu Pahat pada 18 September ini dianggap platform terbaik kepada kepimpinan parti tersebut memulihkan keadaan khususnya dalam memulihkan maruahnya yang semakin tercalar.

Keadaan tersebut berlaku kerana memetik kata-kata Mokhtar, "kamu sedang menonjolkan diri sebagai hero menentang hantu yang kamu cipta sendiri.''

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140907/re_01/Pertembungan-dalam-Pas-kritikal#ixzz3ChDSaoOX  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: