DALAM kehidupan seseorang insan pendidikan sangat penting untuk
menjadikan hati dan diri seseorang itu sentiasa di bawah lindungan Allah
S.W.T. Tanpa didikan yang betul dan berterusan seseorang itu mungkin
boleh terpesong daripada akidah yang menyebabkan dirinya murtad.
Pendidikan akidah secara berterusan dapat menjadi benteng kepada
gejala sosial dan masalah murtad dalam kalangan umat Islam. Akidah dalam
basa Arab menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dapat difahami sebagai kepercayaan, keyakinan yang kuat kepada Allah.
Manakala murtad dapat difahami sebagai perbuatan orang yang telah
mengucap dua kalimah syahadat , atau orang yang keturunan Islam kemudian
melakukan sesuatu yang menyebabkan kekafiran. Seperti sujud kepada
berhala secara sukarela. Menghinakan sesuatu yang dilarang oleh Allah
S.W.T, seperti nama-nama Allah S.W.T, sifat-sifat Allah S.W.T, al-Quran,
hadis, hukum syarak, rasul-rasul dan sebagainya.
Sesungguhnya seperti dalam kalimah syahadat, "Tiada tuhan melainkan
Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan atau pesuruh Allah,"
merupakan sumber kesatuan umat Islam. Apabila seseorang mengucapkan
kalimat ini dan dia tidak melanggarnya, maka sejak waktu itu dia
merupakan bahagian yang tidak dipisahkan daripada umat Islam.
Oleh itu, dengan sendirinya orang-orang yang masih berada di luar
Islam, mereka tidak termasuk bahagian daripada umat Islam ini. Tokoh
Islam, Said Hawwa menjelaskan bahawa, orang yang menyatakan dirinya
masuk Islam akan pasrah dan mengarahkan dirinya hanya kepada Allah
S.W.T, mengikut petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W yang bererti dia
telah menyatakan dirinya untuk terus mengabdi kepada Allah S.W.T dan
dengan sendirinya terbebas daripada segala macam bentuk pengabdian
kepada yang lain.
Kesatuan akidah sangat penting bagi menghindarkan seseorang daripada
unsur-unsur yang membawa kepada murtad. Selain itu, akidah juga boleh
menjadi benteng kepada segala ancaman gejala sosial pada masa kini,
khususnya kepada kalangan remaja dan generasi muda.
Kita memahami bahawa, semua manusia diciptakan oleh Allah SWT dan
sebagai umat Islam adalah untuk beribadat kepada-Nya. Allah SWT
berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (adz-Dzaariyaat: 56)
Mengabdikan diri bermaksud beribadat kepada Allah SWT dan tidak
kepada yang lain. Bagi makhluk yang ingkar dan tidak patuh, sudah
tentulah akan mendapat balasan daripada-Nya.
Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umat terdahulu selamat
(jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala umat terakhir kelak
akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang
kosong." (Ibnu Abi Ad dunia).
Lantaran itu, pendidikan akidah adalah teras penting untuk menanamkan
keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri
kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan
merealisasikan segala tujuan hidup di dunia ini.
Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa dan guru perlu
mengaplikasikan kaedah pengajaran supaya anak-anak atau pelajar lebih
menghayati tujuan mempelajarinya. Pendidikan akidah adalah teras penting
yang perlu dididik kepada seseorang sejak seseorang itu masih kecil
lagi.
Imam al-Ghazali menegaskan, pendidikan akidah ini menjadi asas kepada
keimanan dan keyakinan manusia terhadap keesaan Allah yang merupakan
asas kepada segala ilmu. Menurutnya, "Mencintai dan mengamalkan ilmu
adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar
rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sampai
dia kembali.
No comments:
Post a Comment