KUALA LUMPUR 29 Mei - Raja Petra Kamaruddin,
pengendali portal pro pembangkang tampil sekali lagi mendedahkan
bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana
Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin Ali.
Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan
pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan
berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki
Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin, walaupun hanya bergaji RM2,442
sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.
Dakwanya, penglibatan Anwar dalam kes rasuah Ahli Parlimen Gombak dan
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didedahkan sendiri
oleh bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes
tersebut dalam satu pertemuan di London.
Katanya, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan bekas
pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki
kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya selaku penjawat
awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar
bernilai lebih RM7 juta.
Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah
memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE
(RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah
berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham
dalam Hicom.
"Selain itu Azmin juga memiliki dua buah kereta lagi iaitu Proton
Wira 1.6 Xli dan Proton Satria 1.6 Xli manakala pemeriksaan ke atas
salah satu akuan bank Shamsidar mendapati terdapat kemasukan deposit cek
berjumlah RM7.2 juta serta wang tunai bernilai RM708,800 dari November
1992 hingga Mei 1995.
"Tidak terkecuali siasatan BPR juga mendapati terdapat kemasukan cek
dari bank-bank tempatan ke atas akuan milik Shamsidar berjumlah
RM628,552 selain baki dalam akaun bank beliau yang pernah satu ketika
mencecah angka lebih RM300,000," katanya sebagaimana dipetik dari portal
http://www.malaysia-today.net hari ini.
Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia ke atas fail sulit
yang dimuat naik Raja Petra mendapati laporan hasil siasatan Pegawai
Siasatan, Cawangan Siasatan Am, Ibu Pejabat BPR menyarankan supaya
tindakan tatatertib diambil ke atas Azmin kerana terbukti beliau
memiliki kekayaan tidak seimbang.
"Hasil daripada siasatan yang dibuat mendapati jumlah perbelanjaan
yang dibuat oleh Azmin dan isterinya adalah jauh tidak seimbang terutama
bagi tahun 1993 dan 1994. Hasil siasatan setakat ini juga mendapati
isteri Azmin terlibat dalam pembelian saham bernilai jutaan ringgit
sedangkan Shamsidar tidak bekerja.
"Memandangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat Azmin jauh tidak
seimbang, saya syaki wang dan harta dimiliki datang dari hasil perlakuan
rasuah. Saya cadangkan Azmin diambil tindakan tatatertib," lapor
pegawai berkenaan tetapi BPR tidak mengarahkan sebarang tindakan lanjut
diambil ke atas Azmin.
Sementara itu, dalam kenyataannya, bekas pegawai kanan BPR yang
bertanggungjawab mendedahkan segala fail sulit berkenaan kepada Raja
Petra pula berkata, hanya orang yang pekak, buta serta tuli sahaja yang
sengaja mengatakan segala cerita tentang rasuah membabitkan Azmin hanya
suatu rekaan atau konspirasi.
Di samping itu, beliau turut menegaskan, perbuatan pegawai kanan BPR
mengarah siasatan ke atas Azmin dihentikan melanggar undang-undang
jenayah di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan
kerana beliau tiada hak untuk mengarah melainkan arahan pendakwaraya.
"Semasa siasatan dibuat gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu
menjelaskan bayaran bulan rumah di Setapak sebanyak RM3,376 dan rumah
di Taman Melawati sebanyak RM1,110. Jumlah bayaran ini sahaja
menunjukkan hutang Azmin melebihi gaji. Di mana Azmin dapat wang
tambahan untuk hutang ini?
"Ini belum masuk bayaran deposit yang dibuat ke atas rumah dan
kereta, bayaran bulan kereta BMW berjumlah RM875 dan Proton Perdana pula
RM700 sebulan. Bukankah ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan
Azmin mempunyai pendapatan yang lain," katanya juga dipetik dari portal Malaysia Today.
KOMEN : ITULAH SIKAP PUAK NI... MENGATA ORANG DIA YANG LEBIH.... INI SEMUA SALAH UMNO SEBAB BAYAR GAJI SIKIT SANGAT MASA DUDUK DALAM UMNO....
No comments:
Post a Comment