Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 16 October 2012

NAK JAGA PERIUK NASI JADILAH MEREKA SETAN BISU

Ulama Pas perlu berani
DARI UTUSAN MALAYSIA
16/10/2012


IPOH 15 Okt. - Tokoh-tokoh ulama dalam Pas digesa agar berani bersuara untuk mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang supaya tidak terus disesatkan serta diperkudakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, dalam banyak isu berkaitan akidah termasuk penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, Pas sanggup mengetepikan kepentingan agama semata-mata kerana mahu berkuasa.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, sama seperti bapa saudara Nabi Muhammad SAW, ulama-ulama Pas sanggup menolak kebenaran hanya kerana takut dicemuh dan hilang jawatan.

“Kita minta ulama-ulama dalam Pas seperti Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Haron Din; bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib untuk membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

“Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad juga kata Pas sudah tersasar daripada perjuangan asalnya kerana parti itu ditubuhkan sebab hendak buat negara Islam dan hudud," katanya semasa berceramah di hadapan lebih 3,000 orang pada program Rapat Umum Perkasa Perak di padang Dewan Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, di sini malam tadi.

Selain Zulkifli, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR turut berceramah dalam program itu.

Zulkifli juga berkata, orang Melayu tidak boleh bergantung harap kepada Pas untuk membela Islam dan kepentingan Melayu kerana parti itu bukan dominan di dalam pakatan pembangkang.

Katanya, ia boleh dilihat apabila Kerajaan Pas Kedah terpaksa membatalkan hasrat merobohkan sebuah rumah penyembelihan babi di sebuah kampung Melayu hanya kerana desakan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

"“Kalau betul Pas dominan, tidak akan berlaku apa yang terjadi kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali yang dipecat kerana hendak selamatkan akidah umat Islam," ujarnya.

Dalam ceramah tersebut, beliau turut mendedahkan pelbagai pembohongan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga memberitahu, DAP semakin lantang berani mempersoalkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu di negara ini kerana mendapat sokongan daripada Anwar dan golongan ‘Anwarinas’ di dalam Pas.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas program itu, Zulkifli memberitahu, beliau mendapat maklumat akan berlaku satu kejutan tidak lama lagi.



JAWATAN DI PEGANG SAMPAI MATI

'Berundur ketika masih kuat'



KOTA BHARU 15 Okt. - Seorang wakil rakyat Pas Kelantan hari ini menyuarakan dengan beraninya meminta pemimpin parti itu berundur ketika mereka masih kuat dan memberi laluan kepada barisan muda meneruskan kepimpinan ulama yang menjadi asas kepimpinan parti itu.

Sambil melahirkan kebimbangannya terhadap keadaan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur dan tidak sihat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Dr. Nik Mazian Mohamed berkata, pemimpin Pas tidak wajar 'melepaskan baton' hanya selepas mereka 'lenguh di tengah jalan.'

Beliau sendiri yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat Pas kawasan itu turut menyatakan kesediaan untuk berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih bagus.

"Yang kita bimbang ialah Tok Guru sudah tua, ada sakit pula. Macam kita inilah sudah tua, ada penyakit pula. Kita akan mati, siapa yang akan mengganti, siapa yang akan meneruskan perjuangan kepimpinan kita ini, siapa ?

"Kita mesti timbulkan kepimpinan baru, muda-muda, hebat-hebat, sihat-sihat.

"Di Gaal, tidak ada orang bertanding lebih sepenggal tetapi saya tiga penggal. Maka tiba masanya untuk saya berundur diri, inilah kelebihan yang ada pada kepemimpinan Pas. Kita lihat keupayaan kita, kita lihat ada orang lebih bagus untuk mengganti, alhamdulillah, serah baton kepada orang lain ketika kita masih kuat lagi. Ini dah mual, lenguh tepi jalan dah, baru nak lepas baton," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Nik Mazian yang juga bekas Exco Kerajaan Pas Kelantan turut menggariskan ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya dipilih sebagai calon Pas pada pilihan raya umum akan datang iaitu berilmu, amanah, memahami Islam dan mempunyai sikap takut kepada Allah.

Selain itu, katanya, mereka juga hendaklah ikhlas dan tidak bersikap boros, tamak, mengambil rasuah, bohong dan bermacam-macam penyakit manusia yang tidak mempunyai pegangan agama.

Beliau secara bersahaja turut mencadangkan agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencalonkan golongan ustaz untuk bertanding menentang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan beliau sendiri.

Mengenai tindakan Kerajaan Pas Kelantan memasukkan wang tuntutan royalti petroleum sebanyak RM200 juta dalam bajet tahun hadapan, wakil rakyat Pas itu berpendapat, ia banyak bergantung kepada Kerajaan Pusat.

"Kita tahu kita banyak bergantung kepada Kerajaan Pusat untuk menentukan dapat royalti atau pun tidak. Ini suatu yang besar, RM200 juta hasil yang kita katakan adalah hasil daripada bumi kita.

"Sedangkan kita tahu selama ini kita tidak diberikan hak itu oleh Kerajaan Persekutuan, dengan bermacam-macam hujah dan mungkin hujah itu betul juga, kita tak tahu mungkin betul.

"Royalti ini harus diberikan kepada Kelantan, harus dipergunakan untuk kebajikan rakyat Kelantan dan keputusannya dibincangkan dalam dewan ini," katanya.


KOMEN : MANA MUNGKIN DIA LETAK DAN LEPASKAN JAWATAN SELAGI ANWAR TAK JADI PM... SAMPAI KUCNIG BERTANDUKLAH KALAU NAK TUNGGU DIA PENCEN....

Wednesday, 10 October 2012

Tangani pluralisme, liberalisme


Muhyiddin Yassin hadir menyempurnakan perasmian Seminar Dakwah Nasional 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Seminar, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad (kiri). - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyebaran fahaman pluralisme agama dan liberalisme merupakan satu cabaran serta ancaman yang melanda umat Islam pada masa kini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, fahaman tersebut menganjurkan pengikutnya terutama umat Islam membebaskan diri daripada kepercayaan serta peraturan yang menjadi asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Beliau berkata, pendokong fahaman itu menghalalkan pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran lain yang kononnya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia.

Katanya, fahaman ini jika dibiarkan menular akan menyebabkan berlakunya keadaan yang mana masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama.

''Syariat Islam yang menekankan ketertiban dalam hubungan antara individu, keluarga, masyarakat dan negara tidak lagi dipatuhi malah dianggap sesuatu yang lapuk dan mengekang kebebasan.

"Bagi mereka yang mendokong fahaman ini, manusia boleh percaya apa sahaja dan melakukan apa sahaja, asalkan menepati cita rasa dan selera individu," katanya ketika merasmikan Seminar Dakwah Nasional di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Seminar yang akan berakhir esok itu dianjurkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Muhyiddin seterusnya memberitahu, dalam menghadapi cabaran tersebut, mahu tidak mahu gerakan dakwah di negara ini terpaksa menggalas tugas besar.

"Para pendakwah perlu memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat supaya mereka tidak mudah terkeliru dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Untuk itu, gerakan dakwah perlu diperkasakan. Para ulama, ilmuan Islam dan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam perlu tampil membantu memperkasakan kegiatan dakwah negara kita. Seluruh kekuatan gerakan dakwah perlu digembleng untuk menghadapi cabaran pemikiran dan akidah yang sedang melanda umat pada masa ini," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan di Malaysia jauh berbeza dengan beberapa negara yang mengamalkan dasar sekular iaitu gerakan dakwah di negara-negara terbabit sering ditekan oleh pihak pemerintah hingga menyebabkan berlaku ketidakstabilan dan kekacauan.

Beliau berkata, akibatnya juga syiar Islam tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, pembangunan umat terabai dan umat Islam hidup dalam suasana tertekan.

Situasi itu katanya, menyebabkan wujud jurang yang besar antara gerakan dakwah dan pemerintah, akhirnya merugikan umat Islam.

"Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Sebaliknya jalinan hubungan yang akrab antara gerakan dakwah dan kerajaan telah membolehkan syiar Islam berkembang pesat di negara kita sekali gus pembangunan umat dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.


Mendepani gejala murtad


pengabdian diri hanya kepada Allah semata-mata. - Gambar hiasan

DALAM kehidupan seseorang insan pendidikan sangat penting untuk menjadikan hati dan diri seseorang itu sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T. Tanpa didikan yang betul dan berterusan seseorang itu mungkin boleh terpesong daripada akidah yang menyebabkan dirinya murtad.

Pendidikan akidah secara berterusan dapat menjadi benteng kepada gejala sosial dan masalah murtad dalam kalangan umat Islam. Akidah dalam basa Arab menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dapat difahami sebagai kepercayaan, keyakinan yang kuat kepada Allah.

Manakala murtad dapat difahami sebagai perbuatan orang yang telah mengucap dua kalimah syahadat , atau orang yang keturunan Islam kemudian melakukan sesuatu yang menyebabkan kekafiran. Seperti sujud kepada berhala secara sukarela. Menghinakan sesuatu yang dilarang oleh Allah S.W.T, seperti nama-nama Allah S.W.T, sifat-sifat Allah S.W.T, al-Quran, hadis, hukum syarak, rasul-rasul dan sebagainya.

Sesungguhnya seperti dalam kalimah syahadat, "Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan atau pesuruh Allah," merupakan sumber kesatuan umat Islam. Apabila seseorang mengucapkan kalimat ini dan dia tidak melanggarnya, maka sejak waktu itu dia merupakan bahagian yang tidak dipisahkan daripada umat Islam.

Oleh itu, dengan sendirinya orang-orang yang masih berada di luar Islam, mereka tidak termasuk bahagian daripada umat Islam ini. Tokoh Islam, Said Hawwa menjelaskan bahawa, orang yang menyatakan dirinya masuk Islam akan pasrah dan mengarahkan dirinya hanya kepada Allah S.W.T, mengikut petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W yang bererti dia telah menyatakan dirinya untuk terus mengabdi kepada Allah S.W.T dan dengan sendirinya terbebas daripada segala macam bentuk pengabdian kepada yang lain.

Kesatuan akidah sangat penting bagi menghindarkan seseorang daripada unsur-unsur yang membawa kepada murtad. Selain itu, akidah juga boleh menjadi benteng kepada segala ancaman gejala sosial pada masa kini, khususnya kepada kalangan remaja dan generasi muda.

Kita memahami bahawa, semua manusia diciptakan oleh Allah SWT dan sebagai umat Islam adalah untuk beribadat kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (adz-Dzaariyaat: 56)

Mengabdikan diri bermaksud beribadat kepada Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Bagi makhluk yang ingkar dan tidak patuh, sudah tentulah akan mendapat balasan daripada-Nya.

Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Ibnu Abi Ad dunia).

Lantaran itu, pendidikan akidah adalah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup di dunia ini.

Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa dan guru perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran supaya anak-anak atau pelajar lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Pendidikan akidah adalah teras penting yang perlu dididik kepada seseorang sejak seseorang itu masih kecil lagi.

Imam al-Ghazali menegaskan, pendidikan akidah ini menjadi asas kepada keimanan dan keyakinan manusia terhadap keesaan Allah yang merupakan asas kepada segala ilmu. Menurutnya, "Mencintai dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sampai dia kembali.


Jangan lupa jasa kerajaan


Dr. Mahathir menandatangani autograf pada buku salah seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), ketika hadir pada majlis Sarapan Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Alumni MOZAC di Melaka, semalam. - BERNAMA

MELAKA 8 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang terhadap sikap segelintir generasi muda Melayu yang semakin tidak menghargai jasa kerajaan dalam memberi nikmat serta keselesaan kepada mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, hal tersebut dibuktikan apabila ramai di antara golongan berkenaan tidak bersyukur dengan apa yang mereka peroleh, sebaliknya menuduh kerajaan sebagai penindas.

"Contohnya pelajar yang dihantar belajar ke luar negara, bila pulang ke tanah air menolak orang yang memberi nikmat kepada mereka iaitu kerajaan yang dikatakan tidak adil, tidak liberal serta menindas orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada majlis sarapan bersama Alumni Sekolah Menengah Sains (SMS) Muzaffar Syah dari 1982 hingga 1986, di Hotel Equatorial, Banda Hilir hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, hal demikian wujud disebabkan sikap sesetengah ibu bapa yang gagal mendidik anak mereka dengan nilai-nilai sebelum menghantar mereka ke luar negara.

"Pelajar-pelajar Melayu yang dihantar ke luar negara sepatutnya disemai dengan nilai positif selain mempelajari sejarah agar dapat mempertahankan diri daripada pengaruh negatif. Dengan mendalami sejarah umpamanya dapat membantu kita supaya tidak lupa kepada asal usul.

"Jika kita bersyukur, maka kita akan mendapat lebih banyak nikmat. Atas sebab itu kita perlu selalu bersyukur sekali gus dapat membentuk masyarakat yang baik dan mampu berjaya," katanya.

Jelas beliau lagi, ramai generasi muda masa kini sangat mudah terpengaruh dengan anasir negatif sehingga ada yang gagal menggunakan pengetahuan mereka dengan bijaksana.

"Daripada segi ilmu dan pengetahuan, generasi berkenaan memang boleh membangunkan negara kerana dilengkapi pengetahuan dalam segala hal.

"Namun, selain daripada ilmu, nilai moral adalah lebih penting kerana ilmu sahaja tidak akan membentuk mereka menjadi seorang yang baik. Ilmu sahaja tidak menjamin generasi muda akan datang berupaya memimpin kemajuan negara," ujarnya.

Tambahnya lagi, pembangunan dan keharmonian yang dikecapi hari ini tidak akan dinikmati jika rakyat hidup dalam suasana bertelagah dan berpecah-belah sehingga menimbulkan ketegangan.


DAKWA DARI KEPALA SAMPAI KE EKOR LAH

Dakwa segera pencipta fitnah Scorpene



KUALA LUMPUR 9 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak mengambil tindakan terhadap pihak yang mencipta fitnah berhubung perbicaraan dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan isu berkenaan dalam ceramah-ceramah dan kenyataan-kenyataan beliau bagi memfitnah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut meminta agar pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menjadi arkitek kepada fitnah berkenaan diharamkan kerana mengada-adakan isu perbicaraan yang kononnya sedang berlangsung di Perancis.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pihak berkuasa harus bertindak memandangkan isu ini berkait rapat dengan maruah Malaysia dan rakyatnya di mata dunia, terutama dalam kalangan negara maju.

Katanya, pendedahan oleh pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal, Yves Charpenel bahawa perbicaraan yang didakwa sedang berlangsung di negara itu sebenarnya tidak berlaku itu, harus dipuji.

“Pengakuan Charpanel sekali gus menepis fitnah, tanggapan dan persepsi yang cuba diwujudkan Suaram serta parti-parti pembangkang terhadap Perdana Menteri demi matlamat politik sempit mereka semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Charpenel menafikan laporan-laporan media yang disebar oleh beberapa portal berita dalam talian Malaysia berhubung perbicaraan berkenaan tentang dakwaan isu kapal selam Scorpene. Beliau berkata, media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin, fakta, siasatan dan perbicaraan.

“Saya sedar tentang semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata, ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya.

Jelas Hamidzun, rakyat Malaysia berasa lega dengan kenyataan Charpenel yang membuktikan urusan pembelian peralatan ketenteraan oleh kerajaan adalah telus dan tidak meragukan.
Kenyataan daripada wakil Perancis ini sangat positif dan akan melonjakkan lagi imej Perdana Menteri sebagai pengamal nilai ketelusan, amanah dan keadilan terhadap segala urusan pentadbiran beliau," ujarnya.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip pula yakin kenyataan Charpenel itu akan meresahkan pakatan pembangkang yang kini merasakan mereka tergugat akibat tindakan jahat mereka sendiri dalam meracuni pemikiran rakyat.

Menurut beliau, pembangkang pasti akan mendakwa pula Charpenel merupakan tali barut atau perkakas yang digerakkan BN atau UMNO untuk mengaburi rakyat, seperti pernah mereka lakukan pada isu-isu lain yang tidak memihak kepada mereka.
Selama ini, Suaram dan pembangkang galak membuat perbicaraan sendiri di dalam portal-portal berita bagi mengelirukan rakyat, namun telah gagal. Mereka pastinya patah hati kerana rancangan mereka untuk memburuk-burukkan Malaysia rosak teruk, yang terdedah hanya keburukan mereka sendiri," kata beliau.

Perkara sama turut ditekankan Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli yang menyifatkan pendedahan Charpenel sebagai cerminan kepada sikap buruk pembangkang dan ketuanya, Anwar.
KOMEN : SAMPAI BILA KITA NAK BERTOLAK ANSUR DENGAN MEREKA YANG SUKA MENABUR FITNAH... JANGAN TUNGGU NEGARA HANCUR BARU NAK BERTINDAK...

Shahnon sedar hakikat perjuangan Pas - Dr. M


DARI UTUSAN MALAYSIA
10/10/12



KUALA LUMPUR 9 Okt. - Tindakan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad mempertikaikan perjuangan Pas yang kini bersama dengan DAP, menunjukkan parti itu telah tersasar jauh daripada menuntut penubuhan sebuah negara Islam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Sasterawan Negara tersebut telah sedar tentang hakikat Pas yang semakin tersasar daripada perjuangan menegakkan Islam gara-gara terlalu tunduk dengan kehendak DAP.

Menurutnya, Shahnon kini dapat melihat matlamat sebenar Pas dalam pakatan pembangkang.
Saya fikir Shahnon sudah sedar tentang apa yang Pas lakukan. Walaupun beliau tidak sihat, saya fikir Shahnon terpaksa nyatakan juga pendapatnya yang sebenar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sijil perkhidmatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan IJN Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari. Dr. Mahathir mengulas kenyataan Shahnon semalam tentang perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP.

Menurut Shahnon, tindakan Pas menuruti kehendak politik DAP bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuangkan Islam.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berupaya menarik sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

“Saya berpandangan bajet tersebut memang baik dan boleh meningkatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan," ujarnya.

Mengulas kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan beliau sebagai nyanyuk, Dr. Mahathir memberitahu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berhak untuk berkata apa sahaja.

KOMEN : SEBENARNYA DARI DULU LAGI DI BERJUANG MENGGUNAKAN LANDASAN YANG SALAH....

Thursday, 4 October 2012

MEMANG PENAKUT PUN

'Cakap tak serupa bikin'
DARI UTUSAN MALAYSIA
4/10/2012



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup ke Paris, Perancis ketika sesi perbahasan Bajet 2013 sedang berlangsung menunjukkan beliau seorang pemimpin penakut yang `bercakap tidak serupa bikin'.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir semasa Ketua Pembangkang itu berucap dituduhnya sebagai penakut sedangkan sebagai pemimpin kerajaan, sudah tentu Najib sibuk dengan pelbagai tugas rasmi.

Tegasnya, semasa memegang jawatan Menteri Kewangan juga Anwar jarang mendengar ucapan Ketua Pembangkang pada masa itu yang disandang Lim Kit Siang.

“Semasa memegang jawatan Menteri Kewangan dahulu sehingga menjadi Ketua Pembangkang sekarang pun jarang ada dalam Dewan Rakyat untuk mendengar Ahli Parlimen lain berbahas.

“Adakah Anwar pun begitu sibuk sehingga sanggup ke Paris semalam atau pun takut untuk berada di dalam Dewan Rakyat kerana bimbang diserang oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya yang juga wakil rakyat Bebas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar yang menuduh Najib yang juga Menteri Kewangan takut untuk berdepan dengan dirinya ketika membahaskan Bajet 2013 Isnin lalu tetapi pada masa sama semalam Ketua Pembangkang itu telah ke Perancis semasa sidang Dewan Rakyat masih berlangsung.

Ibrahim turut memperlekeh tindakan Anwar yang dilihat sentiasa takut untuk berhadapan dengan beliau khususnya di Parlimen.

“Yang saya tahu, apabila saya bangun berucap mesti Ketua Pembangkang itu akan bangun meninggalkan Dewan Rakyat sebab dia tahu Ibrahim Ali kawan lamanya ini tahu segala rahsia dirinya.
Cukup-cukuplah Anwar, insaflah. Berapa banyak lagi kamu hendak berbohong, memperlekeh dan memfitnah orang," ujarnya.

Sementara itu Ibrahim menjelaskan, ketika Anwar berucap membahaskan Bajet 2013, Perdana Menteri berada di pejabatnya dan sentiasa mendengar perbahasan itu melalui siaran langsung di televisyen.
Pegawai-pegawai pun akan mencatatkan segala perbahasan dan semua ucapan dalam Parlimen itu nanti akan diterbit dalam bentuk hansard.
Adakah itu juga menjadi masalah," ujarnya sinis.

KOMEN : PERUT SENDIRI PUN TAKUT NAK MENGAKU....

Ancaman IFC dan Pluralisme: Kita mudah lupa...



TIADA mana-mana makhluk hatta haiwan sekali pun akan duduk diam jika hak dan wilayahnya diganggu-gugat.

China sedang bengang dengan Jepun kerana negara matahari terbit itu menganggap sebuah pulau kecil, bernama Senkaku sebagai wilayahnya. China menamakan pulau itu sebagai Diaoyu.

Filipina juga menyebabkan China dan negara-negara lain termasuk Malaysia mengerut kening kerana menghantar 800 askar tambahan ke Pulau Pagasa dalam gugusan Kepulauan Spratly. Gugusan itu dituntut oleh beberapa negara di sekitar Laut China Selatan.

Kucing rumah saya akan meremang bulunya dengan sergahan marah jika kucing lain masuk ke rumah saya. Bagi binatang, garis teritorialnya ialah berdasarkan air kencing dan najisnya.

Begitu juga umat Islam jika agamanya dihina maka satu ummah dunia boleh bangkit.

Jadi tiada salah jika kita ingat mengingati supaya jangan ada pihak yang membawa isu-isu yang boleh mengganggu-gugat hak orang lain.

Tidak salah jika saya ingatkan umat Islam negara ini mengenai tuntutan-tuntutan cadangan penubuhan IFC atau Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) yang pernah dibangkitkan tidak lama dulu, tapi ditolak oleh kerajaan ini.

Oleh kerana kita ini mudah lupa, niat saya ialah sekadar mengingatkan kembali kerana tidak mustahil tuntutan-tuntutan itu akan menjadi realiti dan kenyataan jika kerajaan BN di bawah naungan UMNO ini jatuh dalam PRU-13 ini.

Dengan niat ikhlas untuk ingat-mengingati sesama kita, bacalah mengenai IFC, pluralisme dan tuntutan-tuntutan itu.

Gerakan Pluralisme Agama di Malaysia tidak dapat dilihat dengan jelas atau secara rasmi berbanding di Indonesia.

Di Indonesia, pada tanggal 28 Julai 2005, Majlis Ugama Islam Indonesia (MUI) menerbitkan fatwa yang melarang pluralisme. Dalam fatwa tersebut, pluralisme agama didefinisikan sebagai: “Suatu fahaman yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh menuntut bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah. Pluralisme juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup dan berdampingan di syurga".

MUI dengan jelas menyatakan bahawa pluralisme dalam konteks agama bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia ialah idea pluralisme agama ini berkembang melalui pendekatan secara tidak langsung. Ia boleh dilihat dalam beberapa isu yang mula timbul. Analoginya pada tahun 2001, timbulnya satu cadangan untuk menubuhkan IFC. IFC ini merupakan satu Suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya sebagai badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesuatu agama akibat desakan agama lain.

Suruhanjaya ini boleh berfungsi sebagai sebuah mahkamah atau satu badan berkanun seakan-akan satu badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menerima dan melayan aduan-aduan khususnya yang berkaitan dengan agama.

Penubuhan IFC ini dicadangkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) melalui memorandum mereka yang dihantar oleh Presiden MCCBCHS kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.

