Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 4 September 2014

POLITIK : Jangan cabar Perlembagaan, perundangan negara


KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini tidak seharusnya menggunakan kuasa serta pengaruh politik untuk mencabar perlembagaan dan sistem perundangan negara.

Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, pemimpin parti politik sepatutnya bijak menggunakan kuasa untuk membezakan antara kepentingan politik dengan manfaat sesuatu tindakan kepada negara.

Mengulas isu penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Shamrahayu berkata, pasukan itu jelas melanggar perundangan dan perlembagaan kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa kuasa menjaga keselamatan hanya diberikan kepada pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jelas ia adalah hak di bawah kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri.

"Sebarang perkara melibatkan ketenteraman awam adalah di bawah penyeliaan PDRM. Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin menubuhkan pasukan keselamatan, perlulah merujuk kepada pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Shamrahayu berkata, pemimpin politik juga perlu mendidik diri mereka untuk mematuhi perlembagaan dan peraturan negara supaya menjadi contoh kepada rakyat.

"PPS telah mencabar landskap perlembagaan dan perundangan negara. Sekiranya pemimpin sendiri tidak mengikut perlembagaan dan undang-undang sedia ada, maka mereka secara tidak langsung telah menggugat keharmonian dan perpaduan," katanya.

Pada Ahad lalu, polis menahan 156 anggota PPS sebelum dibebaskan kemudiannya atas jaminan polis kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tindakan itu disebabkan PPS adalah sebuah pasukan tidak berdaftar dengan ROS dan dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula dalam kenyataan medianya baru-baru ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri tetap mempertahankan PPS dan menyifatkan ia sebagai pertubuhan sah yang diluluskan kerajaan negeri sama seperti JKKK.

Lim berkata, PPS bermatlamat membantu kerja bantuan bencana dan kecemasan serta memberikan segala bantuan kepada pihak polis.

Shamrahayu berkata, penubuhan PPS tidak boleh disamakan dengan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kerana jawatankuasa itu ditubuhkan sebagai sebuah organisasi komuniti yang kecil untuk sesebuah kampung dan bukannya berperanan menjaga keselamatan rakyat.

Mengulas kes penahanan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang kuasa menjaga keselamatan negeri terletak di bawah kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam perundangan dan perlembagaan negara dan bukannya bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima pihak polis, terdapat anggota PPS yang melakukan tindakan di luar batas seperti memukul, mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang ramai. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140904/dn_03/Jangan-cabar-Perlembagaan-perundangan-negara#ixzz3CJLptl8w  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: