KUALA LUMPUR 8 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, penyebaran fahaman pluralisme agama dan liberalisme merupakan
satu cabaran serta ancaman yang melanda umat Islam pada masa kini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, fahaman tersebut menganjurkan
pengikutnya terutama umat Islam membebaskan diri daripada kepercayaan
serta peraturan yang menjadi asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah
SWT.
Beliau berkata, pendokong fahaman itu menghalalkan pergaulan bebas,
perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran lain
yang kononnya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia.
Katanya, fahaman ini jika dibiarkan menular akan menyebabkan
berlakunya keadaan yang mana masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan
berasaskan panduan dan pedoman agama.
''Syariat Islam yang menekankan ketertiban dalam hubungan antara
individu, keluarga, masyarakat dan negara tidak lagi dipatuhi malah
dianggap sesuatu yang lapuk dan mengekang kebebasan.
"Bagi mereka yang mendokong fahaman ini, manusia boleh percaya apa
sahaja dan melakukan apa sahaja, asalkan menepati cita rasa dan selera
individu," katanya ketika merasmikan Seminar Dakwah Nasional di Dewan
Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Seminar yang akan berakhir esok itu dianjurkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).
Muhyiddin seterusnya memberitahu, dalam menghadapi cabaran tersebut,
mahu tidak mahu gerakan dakwah di negara ini terpaksa menggalas tugas
besar.
"Para pendakwah perlu memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada
masyarakat supaya mereka tidak mudah terkeliru dengan fahaman-fahaman
yang menyeleweng daripada ajaran Islam.
"Untuk itu, gerakan dakwah perlu diperkasakan. Para ulama, ilmuan
Islam dan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam perlu tampil membantu
memperkasakan kegiatan dakwah negara kita. Seluruh kekuatan gerakan
dakwah perlu digembleng untuk menghadapi cabaran pemikiran dan akidah
yang sedang melanda umat pada masa ini," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan di
Malaysia jauh berbeza dengan beberapa negara yang mengamalkan dasar
sekular iaitu gerakan dakwah di negara-negara terbabit sering ditekan
oleh pihak pemerintah hingga menyebabkan berlaku ketidakstabilan dan
kekacauan.
Beliau berkata, akibatnya juga syiar Islam tidak dapat dilaksanakan
dengan sempurna, pembangunan umat terabai dan umat Islam hidup dalam
suasana tertekan.
Situasi itu katanya, menyebabkan wujud jurang yang besar antara gerakan dakwah dan pemerintah, akhirnya merugikan umat Islam.
"Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Sebaliknya
jalinan hubungan yang akrab antara gerakan dakwah dan kerajaan telah
membolehkan syiar Islam berkembang pesat di negara kita sekali gus
pembangunan umat dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.
No comments:
Post a Comment