Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 22 June 2011

'Asante Kwa' LID 2011


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my



Ketua-ketua Negara dan pemimpin kerajaan berjalan untuk menghadiri Sesi Pemukiman Forum Perniagaan Malaysia-Afrika (MABF) sempena Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 di Cyberview Lodge, Cyberjaya, Isnin lalu. Turut hadir Perdana Menteri, Najib Tun Razak.


HAMPIR bergaduh di kalangan para perwakilan Afrika kelmarin selepas mendengar satu taklimat operasi Proton di Shah Alam.

Bergaduh bukan sebab apa-apa. Cuma marah sesama sendiri apabila mempersoalkan mengapa kerajaan di negara asal tidak melakukan apa yang dibuat oleh Proton. Kontrak untuk komponen brek dan pintu kereta keluaran Proton contohnya diagih-agihkan kepada vendor tertentu. Mengapa negara mereka tidak berfikir ke arah itu dengan kek dipotong dan diberi sama rata.

Kata seorang perwakilan Kenya kepada Utusan Malaysia semalam: "Jika Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) berjalan di bumi Afrika, nescaya beliau akan disembah setiap orang. Asante Kwa (terima kasih) LID."

Ungkapan yang dizahirkan perwakilan dari pantai Timur Afrika itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menunjukkan betapa kagumnya dia dengan dasar transformasi yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Masih banyak sebenarnya yang perlu dipelajari oleh Afrika tentang soal tadbir urus yang baik terutama transformasi. Mereka tidak mempelajarinya dari Eropah. Tidak juga dari Amerika Syarikat dan Britain. Tetapi dari Malaysia sejak 16 tahun lepas menerusi Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).

Dan apabila lebih ratusan perwakilan Afrika dan Caribbean tiba di PICC sejak Sabtu lalu untuk menghadiri LID 2011, banyak idea baru muncul secara tiba-tiba daripada benak kepala mereka. Semuanya hasil buah fikiran kepemimpinan sektor kerajaan dan swasta negara.

Apabila Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo - yang tutur katanya berupa loghat Amerika dan memberi salam sebelum berucap - membalas tentang keperluan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) negara mengembangkan sayapnya ke Nairobi, ia sebenarnya muncul selepas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing mengumumkan penawaran biasiswa berjumlah RM12 juta kepada Botswana, Lesotho dan Swaziland.

Apabila Dr. Mahathir yang juga pengasas LID mencadangkan syarikat tambang murah seperti AirAsia melihat secara serius untuk mengadakan penerbangan ke Afrika, Kolonzo tersentak. Katanya: "Adalah lebih baik Afrika membangunkannya (penerbangan) sendiri."

Dari hal yang kecil sehinggalah perkara besar, boleh dikatakan Afrika 'merujuk' kepada Kuala Lumpur. Di pekarangan lobi PICC yang meletakkan pameran kraftangan dari Afrika semalam, pengunjung tempatan yang tertarik dengan topi 'mokovotlo' dari Lesotho, baju dari kulit rusa dan patung haiwan Zimbabwe - berhasrat mahu membelinya. Sayangnya ia bukan untuk dijual, cuma sekadar pameran.

Dan apabila diberitahu kraftangan itu amat menarik dan berpotensi untuk pasaran, sama seperti produk kraf Malaysia, terdengar jeritan kecil daripada warga Afrika terbabit: "Alamak kami tidak terfikir pun, nanti kami usahakan... terima kasih."

Tidak jauh dari booth Afrika itu, booth menjual hasil kraf berukiran gajah dimiliki pelukis karya negara, Yusof Gajah sudah tutup kedai pada hari pembukaan LID lagi kerana laris bak 'pisang goreng'.

Keterujaan dan komitmen tinggi para pemimpin Afrika menjayakan LID cukup ketara sehingga dikatakan pempamer kraftangan mereka sanggup menanggalkan apa sahaja ukiran, gambar dan hasil seni yang tergantung di bilik-bilik kedutaan mereka di Kuala Lumpur untuk dipinjamkan dalam mengisi slot pameran.

Banyak manfaat diperoleh Afrika hasil LID selama tiga hari ini. Zambia, misalnya kini dalam usaha mewujudkan zon ekonomi khas yang dirancang oleh Taman Teknologi Tinggi Kulim, Malaysia dan agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.

