KUALA LUMPUR 29 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, mandat rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) amat penting terutama bagi meneruskan
usaha melaksanakan setiap program transformasi yang dirancang.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar tanpa mandat yang kuat
daripada rakyat ia hanya akan melambatkan pelaksanaan agenda tersebut
sekali gus membantutkan hasrat melihat Malaysia muncul sebagai negara
berpendapatan tinggi serta maju pada 2020.
Selain itu, Najib turut mengingatkan rakyat supaya bijak menilai
khususnya membabitkan janji serta cadangan pembangkang dalam menghadapi
pilihan raya umum akan datang kerana jelas rancangan-rancangan
dikemukakan lebih bersifat populis, tidak realistik serta diragui.
"Saya amat meragui setiap janji, rancangan serta cadangan mereka.
Sebagai contoh, mereka mahu menurunkan harga petrol dalam tempoh satu
malam sahaja yang mana langkah ini tidak pernah dilakukan mana-mana
kerajaan di dunia.
"Untuk makluman, kerajaan memperuntukkan lebih RM2 bilion sebulan
untuk subsidi petrol. Jika harga bahan api ini diturunkan lagi, kerajaan
perlu menambah peruntukan subsidi antara RM3 bilion hingga RM4 bilion
sebulan. Apa akan jadi dengan kewangan negara?," katanya.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Datuk Seri
Johan Raslan yang juga Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC)
Malaysia dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada program
Invest Malaysia 2012, di sini hari ini.
Najib berkata, rancangan pembangkang untuk menghapuskan hutang
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah
RM45 bilion dan bayaran tol serta menetapkan gaji minimum sebanyak
RM4,000 sebulan juga jelas bersifat populis.
Katanya, semua janji itu tidak boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Sebaliknya, beliau menegaskan, kerajaan BN akan terus menawarkan
program-program lebih realistik serta mempunyai wawasan jelas seperti
program-program transformasi yang sedang giat dilaksanakan.
"Saya berjanji hasil mandat yang diberikan rakyat, saya serta
rakan-rakan dalam kerajaan akan bekerja lebih keras dalam meningkatkan
hidup rakyat dan demi mencapai matlamat negara maju menjelang 2020,"
katanya.
Sementara itu, menjawab satu soalan lain beliau berkata, Malaysia
merupakan sebuah negara yang begitu sesuai untuk didiami selain
destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.
"Saya telah mengunjungi banyak negara di dunia dan apa yang boleh
saya katakan Malaysia adalah negara terbaik dan hebat bagi saya.
"Dengan wujudnya kepelbagaian agama, etnik, kebudayaan serta cara
hidup, kita berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang amat
menarik termasuk sebagai destinasi terbaik bagi tujuan pelaburan serta
perniagaan," katanya.
KOMEN : PILIH KERAJAAN YANG MEMBAWA KEBAIKAN DAN KEMAKMURAN... JANGAN SESEKALI MEMILIH KERAJAAN YANG PORAK PERANDA....
No comments:
Post a Comment