KUALA LUMPUR 5 Mei - Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa
Independen (KAMI), Khalid Mohd. Ismath ditahan bagi membantu siasatan
berhubung kekecohan pada perhimpunan haram Bersih 3.0, ketika dia hadir
memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di
sini hari ini.
Khalid dikehendaki setelah gambarnya yang sedang menendang seorang
anggota polis trafik yang terjatuh ketika bertugas pada perhimpunan itu,
28 April lalu disiarkan di akhbar-akhbar kelmarin. Dia yang ditahan kira-kira pukul 10 pagi bagaimanapun sebelum ini
dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya di dalam
laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini bahawa dia bersetuju semua
anggota polis dibunuh.
Khalid dilihat memasuki pekarangan IPK Kuala Lumpur bersama seorang
peguam dan disertai bapanya, Mohd. Ismath Habib Mohamad, yang juga bekas
calon Pas semasa Pilihan Raya Umum 1995; ibunya, Junaidah Mohamad;
kakak sulungnya, Anissa serta sekumpulan lelaki yang dipercayai
rakan-rakannya.
Khalid yang juga pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi
Mara (UiTM) itu adalah antara 91 individu yang boleh membantu siasatan
berhubung kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 di
ibu negara.
Mohd. Ismath berkata, anak bongsunya itu hadir ke IPK Kuala Lumpur
selepas mereka didatangi empat pegawai polis baru-baru ini untuk memberi
kerjasama berhubung laporan dibuat pihak tertentu.
Katanya, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa namun terkejut apabila anaknya itu ditahan pihak polis.
“Saya terkejut apabila Khalid ditahan ketika hadir untuk membantu
siasatan ini. Oleh itu saya gesa polis membebaskan segera anak saya
kerana dia bukan penjenayah," katanya.
Ditanya tentang tindakan tatatertib yang mungkin diambil oleh UiTM
terhadap Khalid, Junaidah menegaskan, mereka sekeluarga tidak kisah jika
universiti terbabit membuang anaknya itu. Anissa pula mendakwa, Khalid tidak pernah mengeluarkan kenyataan
hasutan sedemikian sebaliknya mendakwa laman sosial Facebook adiknya itu
telah digodam sehingga menyebabkan dia menerima pelbagai tuduhan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika
dihubungi mengesahkan Khalid ditahan berhubung gambar seorang individu
yang menendang seorang anggota polis trafik semasa Bersih 3.0.
Katanya, polis menahannya untuk disiasat di bawah Seksyen 440 Kanun
Keseksaan kerana melakukan khianat dalam kekacauan dan Seksyen 323 Kanun
Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.
Tambah beliau, selain itu seorang lagi lelaki berusia 32 tahun
ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang
Wangi, petang semalam dan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan
30-an ditahan di sekitar Puchong, malam tadi.
Jumlah itu menjadikan bilangan mereka yang ditahan setakat ini ialah empat orang termasuk seorang telah didakwa di mahkamah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang gambar
mereka disiarkan dinasihat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran
atau IPKKL di talian 03-2115 9999 atau boleh menghubungi Pegawai
Penyiasat, Asisten Superintendan Azmi Aziz di talian 019-260 2344 atau
019-387 2344 untuk tindakan lanjut.
Khalid Ismath dibebaskan dengan jaminan polis
KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis mengesahkan penuntut Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath, 22, yang ditahan kerana disyaki
terbabit dalam rusuhan semasa perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO)
yang disokong pembangkang di ibu negara, pada 28 April lalu hari ini
dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairy
Ahrasa berkata Khalid dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi tadi di Ibu
Pejabat Polis Daerah Cheras.
Pelajar itu disiasat kerana didakwa melakukan kekacauan dan rusuhan yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan harta awam.
"Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi proses
tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Khalid dalam tempoh
terdekat," katanya ketika dihubungi di sini. Beliau berkata polis sudah selesai menjalankan siasatan ke atas
laporan terhadap Khalid membabitkan kejadian menendang anggota polis
trafik serta melakukan rempuhan ke atas polis semasa perhimpunan itu.
Beliau menambah siasatan berhubung dakwaan Khalid mengeluarkan
kenyataan ugutan kerana "ingin membunuh polis" di dalam laman sosial
Facebook miliknya akan disiasat oleh Polis Kontinjen Selangor.
Sementara itu, Khairy berkata sehingga semalam 91 individu yang
gambar mereka disiarkan di media kerana didakwa terbabit dalam insiden
kekacauan semasa perhimpunan masih belum menyerah diri atau ditahan.
"Setakat ini masih kekal dua individu yang ditahan sejak Khamis lalu," katanya. Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung
individu yang sedang dikesan supaya menghubungi balai polis berhampiran
atau berhubung dengan Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala
Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz ditalian 019-2602344 bagi
membantu siasatan. - BERNAMA
KOMEN : TENDANG AJE DARI UiTM... MAK/BAPAK DIA MAMPU SARA HIDUP DIA SAMPAI KE TUA....
No comments:
Post a Comment