Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 11 September 2014

GST tidak susahkan rakyat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Najib Tun Razak dengan gaya tersendiri ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Cukai Barang dan Perkhidmatan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah untuk masa depan rakyat serta negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan sistem percukaian baharu itu bukan sahaja lebih adil kepada pembayar cukai bahkan dapat memastikan ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sebenarnya mengambil masa selama 30 tahun untuk mengkaji baik buruk GST sehingga sistem itu buat pertama kalinya diumumkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1992.

Katanya, jika GST bukan merupakan sistem percukaian efisien dan telus sebagaimana dakwaan pembangkang, adalah mustahil Anwar mengumumkan rancangan pelaksanaannya semasa pembentangan bajet pada tahun tersebut.

''Tidak apalah kalau kita ada masalah dan orang kata GST tidak popular. Selepas kita laksanakan, selepas ekonomi lebih kukuh dan selepas Malaysia menjadi negara maju, rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan.

''Tetapi yakinlah sebagai ketua kerajaan, saya tidak akan menyusahkan rakyat kerana saya tahu kerajaan ini berdiri atas sokongan rakyat,'' katanya semasa berucap dalam Majlis Penerangan Perdana GST di sini hari ini.

Majlis tersebut yang mendapat sambutan hampir 4,000 orang ramai termasuk kelompok peniaga dianjurkan Kementerian Kewangan dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Hampir keseluruhan anggota Kabinet juga turut hadir dalam majlis berkenaan yang dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum disusuli dengan forum.

Sempena majlis berkenaan, Perdana Menteri turut melancarkan dua buku berkenaan GST iaitu Buku Panduan Cukai Barang dan Perkhidmatan Bagi Peniaga serta Buku Panduan Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan memenuhi hampir kesemua impian rakyat, kerajaan memerlukan sumber kewangan yang kukuh dan cara terbaik ialah melalui GST.

Jelasnya, hal demikian kerana melalui sistem SST yang diguna pakai sekarang, hanya 1.2 juta daripada 12 juta pekerja Malaysia yang membayar cukai untuk digunakan bagi menampung keperluan 28 juta rakyat negara ini.

''Setiap kali belanjawan dibentangkan pada setiap tahun (misalnya), jika tidak disebut bonus, maka belanjawan itu dianggap sebagai tidak baik. Untuk sebulan bonus, kerajaan perlu mengeluarkan hampir RM5.6 bilion.

''Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam yang berjumlah 1.5 juta orang dan 300,000 lagi merupakan pesara. Jadi, negara memerlukan hasil yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui GST akan menyebabkan sedikit kenaikan iaitu sebanyak 1.8 peratus terhadap harga barang tertentu tetapi bukan membabitkan barangan keperluan asas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_01/GST-tidak-susahkan-rakyat#ixzz3Cy8CJvge  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: