Azmi Hassan
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dilaksanakan di Laut China Selatan dan juga Selat Melaka sudah menjangkau hari ke enam, namun setakat ini tiada petunjuk positif yang dapat merungkai persoalan apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap pesawat MH370.
Operasi SAR yang membabitkan tiga negara utama iaitu Malaysia, Vietnam dan China turut melibatkan penyertaan beberapa negara lain iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Thailand, Australia, New Zealand dan juga Amerika Syarikat (AS).
Paling terkini India telah menawarkan kepakaran dan aset tentera mereka dalam membantu misi mencari MH370.
Selain daripada aset ketenteraan negara terlibat digunakan secara meluas, beberapa agensi berkaitan penerbangan awam seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dari AS dan juga agensi perisikan seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol) juga menghulurkan bantuan.
Begitu juga AS dikatakan telah menggunakan kecanggihan satelit perisikan mereka yang dapat mengenali objek sebesar 5 sentimeter tidak kira di lautan atau daratan adalah manifestasi bahawa semua negara mahu membantu merungkaikan misteri MH370.
Kerjasama yang dihulurkan adalah amat dihargai oleh Malaysia sebagai negara induk yang terlibat dalam operasi SAR kerana hakikatnya adalah kawasan pencarian adalah begitu luas kerana perairan Malaysia dan Vietnam sahaja sudah merangkumi lebih dari 30,000 kilometer persegi. Jika kawasan pencarian Selat Melaka diambil kira, Malaysia berseorangan sukar melakukannya.
Satu perkara yang paling menarik dalam kerjasama misi operasi SAR MH370 adalah ia melibatkan sempadan maritim Laut China Selatan yang dianggap begitu sensitif sekali.
Malaysia, Vietnam, Brunei, Filipina dan China terlibat secara langsung dalam kemelut sempadan bertindih yang masih tiada jalan penyelesaian sehingga hari ini.
Isu sempadan Laut China Selatan adalah begitu sensitif kerana Vietnam dan Filipina pernah berperang dengan China. Beberapa bulan lepas Malaysia telah membuat bantahan diplomatik kepada Beijing kerana kapal Pengawal Pantai China telah menceroboh perairan negara di Beting Serupai berhampiran Bintulu.
Sebab itu kerjasama yang dipamerkan oleh semua negara terlibat dalam operasi SAR dianggap begitu menakjubkan jika bersandarkan senario Laut China Selatan yang amat begitu sensitif sekali.
Umpamanya tidak timbul isu kedaulatan sempadan maritim dicabul apabila kapal perang Malaysia memasuki perairan Vietnam. Menarik juga diberitakan bahawa pihak berkuasa Vietnam turut memberi kebenaran kepada dua kapal perang China iaitu Kunlinshan dan Haikou memasuki perairan mereka dalam usaha memperkemaskan operasi SAR.
Hakikatnya adalah operasi SAR yang melibatkan banyak negara memerlukan koordinasi supaya ia mudah ditadbir urus. Ini adalah kerana setiap organisasi tentera mempunyai kaedah dan tatacara yang agak berbeza bagaimana mereka beroperasi.
Latihan ketenteraan di antara negara sama ada secara bilateral atau multilateral adalah kaedah termudah untuk mencapai koordinasi yang serasi di antara negara yang terlibat dalam operasi SAR.
Begitu kritikalnya latihan ketenteraan secara bersama ini amat menyerlah kerana selain daripada meningkatkan kerjasama dalam kalangan organisasi tentera negara peserta, ia juga boleh dijadikan landasan untuk mendalami setiap taktik dan strategi ketenteraan yang menggunakan peralatan tercanggih dan terbaru dalam operasi SAR.
Sebab itu dinilai operasi SAR yang melibatkan tentera Malaysia, Vietnam, Brunei, Singapura, Thailand dan AS berjalan dengan lancar kerana kesemua organisasi tentera negara tersebut sudah serasi dalam bentuk tadbir urus yang di amalkan masing-masing. Ini kerana kesemua negara tersebut terlibat dalam latihan ketenteraan yang dinamakan Cobra Gold.
Jika pada asalnya Cobra Gold diwujudkan sebagai pengekang pengaruh komunis negara Indo China yang begitu kuat pada tahun 70an, tetapi Cobra Gold hari ini adalah jauh berbeza daripada matlamat asal jika diteliti komposisi negara yang mengambil bahagian.
Malaysia yang menjadi negara pemerhati sejak 2003 telah menyertai Cobra Gold 2010 dengan status yang serupa dengan negara pemerhati lain seperti China, Jerman, Brunei dan Vietnam. Tetapi bermula 2011 Malaysia menyertai latihan tersebut sebagai ahli penuh.
Begitu juga latihan Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) menyerlahkan lagi betapa mudahnya untuk dua organisasi tentera membantu antara satu sama lain.
Perlu diungkitkan kerjasama ATM dan USF melalui CARAT adalah sudah buat sekian lama terjalin dan latihan terakhir diadakan pada Jun 2013 di sekitar kawasan Kemaman, Kuantan, Pekan dan Laut China Selatan adalah kali ke 19.
Jika pada era Perang Dingin, latihan ketenteraan di rantau ini lebih menjerumus kepada kekangan pengaruh komunis di Asia Tenggara. Tetapi setelah tamat era Perang Dingin latihan tersebut mula menumpukan kepada aspek kerjasama operasi tentera antara negara pada ketika kecemasan dan darurat.
Penyertaan negara yang terlibat dalam SAR MH370 dalam Cobra Gold dan juga CARAT secara sepenuhnya terbukti manfaatnya kerana ia telah memudahkan kerjasama operasi ketenteraan yang amat diperlukan seperti yang ditempuhi dalam operasi SAR MH370.
Semoga kerjasama di antara organisasi tentera yang terlibat dalam operasi SAR MH370 dapat mempercepatkan urusan merungkai misteri yang sehingga kini masih berdepan jalan buntu.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140313/re_01/Kerjasama-SAR-MH370-menakjubkan#ixzz2vot8JtQB © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment