Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2012/05/08
Rahim Noor
Tindakan propaganda melampau pembangkang sama seperti ideologi komunis: Rahim
KUALA
LUMPUR: Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu menyerupai taktik
perjuangan ala-Marxis, fahaman ideologi komunis, yang membabitkan
hasutan politik dan propaganda, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri
Rahim Noor.
Katanya, demonstrasi jalanan berserta maki hamun dan keganasan adalah
salah satu bentuk hasutan dalam fahaman Marxis, manakala propaganda
dilakukan bertujuan menghentam badan kerajaan sehingga menggunakan
kempen peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ini termasuk tindakan pembangkang memburukkan sistem
negara sebagai tidak adil dengan menyerang integriti pasukan polis,
badan kehakiman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dilelongnya (oleh pembangkang) semua itu ke antarabangsa, berjumpa
(media asing) BBC, CNN... mengadakan sidang akhbar di Australia,
Singapura... inilah propaganda.
“Satu lagi contoh ialah bekas
Menteri Besar Perak (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) menuduh
Perdana Menteri memanggil semua panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
(mendakwa Datuk Seri Najib Razak meminta mereka melakukan sesuatu jika
Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13).
“Bagi saya, taktik Marxis jelas dipergunakan oleh kumpulan ini. Satu
contoh yang baik ialah perhimpunan BERSIH 3.0 ‘dirampas’ secara agresif,
ia cara Marxist walaupun ini bukan bermakna mereka adalah komunis.
Namun, taktik gerakan massa bercorak Marxist tidak kurang bahaya.
“Taktik ala-Marxis masih dipergunakan oleh orang berkepentingan di
mana-mana seluruh dunia, termasuk gerakan massa ‘Arab Spring’. Saya
sudah masak dalam perkara ini. Malah, cemuhan terhadap polis dengan
panggilan ‘anjing’ ketika perhimpunan BERSIH 3.0 adalah istilah komunis
yang dulu memanggil polis ‘anjing British’,” katanya dalam wawancara
khas dengan Berita Harian di sini, semalam.
Justeru, walaupun
ancaman komunis di negara ini sudah menjadi sejarah, Rahim menasihati
seluruh rakyat Malaysia supaya tetap berwaspada bagi memastikan
keselamatan negara tidak berkocak.
“Janganlah sehingga pisang
berbuah dua kali. Keadaan huru-hara dan berkocak angkara individu
tertentu akan membolehkan pihak mengambil kesempatan. Janganlah membuka ruang penderitaan rakyat kita yang dulu berulang.
“Saya bimbang perkara seperti ini (demonstrasi jalanan) menjadi modus
operandi atau pendekatan aktivis sosial mahu pun ahli politik untuk
memperjuangkan ideologi untuk mencapai matlamat mereka, dengan melanggar
undang-undang dan bukan secara berparlimen,” katanya.
Dalam
konteks ini, Rahim mempersoalkan sikap membisu Majlis Peguam,
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Datuk S Ambiga
berhubung tindakan peserta melanggar undang-undang pada perhimpunan
BERSIH 3.0.
Sebaliknya, beliau berkata, pihak berkenaan
menuding jari menyalahkan polis yang hanya menjalankan tugas mengikut
Akta Polis untuk menjaga ketenteraman awam, termasuk dari segi
keselamatan orang ramai dan harta-benda.
“Apakah bagi Majlis
Peguam, SUHAKAM dan Ambiga, polis perlu berpeluk tubuh saja apabila
keadaan kucar-kacir tercetus daripada perhimpunan aman yang menyemarak
menjadi ganas?” katanya.
No comments:
Post a Comment