SEBELUM ini saya sememangnya sudah memandang
serong profesion guaman, bukan sahaja kerana kesan gambaran negatif
media malahan pengalaman apabila ahli keluarga dianiaya peguamnya
sendiri.
Namun, perkembangan semasa melibatkan Majlis Peguam, kononnya sebuah
badan profesional dalam menyokong agenda politik pihak tertentu
menyebabkan saya dan keluarga semakin memandang sepi profesion itu.
Janganlah anggap rakyat negara ini tiada otak dan tidak dapat menilai
apa yang pentadbiran tertinggi Majlis Peguam nyatakan dan lakukan.
Jika sebelum ini pembangkang menuduh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dan timbalannya 'orang kerajaan', kini Majlis Peguam dengan
terang lagi nyata mengaku mereka 'orang pembangkang'.
Ini bukan sahaja tidak adil kepada ahli-ahli Majlis Peguam, malahan
melanggar kepercayaan mereka dan juga rakyat untuk sebuah badan
profesional yang sepatutnya bertindak mengikut tujuan asal penubuhannya.
Bagi yang belum sedar, majoriti rakyat negara ini adalah pengundi
atas pagar dan bukannya penyokong tegar mana-mana parti politik. Kami
memerhati semua tindak tanduk pihak terlibat dan menilai sendiri sebelum
'memangkah'.
Oleh itu, Majlis Peguam jangan jadi dayus menuduh orang
bermacam-macam, umpama kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tak
nampak.
Seperti mana rakyat mahu SPR bebas pengaruh politik, ahli Majlis
Peguam juga mahu badan itu bebas pengaruh politik dan bertindak atau
nyatakan pendirian secara profesional.
Hentikanlah ego kononnya anda lebih tahu tentang perundangan
berbanding orang lain kerana undang-undang Tuhan dan hukum alam lebih
kuat natijahnya.
Jika anda menghalalkan perhimpunan Bersih 3.0 dan menuduh polis
sebagai 'penjahat', bersedialah bila ahli Majlis Peguam dan rakyat
mengadakan perhimpunan menuntut sebuah Majlis Peguam yang 'Bersih'?
Sesuai jika perhimpunan itu digelar 'Bersih Zero', peserta akan minta
diadakan pemilihan telus untuk kepimpinan Majlis Peguam agar badan itu
kekal profesional, neutral dan bebas pengaruh mana-mana pihak.
Ketika itu, jika peserta perhimpunan Bersih Zero merempuh pejabat
Majlis Peguam, adakah kepimpinan badan itu mahu polis berdiam diri?
Mungkin lebih elok polis tidak 'berjaga' di perhimpunan itu bagi
mengelakkan sekali lagi dikatakan 'bertindak ganas' oleh golongan yang
mereka cuba lindungi.
Saya mewakili rakyat Malaysia menyatakan kami memilih hidup harmoni
dan tidak suka kepada perbalahan semata-mata untuk pihak tertentu
berebut kuasa dan kekayaan.
Gunalah otak, ikut saluran yang disediakan dan jangan jadi samseng di
bumi bertuah ini atau bersedialah anda berdepan dengan kemarahan
'kumpulan majoriti' ini.
No comments:
Post a Comment