DARI UTUSAN MALAYSIA
30/9/2012
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
menyifatkan Bajet 2013 kali ini adalah yang terbaik dan komprehensif
kerana mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu, Prof. Datuk Dr.
Kamarudin Kachar berkata, Bajet 2013 memberi tumpuan kepada semua
golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Pemberian bantuan kepada golongan bujang berpendapatan RM2,000 ke
bawah menjadi antara contoh keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Bajet ini juga membuktikan kerajaan mengambil berat mengenai sektor
pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Saya yakin rakyat sudah
faham mengenai komitmen kerajaan yang sentiasa menepati janji," katanya
kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.
Bajet 2013 melibatkan peruntukkan berjumlah RM251.6 bilion iaitu
meliputi RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion
bagi perbelanjaan pembangunan.
Dalam pada itu, Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar
Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berpendapat, bajet kali ini
adalah sangat bertanggungjawab dan selaras dengan tema Janji Ditepati.
Saya agak terkejut apabila Perdana Menteri mengumumkan projek
untuk mengindahkan Sungai Klang berjumlah RM500 juta sedangkan ia berada
di bawah tanggungjawab kerajaan pembangkang.
Ini membuktikan kerajaan hari ini berjiwa besar untuk membangunkan
negara. Saya pasti pihak pembangkang terpukul dengan bajet ini kerana
ketika mereka terkial-kial mahu menunaikan janji pilihan raya umum
lalu, kerajaan dengan segak dan bergaya telah melaksanakan apa yang
dijanjikan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan
Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, Bajet 2013 dapat
membantu golongan usahawan dan peniaga kecil khususnya menerusi skim
perlindungan insurans berkelompok sehingga RM5,000 kepada golongan
tersebut.
Kami yakin ia memberi banyak manfaat kepada mereka, cuma pelaksanaannya perlulah dipastikan menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS),
Jais Abdul Karim berkata, golongan belia merupakan antara kumpulan yang
mendapat banyak manfaat daripada pembentangan bajet kali ini.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM738 juta untuk Kementerian Belia dan Sukan," katanya.
No comments:
Post a Comment