Kenyataan Irene tidak benar - Amah
SEREMBAN 13 Mei - Pembantu rumah warga Indonesia
yang bekerja di negara ini menyifatkan kenyataan Pengarah Eksekutif
Tenaganita, Irene Fernandez kononnya rakyat Indonesia yang mencari
rezeki di negara ini menerima layanan kejam, sebagai mengarut dan tidak
benar. Sebaliknya mereka percaya negara ini merupakan lubuk rezeki rakyat
negara itu untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan
keluarga mereka di kampung halaman.
Bagi Mutenah Basimu, 55, dia menyangkal kenyataan Irene yang
dianggap tidak mewakili seluruh pekerja Indonesia yang berada di negara
ini sebaliknya membuat tuduhan berpandukan sebilangan kes terpencil. ''Saya tidak faham mengapa dia perlu berkata begitu, sedangkan saya
berasa Malaysia seperti syurga dan selama empat tahun bekerja di sini,
saya langsung tidak pernah dihina apatah lagi didera oleh majikan.
''Semuanya lengkap di sini, saya gembira gaji pun lumayan, saya boleh
hantar pulang wang setiap bulan untuk menampung keluarga," katanya yang
berasal dari Jawa Timur. Katanya, majikannya tidak pernah melupakan segala keperluan dirinya termasuk soal makan minum, penjagaan diri termasuk pakaian. ''Lagipun di Malaysia persekitarannya aman, jenayahnya kurang, kalau tidak pulang pun tidak mengapa," katanya.
Irene dalam satu temu bual dengan The Jakarta Post baru-baru ini, mengecam Malaysia sebagai bukan sebuah negara terbaik untuk rakyat Indonesia mencari rezeki. Beliau menyifatkan wanita Indonesia yang bekerja dalam sektor
pembantu rumah di Malaysia hanya dijadikan sebagai objek eksploitasi,
penderaan fizikal, keganasan dan rogol.
Bagi Nurhikmah Tauhari, 22, meskipun baru setahun menjejakkan kaki ke Malaysia, namun majikannya sudah dianggap seperti keluarganya sendiri. ''Mereka layan saya seperti keluarga, saya gembira bekerja di sini dan tidak pernah didera. ''Saya memilih Malaysia kerana ingin bekerja dengan majikan seagama
dengan saya, sebab itu saya tidak ke negara lain," katanya yang berasal
dari Sumatera itu.
Katanya, gaji yang diperoleh buat masa ini mampu untuk menampung kehidupan ibu dan bapanya termasuk enam adik beradik. ''Jika ingin dibandingkan, sukar untuk saya memperoleh gaji sebegini di Indonesia," katanya.
Seorang lagi amah dari Indonesia yang kini bertugas dengan seorang majikan di Melaka, Warti Ningsih,
34, berkata, dakwaan kononnya negara ini tidak selamat bagi pembantu
rumah Indonesia tidak benar sama sekali kerana dengan pekerjaan itu, dia
mampu memiliki rumah sendiri dan menanggung pengajian anak-anaknya.
Menurutnya, dia mula berkhidmat sebagai pembantu rumah di negara ini
sejak 2003 dan mampu mengirim wang kepada keluarganya sehingga RM700
sebulan. "Alhamdulillah hubungan saya dan majikan bagaikan keluarga, malah
saya tidak pernah dimarahi atau diherdik jika melakukan kesilapan. "Saya bekerja bukan untuk mengambil kesempatan tetapi ikhlas mencari
rezeki, syukur kehidupan keluarga yang dulu susah dan hanya bergantung
kepada pendapatan harian suami kini jauh lebih baik. "Saya sering berdoa agar keluarga majikan senang dan saya pun akan
ikut senang dan sepanjang tempoh ini, saya tidak pernah menyesal bekerja
di negara ini," katanya.
Warti berkata, dia selesa jadi pembantu rumah dan tidak pernah merasakan dirinya terasing. Sebagai manusia biasa, katanya, dia tidak pernah lari daripada
melakukan kesilapan seperti secara tidak sengaja merosakkan baju
majikannya ketika menggosok pakaian. Bagaimanapun, katanya, sangkaan dia dimarahi meleset sama sekali
kerana dia hanya dinasihati agar berhati-hati melakukan pekerjaan itu.
Warti yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu mempunyai tiga
anak lelaki berusia antara 12 hingga 21 tahun manakala suami, Zainal
Arifin, 38, bekerja sebagai pemandu angkut. Katanya, dia dibenarkan pulang ke negaranya sekali dalam tempoh dua
tahun bagi meraikan Hari Raya Aidiladha, malah dia diberi cuti selama 40
hari setiap kali pulang ke rumahnya. "Keluarga saya semuanya tahu bahawa saya bekerja dengan baik di
negara ini, sebagai ahli keluarga mereka tentu sahaja bimbang, namun
saya menerangkan apa yang benar kepada mereka.
"Tentang kes Nirmala Bonat yang pernah didera satu ketika dulu, ramai
juga yang bertanya tetapi saya terangkan kepada mereka bahawa tidak
semua majikan sebegitu," katanya.
Dalam pada itu, majikannya, Khadijah Abdul Samad, 86, berkata, dia
tidak mempunyai sebarang masalah atau kesukaran sepanjang Warti bekerja. Malah, katanya, dia dan Warti umpama keluarga sendiri dan selesa membawa Warti bersama jika hendak ke mana-mana.
KOMEN : SI IRENE NI TERSASUL KETIKA BERCAKAP... SEBENARNYA DIA NAK KATA YANG KAT INDIA TU YANG TAK SELAMAT... TAPI SEBAB DENGKI DENGAN KERAJAAN MALAYSIA... TERUS TERKELUAR PERKATAAN YANG MALAYSIA YANG TAK SELAMAT... KITA HANTAR DIA PERGI INDIA.. TENGUK DIA BOLEH HIDUP TAK...?
No comments:
Post a Comment