KUALA LUMPUR 20 Mei - Bersih 4.0 bukan lagi milik
mutlak Datuk S. Ambiga dan pembangkang tetapi kini diterajui kumpulan
penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur dengan matlamat serta objektif
berbeza.
Ia dilancarkan khusus bagi melindungi nasib peniaga serta penjaja di
Kuala Lumpur yang mengalami kerugian berjuta-juta ringgit ekoran tiga
siri demonstrasi jalanan oleh Ambiga serta pembangkang sebelum ini.
Selain itu, Bersih 4.0 yang diketuai penjaja dan peniaga tersebut
juga bertujuan memberi pengajaran kepada Ambiga jika bekas Presiden
Majlis Peguam berkenaan berani melancarkan demonstrasi jalanan
seterusnya.
Pengerusi Majlis Bertindaknya, Datuk Jamal Yunus berkata, dalam
tindak balas terhadap penganjuran perhimpunan haram oleh Ambiga dan
pembangkang sebelum ini, pihaknya bercadang menjadikan kawasan kediaman
Ambiga di Jalan Setia Kasih 1, Bukit Damansara, sebagai tapak kekal
pasar malam.
"Sebagai permulaan kepada bantahan Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0, kami
akan membuka 60 tapak pasar malam mulai esok di Jalan Setia Kasih 1
sebelum mula berniaga dari pukul 3 petang hingga 8 malam pada 24 dan 25
Mei ini.
"Jika sebelum ini Ambiga dan pembangkang ghairah mengganggu
perniagaan kami semata-mata kerana kepentingan politik, sekarang biar
mereka pula rasakan bagaimana peritnya kami menanggung kerugian.
"Kami bukan peguam, kami cuma peniaga. Jadi kami melihat berniaga di
depan rumah beliau adalah satu peluang perniagaan," katanya pada sidang
akhbar selepas pelancaran Bersih 4.0 di Lorong Tuanku Abdul Rahman, di
sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Muda Malaysia (Perdasama Muda), Datuk Sohaimi Shahadan.
Dalam pada itu, Jamal memberitahu, pihaknya melalui Bersih 4.0
mempunyai tujuh perkara yang hendak disuarakan bagi membersihkan segala
'kekotoran' yang dicetuskan menerusi tiga siri demonstrasi terdahulu.
Kata beliau, antaranya menuntut kerajaan supaya tidak membiarkan
demonstrasi jalanan terus diadakan di Kuala Lumpur selepas ini kerana
mangsa yang teraniaya adalah golongan peniaga.
"Kami juga mahu kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur
demonstrasi Bersih sebelum ini agar kejadian pada 28 April lalu tidak
berulang kerana sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil,"
katanya.
Sementara itu, ditanya mengapa pihaknya memilih nama sama dengan
perhimpunan anjuran Ambiga, Jamal berkata, ia bertujuan membuktikan
kepada rakyat apa itu erti perhimpunan bersih yang sebenar.
Menurutnya, Bersih 4.0 yang diterajui peniaga benar-benar bersih dan
berkat kerana ia bertujuan mencari rezeki halal berbanding Bersih yang
diketuai Ambiga kerana demonstrasi jalanan tersebut dikotori kepentingan
politik.
KOMEN : BUATLAH APA YANG PATUT AGAR DAPAT BERI KESEDARAN PADA AMBIGA YANG TAK TAHU ERTI KESUSAHAN ORANG LAIN...
No comments:
Post a Comment