Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 17 June 2011

Anarkisme hancurkan demokrasi


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)



WUJUD pendapat umum seolah-olah merusuh di jalan raya bagi membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai sesuatu perkara sebagai natijah daripada prinsip demokrasi.

Maka, usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menganjurkan perhimpunan jalanan pada 9 Julai ini seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk anarkisme yang kembali ingin dibudayakan dalam masyarakat Malaysia buat kali kedua.

Kali pertama dianjurkan pada 2007 dengan membawa alasan dan mesej sama, iaitu agar bakal berlangsungnya pilihan raya yang adil dan bersih. Makna sebuah pilihan raya yang bersih dan adil tidak dapat kita temui dalam pensyaratan yang ditetapkan oleh kelompok terbabit.

Sebaliknya, apa yang berlaku dalam perhimpunan pertama dahulu adalah kata-kata kesat, maki hamun dan seterusnya menghasut masyarakat agar membenci kerajaan yang memerintah.

Pada 2008, pilihan raya umum memberikan keputusan menampakkan sedikit kekuatan kepada pembangkang. Lantaran itu, mereka dengan sombongnya berkata bahawa tsunami politik telah berlaku dan bagi mengekalkan momentum itu, perarakan jalanan dan perhimpunan rakyat dilakukan dengan begitu angkuh.

Mereka merasakan ada kekuatan justeru dalam usaha memberikan gambaran kedudukannya yang dikatakan kuat, kelompok tersebut melakukan apa sahaja termasuk provokasi dan propaganda terhadap semua sistem yang masih dikekalkan oleh pemerintah.

Dalam Islam, ciri-ciri perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama, malah diharamkan sama sekali kerana ia akan memudaratkan baik secara fizikal ataupun psikologi.

Dengan berbuat demikian, perjalanan urusan harian di kawasan terbabit akan terganggu manakala rempuhan orang ramai akan menyebabkan terhentinya kegiatan ekonomi.

Apa yang akan berlaku ini pada hakikatnya adalah satu musibah dan ini akan menimpa siapa sahaja. Bagi merungkaikan kekusutan yang berlaku dalam masyarakat ini, Islam mencadangkan agar setiap daripada kita mengamalkan rasa keinsanan yang tinggi, iaitu kembali berdoa kepada Allah SWT.

Jangan sekali-kali kita pisahkan doa dengan persatuan dan kerja keras, kerana hal itu hanya akan membuat doa kita sia-sia. Dari keadaan inilah semakin terasa betapa pentingnya manfaat doa atau berdoa bagi kita.

Demikian juga kita digalakkan banyak membaca zikir baik berupa tasbih, tahmid, takbir atau tahlil juga merupakan jalan untuk menolak datangnya satu bencana itu.

Maka, apakah dengan cara keluar berdemonstrasi itu benar-benar merupakan hakikat daripada kesukaran dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat sebagaimana didakwa oleh pemimpin pembangkang yang menaja perhimpunan Bersih itu?

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikan kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi dan mengadakan kerosakan padanya dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternakan, dan Allah tidak menyukai kebinasaan” (Surah Al-Baqarah : 204-205)

Rasulullah SAW dalam sabda beliau yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, sangat mencela tindakan seperti itu : “Orang yang paling dibenci Allah SWT adalah penentang yang keras” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Tidak boleh bagi seorang muslim bermusuhan dengan saudaranya lebih tiga hari; saat keduanya bertemu, yang satu berpaling ke arah kanan dan satu lagi berpaling ke arah kiri. Paling baik di antara mereka berdua adalah yang mendahului mengucap salam” (hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, Rasulullah SAW melarang seluruh umat manusia, memusuhi saudaranya (manusia lainnya) lebih dari tiga hari tiga malam. Bila bertemu, yang satu berbelok ke sana dan satu lagi berbelok ke sini, saling memalingkan muka dan tidak mengucap atau membalas salam.

Hadis di atas menunjukkan kebolehan bermusuhan selama tiga hari, sebagai keringanan bagi umat manusia dan sebagai rahmat bagi mereka, sebab sebagaimana diketahui bahawa permusuhan itu akibat dari marah dan kebencian yang ada dalam diri umat manusia. Maka tindakan itu dimaafkan dan dibolehkan memusuhi saudaranya seagama selama tiga hari agar perasaan itu hilang.

Hari pertama, amarahnya akan tenang, hari kedua ia mencuba mengintrospeksi diri dan hari ketiga ia minta maaf. Jika lebih dari itu, bererti ia telah memutuskan tali silaturrahim atau memutuskan hak-hak persaudaraan sesama muslim.

Melalui surah al-Anfal ayat 9, Allah SWT telah memberikan ingatan "(Wahai Muhamad), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, Dia mengabulkan permohonanmu.” Peristiwa yang melatari ayat itu ialah Nabi Muhamad SAW ketika itu berhadapan dengan kesukaran dan kesulitan setelah mendapat tahu kekuatan tentera musuh tiga kali ganda besarnya dari tentera Islam. Allah SWT mengabulkan doa tersebut dengan menghantar seramai 1,000 orang tentera tambahan dari pasukan malaikat.

Ayat itu memberikan kita kaedah bagaimana untuk berhadapan dengan kekuatan lawan dan mengatasi kezaliman. Melalui Istighotsah sekurang-kurangnya ia merupakan satu ikhtiar melalui tindakan berdoa ramai-ramai memohon kepada Allah SWT di atas kekusutan yang melanda Negara sekarang ini. Istighotsah mempunyai ciri-ciri doa, tetapi ia bukanlah dalam situasi doa lazim.

Dalam sejarah Perang Salib, iaitu antara tentera yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart, tentera Islam yang dipimpin oleh Salehudin al-Ayubbi sanggup menghentikan serangan apabila melihat keadaan yang dialami pihak musuh. Salehudin memberikan peluang kepada tentera musuh memperbaiki kelemahan itu sehinggalah mereka benar-benar bersedia untuk berperang semula. Berdasarkan perspektif itu jelaslah bahawa cadangan untuk mengadakan perhimpunan Bersih adalah sesuatu yang bertentangan dengan nilai dan etika Islam.

Desakan mereka agar mengadakan dialog yang lebih baik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil adalah suatu helah yang cuba mengheret rakyat ke kancah kemelut politik yang lebih besar.

Usaha itu merupakan percubaan pemimpin tersebut untuk menguji pengaruh, dan kerana itu sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya, sistem yang pernah memberikan kemenangan kepadanya dulu dan sedikit peluang berkuasa sebagai tidak boleh dipertahankan, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka.Pemimpin sedemikian merupakan orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar. Mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar.

Jika ditangkap atas tuduhan merancang dan mengetuai rusuhan, namanya akan menjadi lebih besar walaupun imej tersebut sebenarnya dicipta dalam semangat anarkisme dan bertentangan dengan sifat-sifat keinsanan yang dibentuk oleh Islam melalui perantaraan kemurnian akhlak.

Rakyat bukan sahaja tidak sepatutnya menyokong anarkisme yang ingin dibawa oleh pemimpin tersebut, kerana ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan dan konflik.

KOMEN : BAGI YANG NAK SANGAT BERDEMOS TU, FIKIRLAH SENDIRI KEBURUKAN YANG AKAN TIMBUL DAN ADA KE KEBAIKAN YANG KITA DAPAT DARI KEGANASAN YANG KITA LAKUKAN...? FIKIR DAN TERUS BERFIKIR BAGI ORANG YANG WARAS...

1 comment:

Anonymous said...

KDG2 BUDAK YG X TAU APA PUN KENE 'KUDA' JUGAK DGN MAK BAPAK YG PENDEK AKAL. DIORANG INGAT DGN BERDEMO TU DAH KIRE GAH LA TUH!. MAJORITI RAKYAT MAKIN MENYAMPAH ADE LERR. KONON2 NAK BUAT KEBAJIKAN TP MAKIN ROSAKKAN PERIUK NASIK ORG JEK..HARKKK PTUIHH! KEHKEHKEH