Dengan mengusung nama bajet pakatan rakyat, tanpa dapat dielak Anwar
meletakkan di depan kepentingan parti politik. Tentu teruk bunyinya jika
kerajaan juga memilih menamakan bajet kali ini sebagai Bajet Barisan
Nasional (BN).
Begitulah, mereka yang mengaku telus, adil dan saksama yang menentang
hal-hal politik dicampuradukkan dengan urusan rasmi kerajaan, telah
melakukan sebaliknya.
Walaupun bajet berteraskan politik pakatan pembangkang bukan hal
baharu tetapi kali ini Anwar terlihat begitu kemaruk mahu menandingi
keabsahan bajet kerajaan. Maklumlah, ini merupakan hari-hari terakhir
perjuangannya menuju ke Putrajaya.
Mungkin atas sebab itu, tanpa memerah fikiran dengan enteng
gerombolan, pakatan pembangkang menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan
oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gimik politik dan membeli undi.
Itulah yang ada dalam pemikiran mereka saban tahun apabila bajet
dibentangkan - politik dan politik.
Mencitrakan diri sebagai pemimpin super hebat memang penting bagi
orang seperti Awnar yang berhasrat besar mahu menjadi Perdana Menteri.
Malangnya Anwar lupa mencermin diri walaupun telah gagal beberapa kali.
Kegagalannya mendapatkan jawatan itu dalam cubaan nekad pada
September 2008 tidak pun memberi pengajaran kepadanya. Saban waktu,
beliau lebih sibuk mengurus hal ehwal rumah orang lain sehingga
mengabaikan urusan di rumah sendiri.
Dalam riuh rendah pembangkang mahukan pemisahan jawatan Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi Anwar sendiri bertindak sebaliknya.
Tiada pula rakan-rakan sekutu dan NGO propembangkang yang mahu menegur.
Jika benar bagai dikata, tentu Anwar tidak akan bertindak ala Menteri
Kewangan. Jika benar menurut kata akar umbi, tentu Anwar akan
menyerahkan tugas penting membentangkan bajet alternatif itu kepada
pemimpin lain yang ada wibawa. Tetapi, siapakah orang itu?
Anwar dan PKR sendiri tidak berani menyenaraikan Kabinet bayangan
mereka. Tiada alasan diberikan, kecuali mereka menganggapnya sebagai
tidak perlu. Begitulah hipokrasi pakatan pembangkang.
Memporak-perandakan
Bajet alternatif berani mereka bentangkan tetapi kecut perut apabila
diminta menyenaraikan Kabinet bayangan. Tidak lain ini kerana mereka
tahu senarai Kabinet bayangan akan memporak-perandakan pakatan
pembangkang.
Realitinya mereka tidak boleh bekerjasama sehingga orang selalu
umpamakan mereka sebagai tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Ini
belum lagi dibahas bagaimana mahu melaksanakan cadangan-cadangan dalam
bajet alternatif itu, sedangkan banyak janji dalam manifesto 2008 pun
belum ditunaikan.
Jadi, jika beginilah tingkah laku mereka bagaimana kita sebagai
pengundi yang ada tanggungjawab boleh menyerahkan kekuasaan kepada
kumpulan seperti ini? Jika Anwar berani mengangkat sebuah bajet yang
muluk-muluk, kenapa pula takut untuk menamakan barisan anggota Kabinet
mereka?
Sebagai penganut sistem demokrasi, kita seharusnya menghormati
pandangan pihak lawan. Cuma yang jadi masalahnya ialah kehadiran
politikus pembangkang sebagai penyemak dan pengimbang tidak benar-benar
dirasakan.
Mereka lebih berminat untuk berpolitik - ceramah dan ceramah. Apabila
berasakan bajet alternatif gagal menyaingi bajet kerajaan, Anwar dengan
ringan mulut mengajak berdebat.
Beliau mencabar itu dan ini sehingga kesan yang selalu dirasakan
ialah kuman di sebarang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak.
Pembangkang, yang diterajui Anwar itu lebih sibuk mahu mengurus negara,
sedangkan di negeri yang ditadbir penuh cacat cela.
Dalam riuh rendah janji pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam bajet
alternatif dan buku jingga mereka, kepimpinan pakatan pembangkang
terlupa di negeri sendiri.
Apa jadi kepada RM30 juta yang kononnya berjaya dikumpulkan oleh
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membantu
pengajian pelajar Unisel setelah pihak PTPTN membekukan sementara
pinjaman? Setakat ini tiada khabar berita dan tiada apa-apa yang
berlaku.
Dana RM30 juta itu pula entah ke mana.
Malah Unisel terus dihimpit masalah demi masalah. Terbaharu pihak
pengurusan pula gagal membayar kepada syarikat konsesi yang menguruskan
asrama pelajar dan penyelenggaraan kampus.
Di KUIN juga masalah terus bertimpa-timpa daripada soal yuran, gaji,
asrama sehingga status sijil yang dikeluarkan. Semuanya berkait soal
kewangan. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah pelajar dan golongan muda,
generasi yang kononnya mahu mereka bela.
Anwar sebagai Ketua Pembangkang mempunyai ruang untuk mengutarakan
buah fikiran semasa sesi perbahasan bajet 2013 bermula Isnin ini. Jika
dilihat terhadap apa yang dilakukannya sebelum ini, jangan harapkan buah
fikiran atau kritikan yang konstruktif dan bertanggungjawab.
Fokus Anwar bukan untuk memperbaiki apa yang ada di negara ini. Jika
tidak, contohnya mana mungkin boleh timbul masalah-masalah remeh tetapi
perkara asas di Unisel dan KUIN.
Fokus sebenar Anwar ialah bagaimana mahu menjatuhkan kerajaan dan
seterusnya menjadikan beliau Perdana Menteri. Tetapi jangan lupa sejarah
telah membuktikan beliau telah gagal sehingga hampir-hampir meranapkan
ekonomi negara.
Benar seperti kata Najib dalam ucapan Bajet 2013 pada Jumaat itu:
'Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala janji,
apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa
sekarang,"
1 comment:
SLM BRO...ANUWAR MAKIN TAK TENTU ARAH BILA BAJET BN CUKUP MENYELURUH SEDANGKAN BAJET PAKATAN UTK KRONI2 JEK. PEMIMPIN MCM ANUWAR MMG TERER CKP BERDEGAR2 SAMPAI LANGIT NAK RUNTUH TP KOSONG JEK. DIA LUPA DIA BKN DLM KERAJAAN LG. TU YG DIA MEMBEBEL YG BUKAN2 KATA BAJET TAK HOLISTIK. PAS PLAK KATA BAJET CANDU WALHAL ADE GAK PEMIMPIN PAS YG MUKE TAK MALU TERHEGEH2 BERATUR AMIK DURIAN RUNTUH FELDA. ITU PUN PAKATAN KATA RAKYAT MMG BERHAK SBB TU DUIT RAKYAT GAK. PALOTAK DIA..DIA TAK TAU KE KLU BKN KERANA URUSAN DAN USAHA YG KERAJAAN BUAT DIORANG BLEY HARAP BENDA TU DTG BERGOLEK KAT KAKI DIORANG?...KEHKEHKEHKEH
Post a Comment