Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 17 March 2014

MH370 - Kotak hitam yang berwarna jingga







SETIAP kali terdapat kemalangan pesawat, pastinya kotak hitam menjadi keutamaan untuk dicari. Apa sebenarnya kotak hitam? Mengapa kotak hitam dicari? Dan mengapa ia dipanggil kotak hitam?

Kotak hitam atau black box ialah satu kumpulan peranti yang digunakan dalam bidang pengangkutan. Biasanya ia merujuk kepada perakam data penerbangan atau flight data recorder (FDR) dan perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) dalam pesawat terbang.

Fungsi dari kotak hitam sendiri adalah untuk merakam perbualan antara juruterbang dengan pengawal lalu lintas udara atau air traffic controller (ATC) serta untuk mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca semasa penerbangan.

Setiap penerbangan komersial diwajibkan membawa dua kotak hitam iaitu FDR yang mengandungi data tentang kelajuan, ketinggian dan arah pesawat, manakala CVR akan menyimpan perbualan kokpit, sebarang bunyi dan pengumuman.

Walaupun disebut sebagai kotak hitam, sebenarnya ia berwarna jingga atau oren dengan jalur putih yang mudah dilihat dan setiap satunya dianggar seberat tujuh hingga 10 kilogram.

Kotak hitam diperkenalkan untuk penerbangan pada 1960-an. Perakam penerbangan dibaluti kemas dengan besi tahan lasak yang mampu menahan daripada kerosakan walaupun direndam di lautan yang dalam.
Bertahan

Ia boleh bertahan pada kedalaman 6,000 meter di dalam laut serta boleh terdedah kepada suhu yang tinggi - satu jam dalam 1,100 darjah Celcius.

Ia dilengkapi dengan petunjuk yang boleh mengeluarkan isyarat selama satu bulan.

Kotak hitam berwarna jingga bagi memudahkan pencarian jika pesawat mengalami kemalangan.

Biasanya terdapat dua unit kotak hitam , satu diletakkan pada bahagian depan dan satu lagi di ekor pesawat - bahagian yang biasanya mudah ditemui selepas kemalangan.

Terdapat pelbagai cerita menarik dalam penemuan kotak hitam atau alat perakam dalam dunia penerbangan. Lebih-lebih lagi ketika berlaku kemalangan pesawat, biasanya pesawat akan hancur sehingga sukar dicari.

Ini telah mendorong seorang pakar letupan Dr. David Warren, menghasilkan peranti yang dapat merakam semua maklumat sebelum terjadi kecelakaan.

Ideanya diambil daripada sebuah alat pita perakam yang berukuran saku. Beliau kemudian mereka bentuk satu peranti untuk merakam semua komunikasi dalam penerbangan.

Merakam

Peranti berkenaan berupaya merakam suara juruterbang dan semua data yang diterima daripada lapan alat berbeza.

Semua data boleh dipisah dan menghasilkan data tepat mengenai punca kecelakaan.

Alat rakaman ini kemudian dimasukkan dalam kotak yang kuat bagi menghalangnya daripada hancur atau berkecai ketika kecelakaan pesawat.

Kotak ini kemudian dilapisi bahan tahan api sehingga kabel-kabelnya tidak rosak kerana panas.

Masalah lain ialah kebimbangan perbualan juruterbang selama penerbangan tersebar kepada masyarakat umum dan disalahgunakan.

Bagi mengatasinya, dicipta komputer khusus yang disambungkan kepada perakam dan dengan bantuan grafik bagi menghasilkan gambar daripada setiap kejadian.

Istilah kotak hitam muncul selepas penemuan perakam penerbangan komersial pertama yang dinamakan Red Egg kerana warna dan bentuknya.

Tapi seseorang memberikan komen: “Ini adalah kotak hitam yang menakjubkan".

Kotak hitam ialah istilah yang lebih humor dan hampir tidak pernah digunakan dalam industri keselamatan penerbangan.

Ketika insiden 11 September 2011 yang dikenal dengan 9-11, muncul saranan daripada pihak keselamatan penerbangan agar kokpit pesawat dilengkapi Video Data Recorder (VDR) yang merakam aktiviti dan situasi juruterbang semasa penerbangan termasuk minit-minit terakhir dalam kecelakaan untuk melihat situasi sebenar.

Pada Januari 2004, kotak hitam milik syarikat penerbangan dari Mesir yang terhempas di luar pantai Sharm el-Sheikh ditemui selepas usaha mencari dilakukan selama seminggu di kedalaman 1,022 meter di bawah laut.

Dalam tragedi Air France melibatkan penerbangan AF447 pula, kotak hitam ditemui selepas 23 bulan tenggelam pada kedalaman 3,900 meter di Lautan Atlantik yang telah membongkar rahsia pesawat itu terhempas pada 1 Jun 2009.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140316/lk_02/Kotak-hitam-yang-berwarna-jingga#ixzz2wBnJCUQ4  © Utusan Melayu (M) Bhd




No comments: