Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 10 May 2012

Waspada dalang di sebalik BERSIH 3.0

 
Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
2012/05/10

  Penulis ialah Felo Kanan di UKM


Rakyat perlu sentiasa peka gerakan jahat jarum Zionis di seluruh dunia
 
NAMPAKNYA bahang perhimpunan BERSIH 3.0 yang mulanya dirancang sebagai perhimpunan aman tetapi bertukar menjadi rusuhan selepas dirampas golongan yang mempunyai agenda politik mereka terus mendapat perhatian seolah-olah tidak berkesudahan.

Terbaru timbul berita tunjuk perasaan sedemikian juga dilakukan di Makkah dan Madinah sehingga menimbulkan pandangan serong Kerajaan Arab Saudi terhadap negara ini yang boleh membawa kepada pengurangan tempat untuk rakyat Malaysia menunaikan haji akhir tahun nanti.

Ramai mengetahui setiap tahun Malaysia diberi tempat yang lebih daripada kuota ditetapkan mengikut persetujuan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam). Ini adalah atas ihsan Kerajaan Arab Saudi menampung rayuan kerajaan supaya boleh memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Malah dikatakan kini seseorang perlu menunggu giliran sehingga enam atau tujuh tahun untuk mendapat tempat. Tanpa ihsan sedemikian tentunya masa menunggu giliran itu akan bertambah memandangkan setiap tahun Malaysia diberi kelonggaran menghantar sehingga lebih daripada 10,000 jemaah tambahan.

Tunjuk perasaan itu dikatakan dilangsungkan di 85 bandar di seluruh dunia dan mengikut Malaysiakini kononnya dari Aceh hingga ke Gunung Everest. Menghairankan juga apakah ada yang melakukan perhimpunan demikian di puncak gunung itu?

Tetapi inilah yang mahu digembar-gemburkan golongan yang mendukung tunjuk perasaan kononnya ia berhubung kait dengan kebebasan yang mereka laung dan mendewakan kononnya mendapat sokongan meluas tanpa menghiraukan hak orang lain.
 
Nampaknya penganjur BERSIH 3.0 ini begitu terdesak mahukan sokongan dunia sehingga sanggup memperlekehkan perjalanan pilihan raya di negara ini yang dituduh sudah tercemar dan tidak adil. Menghairankan juga usaha mereka melakukan tunjuk perasaan itu di 85 bandar luar negara. Tidak diketahui pula apakah tunjuk perasaan itu sememangnya berlangsung di semua bandar disasarkan.

Walaupun usaha sudah dilakukan untuk memperbaiki kecacatan yang wujud dalam senarai pemilihan serta corak perjalanan pilihan raya umum yang sudah berlangsung 12 kali, ia masih tidak dapat diterima golongan yang berterusan menuduh pilihan raya di Malaysia sentiasa dilanda penipuan yang menguntungkan parti pemerintah.

Sememangnya apa pun peraturan dilakukan manusia tidak mungkin akan ada yang sempurna. Tentunya ada cacat cela. Tetapi sekiranya kecacatan wujud bukan kerana helah mahu menipu kita, sudah seharusnya diterima.

Malangnya golongan ini tidak berhajat demikian. Jadi persoalannya apakah matlamat sebenar mereka? Apakah tujuannya berterusan saja menonjolkan kononnya berlaku penipuan berleluasa dalam corak pilihan raya yang selama ini berjalan dengan baik tanpa membabitkan rusuhan atau kehilangan nyawa seperti berlaku di beberapa negara lain. Apakah golongan ini mahu perjalanan pilihan raya kita dicemari dengan kehilangan nyawa?

Maka tohmahan berterusan dilemparkan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dituduh kononnya satu badan pemerintah yang digunakan untuk terus berkuasa. Begitu lantang sekali tohmahan sehinggakan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuduh bahawa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah seorang ahli UMNO. Tetapi apabila dibuktikan memang ada ahli UMNO bernama Wan Ahmad Wan Omar tetapi beliau adalah orang kampung biasa, bukannya Timbalan Pengerusi SPR. Orang yang membuat tuduhan melulu itu bukan saja tidak memohon maaf tetapi tidak pula mahu memperbetulkan tuduhannya.

Jadi sehingga sekarang mereka yang taksub dengan mainan politik golongan sedemikian berterusan mempercayai fitnah itu, termasuk begitu ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang tidak tahu hal sebenar.

Memang benar SPR kini menghadapi krisis mendapat kepercayaan ramai. Sama ada ia betul atau tidak, ramai sudah termakan adu domba sedemikian dan kini sudah tidak mudah lagi bagi SPR mahu mengembalikan kepercayaan ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang sengaja menimbulkannya untuk kepentingan perjuangan politik mereka.

Oleh itu, walaupun dakwat kekal sudah dipersetujui akan digunakan serta wujudnya sistem biometrik yang tidak memungkinkan wujudnya ‘pengundi hantu’, tohmahan sedemikian berterusan juga tanpa dapat dileraikan.

Sebenarnya hanya satu daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0 yang tidak diterima, iaitu tempoh kempen yang dikehendaki selama 21 hari. Malangnya, mereka yang berterusan membuat tuntutan bukannya mahu keadaan diperbaiki. Tujuan sebenar pimpinan dan dalangnya lain dan sekiranya dituruti keseluruhan pun, tidak akan memuaskan mereka. Tentu saja akan ada kecacatan yang boleh dikorek.

Maka rakyat perlu lihat siapa sebenarnya di belakang semua kejadian ini. Itulah juga kenapa mereka bermati-matian mahu berkumpul di Dataran Merdeka walaupun Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil ditawarkan untuk tujuan itu.

Salahkah bila ada yang menuduh perhimpunan itu didalangi golongan yang mendapat restu dan bantuan daripada beberapa pertubuhan Amerika Syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pertubuhan sulit ‘Illuminati’, iaitu puak jahat yang didalangi kumpulan Yahudi Zionis yang sudah menguasai Amerika Syarikat.

Mereka sebenarnya adalah penyembah dajal/syaitan yang mahu menguasai dunia. Ekonomi dan kewangan dunia sudah pun mereka kuasai dengan sewenang-wenangnya boleh memporak-peranda seperti berlaku di Eropah dan sebelum itu di Amerika sendiri.

Puak inilah juga yang sudah menguasai pelbagai corak media arus perdana Amerika, baik akhbar mahupun rangkaian televisyennya seperti juga mereka menguasai pembuatan filem di Hollywood yang berterusan memaparkan perlakuan songsang, meminggirkan naluri dan kehendak kekeluargaan dan perkahwinan.

Gejala terkutuk inilah yang mereka mahu manusia sejagat ikut seperti dikehendaki dajal. Oleh itu, kita perlulah berfikir dengan waras apa sebenarnya sedang melanda dunia dan yang cuba dibawa masuk ke negara ini melalui apa sekali corak oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.

No comments: