KUALA LUMPUR 13 Mei - Beberapa lagi ahli Majlis Peguam meminta
dipercepatkan penubuhan Akademi Undang-Undang sebagai badan alternatif
kepada Majlis Peguam kerana badan yang ada sekarang telah menyimpang
jauh daripada peranan sebenar menjaga profesionalisme amalan guaman di
negara ini.
Peguam, Nordin Yusoff berkata, satu badan alternatif diperlukan
kerana Majlis Peguam telah tersasar daripada tanggungjawab utama untuk
menjaga kebajikan peguam dan memartabatkan profesion undang-undang di
negara ini.
Katanya, keputusan terburu-buru Majlis Peguam mengeluarkan resolusi
menghentam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perhimpunan haram
Bersih 3.0 bulan lalu merupakan bukti jelas pertubuhan itu telah menjadi
perkakas politik terhadap pihak yang berkepentingan.
“Saya menyokong cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang kerana ia
telah pun dilakukan di Singapura dengan Ketua Hakim Singapura
mengetuainya dan majlis peguam di negara itu terletak di bawah akademi
tersebut.
“Saya difahamkan draf undang- undang bagi cadangan penubuhan akademi
undang-undang pernah dikemukakan di negara ini tetapi ditolak
sekeras-sekerasnya oleh Majlis Peguam yang masih mahu memonopoli amalan
guaman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri
Abdul Aziz bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu
membentuk organisasi baru bagi mempertahankan profesion, kebajikan dan
kepentingan guaman.
Jelas Nordin, menerusi Akademi Undang-Undang, Majlis Peguam atau
persatuan-persatuan peguam lain boleh tertakluk di bawah akademi
tersebut bagi memastikan ketelusan dan integriti amalan guaman di negara
ini terjamin.
Katanya, dalam banyak perkara, Majlis Peguam telah dilihat membuat
keputusan yang berat sebelah dan membelakangkan pandangan majoriti
kira-kira 14,000 ahli majlis tersebut di seluruh negara. Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM),
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju dengan penubuhan akademi
itu untuk mengelakkan amalan birokrasi dan monopoli di dalam Majlis
Peguam.
‘‘Di Malaysia, hanya ada satu Majlis Peguam yang memonopoli semua perkara dan ia dikawal oleh kelompok orang tertentu.
‘‘Bukan saya hendak menafikan usaha-usaha perjuangan hak asasi
manusia yang dilakukan Majlis Peguam tetapi kalau kita lihat di
Singapura, Majlis Peguam di sana lebih banyak dan ke hadapan dalam
menjaga hal-hal kebajikan para peguam,’’ katanya.
Katanya, jika dinilai amalan di United Kingdom pula, peguam di negara
tersebut boleh memilih untuk menganggotai mana-mana empat persatuan
peguam di negara berkenaan.
‘‘Hendak atau tidak, peguam di Malaysia terpaksa menjadi ahli Majlis
Peguam untuk mengamalkan profesion undang-undang sedangkan banyak
pandangan yang dikeluarkan pertubuhan itu yang kita tidak sependapat
terutamanya membabitkan isu-isu Islam,’’ katanya.
Jelas Zainul, sebagai alternatif lain, terdapat juga negara yang persatuan peguamnya diterajui sendiri oleh Peguam Negara.
Sementara itu, menurut seorang lagi peguam, Abu Backer Sidek berkata,
beliau menyokong agar badan alternatif kepada Majlis Peguam diwujudkan
untuk membolehkan peguam mengamalkan profesion undang-undang secara
lebih profesional tanpa elemen politik tertentu.
‘‘Saya sudah pun mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Majlis Peguam
Persekutuan Malaysia (MPPM) dan menerusi pertubuhan ini, ahlinya perlu
bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
‘‘Saya sebenarnya tidak boleh lagi bersabar dengan pandangan Majlis
Peguam yang menyokong perhimpunan Bersih dan banyak lagi perkara lain
yang tidak semua majoriti ahli Majlis Peguam bersetuju,’’ katanya.
Katanya, orang ramai boleh mengutarakan pendapat bagi cadangan
penubuhan badan alternatif MPPM tersebut di laman web http://www.
mppm2012.blogspot. com.
KOMEN : KALAU MEREKA SERING MENDESAK KERAJAAN BN BERUBAH... KENAPA RAKYAT TIDAK BOLEH MENDESAK MEREKA JUGA MESTI BERUBAH... JADIKAN PILHAN KEPADA MEREKA, JIKA NAK SANGAT BERPOLITIK, MEREKA TIDAK BOLEH MENGAMALKAN PROFESION UNDANG-UNDANG KERANA TAKUT BERLAKU ADANYA CONFLICT OF INTEREST... RUJUK KES LIWAT ANWAR ... BARULAH MAJLIS PEGUAM INI LEBIH BERKECUALI BILA PENYANGAK POLITIK DAPAT DIHAPUSKAN... ADA BERANI...?
No comments:
Post a Comment