UMUM mengetahui perhimpunan Bersih 3.0 adalah
yang paling kotor, ganas dan boleh menghuru-harakan negara. Jadi penulis
mencadangkan semua pihak supaya tidak lagi menggunakan nama 'Bersih'
tetapi menukarnya dengan nama 'Kotor'.
Ini secara psikologi boleh membuatkan pemimpin, pendukung, peserta
dan perusuh Kotor 3.0 berada dalam tekanan kerana rakyat mulai bangkit
menentang apa yang telah mereka jahanamkan pada negara ini.
Penulis percaya jika mana-mana demonstrasi berjalan secara aman,
sebenarnya tiada masalah buat kerajaan dan polis membenarkannya, tetapi
sejarah Kotor 1.0 dan Kotor 2.0 telah membuktikan negara mengalami
huru-hara.
Tetapi Kotor 3.0 benar-benar telah mengejutkan negara dengan tindakan
yang cukup agresif seperti rusuhan di London baru- baru ini.
Kerajaan dan polis khususnya perlu melihat dan mengkaji secara serius
apakah langkah-langkah yang lebih tegas patut dilakukan kerana perusuh
Kotor 3.0 amat berbeza dengan Kotor 1.0 dan 2.0 sebelum ini.
Parti pembangkang telah mula mengugut kerajaan untuk melancarkan
Kotor 4.0, di mana mereka telah melihat kerajaan dan polis mula berada
di bawah tekanan mereka.
Sebenarnya selepas Kotor 2.0, kerajaan melalui pengumuman Perdana
Menteri telah menubuhkan jawatankuasa terpilih di peringkat Parlimen
bagi mengkaji kaedah terbaik sistem pilihan raya atau dengan kata lain
mahu pilihan raya negara betul-betul dilihat adil dan bersih.
Jawatankuasa ini terdiri daripada Ahli Parlimen pembangkang. Jadi
mereka ini boleh memberi apa-apa input atau bantahan secara terus. Ada
beberapa syor akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
dalam PRU-13 nanti. Malangnya tuduhan kepada SPR terus menerus seperti
yang popular ialah 'pengundi hantu'.
Ada pemimpin pembangkang dengan angkuh mengatakan mereka mempunyai
bukti. Kenapa sampai sekarang mereka tidak bawa kes ini ke mahkamah dan
kenapa sampai hari ini tiada penghakiman terbukti SPR 'menyimpan'
pengundi hantu.
Ramai pemimpin pembangkang berpegang kepada prinsip seseorang tidak
dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Mereka
dengan 100 peratus (%) berpegang dengan prinsip ini dalam kes Anwar
Ibrahim walaupun beberapa bukti dikemukakan termasuk oleh pengesahan
oleh pakar luar.
Penulis pun bersetuju dengan prinsip ini supaya tiada penganiayaan
kepada seseorang. Jadi dalam kes SPR mereka juga wajar berpegang dengan
prinsip ini.
Terbaru tuduhan mengatakan beribu-ribu SPR mendaftar orang asing
sebagai pengundi setelah diberi kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN). Mereka menuduh SPR dan JPN berpakat dalam kes ini.
Bagi penulis tuduhan ini amat berat kerana melibatkan soal ketulusan
dan keselamatan negara. Maka wajar mereka ini mengemukakan bukti dan
membawa kes ini ke mahkamah. Jadi jika hanya cakap-cakap kedai kopi maka
ini boleh ditakrif sebagai fitnah.
SPR dan JPN diminta menjawab tuduhan ini kerana ia telah menjadi isu untuk kempen pilihan raya akan datang.
Sebelum perhimpunan Kotor 3.0, S.Ambiga telah meminta kerajaan
menangguhkan pilihan raya selagi kesemua tuntutan kotor tidak dipenuhi
oleh kerajaan. Sebenarnya yang tersirat ialah parti pembangkang tidak
yakin akan mencapai kemenangan untuk menawan Putrajaya jika PRU-13
diadakan dalam waktu terdekat.
Jadi meraka mahu mencipta isu pilihan raya melalui insiden kotor
Kotor 3.0, sebab itu mereka mahu membuat demonstrasi ini di tempat
terbuka bukan di tempat tertutup seperti stadium, supaya pihak polis
gagal mengawal keadaan atau dengan kata lain supaya pihak polis akan
melakukan keganasan selepas diprovokasi dengan menggila oleh perusuh
Kotor 3.0.
Jadi video dan gambar keganasan polis akan disebar dan menjadi kempen
pembangkang. Mereka mahu meraih undi simpati rakyat kepada mereka.
Perkara ini jelas dapat dilihat apabila ibu bapa membawa anak-anak kecil
dan kanak-kanak.
Apakah satu bentuk pendidikan yang berguna untuk kanak-kanak melihat
mereka merusuh, melawan pihak polis. Tidak mustahil kanak-kanak ini akan
belajar dan merusuh di rumah. Tetapi usaha pembangkang ini gagal kerana
rakyat mulai buka mata, mulai memahami perkara yang sebenar.
Kerajaan dan polis juga jangan hanya asyik menumpukan kepada
penayangan video yang sebenar semata-mata sebagai menangkis dakyah
pembangkang, tetapi apa yang lebih penting yang dimahukan oleh majoriti
rakyat ialah menyiasat dengan segera dan mengheret mereka ini ke muka
keadilan.
Jika kita lihat negara England yang dipuja oleh pembangkang sebagai
negara lebih demokratik daripada Malaysia, apakah yang telah dilakukan
oleh pihak berkuasa mereka apabila berlaku rusuhan, termasuk seorang
pelajar negara kita dibelasah oleh perusuh. Polis mereka telah
menyiasat, menahan dan pihak mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman.
Jadi penulis mencadangkan kepada PDRM supaya menubuhkan pasukan khas
di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Siasat
dengan segera dengan membuat tangkapan mereka yang merusuh membelasah
anggota polis sehingga cedera dan pengsan, merosakkan kereta peronda
polis, menendang anggota polis trafik sehingga terjatuh, merosakkan
harta awam dan kerajaan.
Siasat juga siapakah yang telah merampas pistol anggota polis trafik
yang telah terjatuh walaupun pistol ini dijumpai semula tetapi perkara
ini cukup serius. Jika terjadi apa-apa, pihak polis yang akan
dipertanggungjawab. Jadi rakyat sedang menunggu tindakan tegas dan adil
daripada pihak berkuasa. Penulis percaya pihak polis mempunyai penunjuk
dan boleh menjejaki kesemua perusuh terbabit. Selain itu, punca
provokasi sehingga tercetus tindakan ganas perusuh juga hendaklah
disiasat dengan rapi dan mendakwa pemimpin pembangkang yang hadir yang
terbukti telah menghasut.
Jika video yang dipaparkan arahan Anwar Ibrahim kepada Azmin Ali
untuk peserta merempuh dan memasuki Dataran Merdeka dengan laungan
peserta "masuk! masuk!" hendaklah segera disiasat pihak polis.
Jika pemimpin ini melakukan kesalahan menghasut dan boleh menimbulkan
kekecohan pada Kotor 3.0, hendaklah mereka ini juga didakwa di
mahkamah. Sebab kita tidak mahu pengulangan yang lebih dahsyat dan ganas
jika berlaku lagi Kotor 4.0.
Kerajaan dan pihak polis janganlah gentar, rakyat akan berada di
belakang pihak berkuasa jika kes ini dibawa ke mahkamah kerana keutamaan
orang ramai lebih penting daripada kepentingan individu. Penulis
percaya kerajaan dan pihak polis tidak boleh dituduh mereka-reka kes dan
bukti kerana jelas apa yang dilakukan oleh pemimpin ini telah
menyebabkan peserta Kotor 3.0 seperti hilang akal.
Adakah mereka mahu menjadikan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir
di Mesir. Ada laporan yang mendakwa, mereka mahu berkampung di Dataran
Merdeka jika berjaya menawannya, mereka mahu mencetuskan dan membakar
semangat revolusi di Malaysia.
Pembangkang membakar semangat peserta dengan ucapan berapi-api bahawa
Dataran Merdeka adalah dataran rakyat bukan milik DBKL ataupun
kerajaan. DBKL hanya pengurus sahaja, bayangkan jika tiada pihak yang
menguruskan dataran ini, apakah secantik seindah dan sebaik ini Dataran
Merdeka.
Tetapi oleh kerana akal telah mandul, telah fanatik, telah menjual
jiwa kepada pemimpin pembangkang, apa sahaja ucapan ditelan bulat-bulat.
Sebenarnya demonstrasi adalah baik bagi sebuah negara demokrasi.
Demonstrasi adalah satu cara untuk rakyat meluahkan perasaan dan
ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara. Ia juga saluran terakhir
jika pelbagai usaha sebelum ini gagal.
Tetapi hendaklah dibuat secara aman, janganlah merusuh dan membuat
kerosakan pada nyawa dan harta benda awam. Adakah dengan merusuh
dinamakan akhlak Islam. Apakah ada tokoh-tokoh pembangkang telah
menasihati perusuh supaya bertaubat dan menyerah diri kepada pihak
polis.
Ulama yang ikhlas ialah yang mendidik masyarakat kearah kebaikan.
Membantu mereka membuang sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam dada
bukan terus membakar semangat amarah mereka ini.
Ajarlah mereka dengan akhlak Islam kerana itu adalah cerminan wajah
batin. Alangkah baiknya jika kita berserban, berkopiah, berjubah,
bertudung labuh dan berpurdah menunjukkan akhlak Islam ketika
berdemonstrasi. Maka indahnya dilihat oleh orang bukan Islam.
Tetapi jika kita menunjukkan amarah yang melampau, maka itulah wajah
kita yang sebenar di sebalik pakaian zahir yang kita pakai. Maka saya
menyeru para ulama yang mempunyai sifat rahim supaya membantu
memperbetulkan masyarakat. Janganlah takut untuk mengatakan sesuatu yang
baik walaupun bercanggah dengan tokoh pembangkang yang berpengaruh
walaupun bergelar tok guru.
KOMEN : MEREKA DISESATKAN OLEH PEMIMPIN POLITIK PUAK PEMBANGKANG... SATU AJE PERKATAAN YANG LAYAK UNTUK MEREKA... BODOH....
No comments:
Post a Comment