Menurut Menteri Kewangan dan Perancangan Negaranya, Dr. Situmbeko Musokotwane, zon ekonomi berkenaan merupakan hasil pembelajaran dari negara-negara seperti Malaysia untuk membangunkan Zambia sebagai negara berpendapatan pertengahan.

"Zambia kini bersedia untuk menerima pelaburan perniagaan dari Malaysia.''

Nada sama turut dirungkai oleh Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Bethuel Mosisili.

"Saya amat berterima kasih kerana satu daripada universiti anda, Limkokwing, telah membuka kampus di Lesotho. Itu merupakan pelaburan besar kerana rakyat kami adalah sumber terbaik yang kami ada. Dengan mewujudkan kampus di negara kami, Kuala Lumpur sebenarnya melabur dan menyumbang ke arah pembangunan modal insan Lesotho," katanya.

Guinea pula mahu menjalin hubungan dan belajar lebih banyak dari Malaysia berbanding negara-negara Eropah kerana kedua-dua negara itu berkongsi banyak persamaan, kata perwakilannya, Ismail Nabe, yang mewakili sektor swasta negara itu.

Malah, beliau memberitahu, adalah lebih wajar untuk menjalin usaha sama dengan Malaysia memandangkan perbezaan antara Guinea dan negara-negara maju Eropah terlalu besar.

"Negara saya hampir sama dengan Malaysia. Kami mendapat kemerdekaan pada masa yang hampir sama dengan kemerdekaan Malaysia dan kami juga mempunyai iklim yang sama. Jadi, apa sahaja yang berjaya dilaksana di Malaysia boleh juga berjaya di Guinea," kata beliau.

Mara pula, antara agensi yang menawarkan pengajian tinggi tertua di Malaysia, akan menerajui usaha menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar Afrika.

Pengarah Pelaburan Mara, Salmah Hayati Ghazali memberitahu, latihan teknikal penting kepada pelajar tercicir untuk membentuk mereka menjadi pekerja mahir bagi membantu negara-negara Afrika membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Kami melihat Swaziland, Zimbabwe, Bostwana, Uganda, Namibia dan Kenya menunjukkan minat dalam pengajian teknikal dan vokasional untuk pelajar mereka. Mereka meminta bantuan dan bimbingan semasa LID 2011 ini," katanya.

Begitu juga dengan Gambia yang berminat untuk mendapatkan kepakaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bagi memperbaiki sektor pertaniannya, terutama dalam meningkatkan pengeluaran eksport utamanya, kacang tanah.

"Kami telah melihat pembangunan dan pencapaian Malaysia dalam sektor pertanian dan negara-negara Afrika boleh memperoleh banyak pengetahuan di sini," kata Menteri Perikanan, Sumber Air dan Hal Ehwal Negara Gambia Lamin Kaba Bajo.

Pada masa sama, Zimbabwe tertarik dengan dasar pembangunan Malaysia dan mahu belajar bagaimana program tersebut boleh dilaksanakan dengan berkesan di negara itu.

Menteri Pembangunan Sains dan Teknologi Zimbabwe, Profesor Heneri A.M Dzinotyiweyi berkata, Malaysia mempunyai misi dan visi yang jelas terutama dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang disifatkan sangat efisien dan membantu.

Ketika melabuhkan tirai LID 2011 semalam untuk pertemuan seterusnya di Tanzania pada 2013, Najib memberikan komitmennya kepada Afrika. Dan Afrika menghargainya.

"Kami bersedia membantu negara-negara Afrika untuk melaksanakan transformasi ekonomi dan sanggup menghantar (Datuk Seri) Idris Jala (Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan - PEMANDU) ke sana.

"(Cuma) beliau tidak boleh dipindah milik dan tiada yuran pemindahan untuk beliau," kata Perdana Menteri sambil disambut tepukan daripada hadirin.

Sekali lagi, Asante Kwa LID.

KOMEN : KENAPA ADA RAKYAT YANG BUSUK HATI ATAS KEJAYAAN NEGARA KITA YANG LEBIH DIHARGAI OLEH NEGARA LUAR??

No comments: