Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 16 May 2012

SELAMAT HARI GURU

Suka duka tugas seorang pendidik
KOSMO ONLINE
16/5/2012




TULISAN yang tertera ayat berbunyi, 'Saya ada rumah. Rumah saya cantik' kelihatan ditulis kemas di atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut.

"Baiklah, sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?," tanya Liza Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak di Ampang, Selangor itu. Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza, masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut.

Namun, apabila ada dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan. Itulah sebahagian gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut.

Menurut Liza, sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di sana.

"Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut untuk mencuba," ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.

Bagi Siti Zabedah Abu Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan tertentu amat penting untuk dilaksanakan.

"Contohnya penggunaan kad huruf, bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada pembelajaran," kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari pada tahun 2008.

Mencuit hati


PENDIDIKAN awal kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif.


Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.

Sementara itu, Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

"Guru ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati guru kepada anak-anak sejak kecil lagi," tutur Azah yang sudah terlibat dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.

Berkongsi pengalaman, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari, mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap seperti kawan.

"Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu.

"Ia mungkin disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga dewasa," tegas Azah.

Selepas menerima didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah. Andai guru yang mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing.

Perkara ini diakui oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur. Ujar Gopinat, proses pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran.

HUBUNGAN guru dan pelajar yang erat menjadikan suasana pembelajaran di sekolah berjalan dengan harmoni.


"Kalau dahulu, guru hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka untuk belajar," ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya itu.

Dalam pada itu, memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi.

"Kes yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah ini," kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara berbanding guru.

"Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam memahami penggunaan gajet-gajet canggih," ungkap Sabariah.


No comments: