DARI UTUSAN MALAYSIA
3/10/2012
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum wajar
digubal dan dilaksanakan segera bagi memastikan kedaulatan negara
dipertahankan dan terpelihara.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk
Dr. Kamaruddin Kachar berkata, sudah tiba masanya akta tersebut
dilaksanakan agar kesejahteraan dan keamanan yang dibina sejak sekian
lama tidak musnah ekoran campur tangan asing.
Segelintir masyarakat hari ini semakin tinggi pengetahuan mereka,
namun didapati semakin rendah moralnya, justeru akta ini perlu segera
digubal bagi menyekat perilaku lebih buruk," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM),
Azwanddin Hamzah supaya Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum digubal
segera bagi menyekat sebarang anasir negatif menyusup masuk ke negara
ini dan meracuni pemikiran rakyat.
Jelas Azwanddin, akta itu perlu bagi menyekat campur tangan asing
yang menggunakan medium media massa termasuk portal berita bagi
merealisasikan tujuan tersebut.
Sebelum ini beberapa pihak menyuarakan cadangan pembentukan Akta
Patriotik dan Kesejahteraan Kaum bagi menghalang cubaan anasir luar
menghuru-harakan negara.
Tambah Kamaruddin, dengan adanya akta tersebut dan hukuman setimpal
dapat dilaksanakan, sudah tentu tiada pihak berani melakukan perkara
buruk berkenaan.
Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah
Zaik Abdul Rahman berpendapat, sifat kesetiaan kepada negara semakin
terhakis dan lebih mengecewakan apabila ada pihak di dalam negara ini
yang rela membantu merealisasikan usaha campur tangan asing.
Campur tangan asing jelas merupakan satu ancaman kepada negara, maka
amat penting akta ini digubal segera bagi menjamin keharmonian negara
pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Insan Nasional (Kesan),
Mohammad Afandy Yusof berkata, kewujudan akta berkenaan mampu melindungi
Parlimen dari kehadiran tali barut pihak asing.
Akta ini dapat menangkis niat jahat tali barut asing bertopengkan
badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak asasi
manusia dan hak kebebasan bersuara.
Saya juga percaya akta ini dapat melindungi pemikiran rakyat
daripada maklumat yang sudah dimanipulasi oleh media massa dan portal
internet yang dibiayai oleh pihak asing," katanya dalam satu kenyataan
di sini hari ini.
Tambah Mohammad Afandy, beliau turut menyokong penuh cadangan
daripada JMM agar akta itu digubal segera bagi memastikan tiada sebarang
anasir negatif dapat menyusup masuk dan meracuni pemikiran rakyat.
Katanya, akta sedemikian terbukti berkesan apabila akta yang sama
telah lama diguna pakai di Amerika Syarikat dan sekutunya yang mempunyai
tujuan yang sama.
Jadi, kita seharusnya mempunyai akta yang sama secepat mungkin bagi
mempertahankan negara dari ancaman luar secara halus dan penyaluran dana
pihak asing sebelum terlambat," katanya.
No comments:
Post a Comment