TERDAPAT 14 TUNTUTAN IFC:

1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
7. Orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggarakan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
9. Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10. Bible dalam bahasa Malaysia dan Indonesia sepatutnya dibenarkan kepada umum secara terbuka.
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
13. Orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

APA IMPLIKASI ANCAMAN IFC TERHADAP ISLAM?

1. Membuka ruang seluas-luasnya kepada orang bukan Islam mencampuri Hal Ehwal Agama Islam.
2. Menjadikan undang-undang Allah perlu tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta manusia yang jelas menjejaskan akidah.
3. Orang Islam bebas melakukan apa saja tanpa batasan.
4. Orang Islam bebas untuk murtad.
5. IFC berhak untuk menentukan status agama seseorang.

Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kita haruslah menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC.

Tiada satu pun agama di dunia ini yang sanggup menerima campur tangan oleh mereka yang bukan penganutnya.

Penubuhan IFC pastinya akan menimbulkan ketegangan antara agama yang bakal mengugat keselamatan negara.

Oleh kerana saya rakyat Malaysia dan beragama Islam, saya berhak mengingat-ingatkan semula ancaman ini kepada semua.

Orang tua-tua dulu pernah berpesan: Jangan bermain dengan api...


Sokong gubal segera Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum


DARI UTUSAN MALAYSIA
3/10/2012


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum wajar digubal dan dilaksanakan segera bagi memastikan kedaulatan negara dipertahankan dan terpelihara.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, sudah tiba masanya akta tersebut dilaksanakan agar kesejahteraan dan keamanan yang dibina sejak sekian lama tidak musnah ekoran campur tangan asing.

“Segelintir masyarakat hari ini semakin tinggi pengetahuan mereka, namun didapati semakin rendah moralnya, justeru akta ini perlu segera digubal bagi menyekat perilaku lebih buruk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah supaya Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum digubal segera bagi menyekat sebarang anasir negatif menyusup masuk ke negara ini dan meracuni pemikiran rakyat.

Jelas Azwanddin, akta itu perlu bagi menyekat campur tangan asing yang menggunakan medium media massa termasuk portal berita bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Sebelum ini beberapa pihak menyuarakan cadangan pembentukan Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum bagi menghalang cubaan anasir luar menghuru-harakan negara.

Tambah Kamaruddin, dengan adanya akta tersebut dan hukuman setimpal dapat dilaksanakan, sudah tentu tiada pihak berani melakukan perkara buruk berkenaan.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berpendapat, sifat kesetiaan kepada negara semakin terhakis dan lebih mengecewakan apabila ada pihak di dalam negara ini yang rela membantu merealisasikan usaha campur tangan asing.

“Campur tangan asing jelas merupakan satu ancaman kepada negara, maka amat penting akta ini digubal segera bagi menjamin keharmonian negara pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Insan Nasional (Kesan), Mohammad Afandy Yusof berkata, kewujudan akta berkenaan mampu melindungi Parlimen dari kehadiran tali barut pihak asing.

“Akta ini dapat menangkis niat jahat tali barut asing bertopengkan badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan hak kebebasan bersuara.

“Saya juga percaya akta ini dapat melindungi pemikiran rakyat daripada maklumat yang sudah dimanipulasi oleh media massa dan portal internet yang dibiayai oleh pihak asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohammad Afandy, beliau turut menyokong penuh cadangan daripada JMM agar akta itu digubal segera bagi memastikan tiada sebarang anasir negatif dapat menyusup masuk dan meracuni pemikiran rakyat.

Katanya, akta sedemikian terbukti berkesan apabila akta yang sama telah lama diguna pakai di Amerika Syarikat dan sekutunya yang mempunyai tujuan yang sama.

“Jadi, kita seharusnya mempunyai akta yang sama secepat mungkin bagi mempertahankan negara dari ancaman luar secara halus dan penyaluran dana pihak asing sebelum terlambat," katanya.


Wujudkan akta kawal dana asing




KUALA LUMPUR 2 Okt. - Kerajaan disaran menggubal satu undang-undang atau akta untuk mengawal kemasukan dana asing terutama melibatkan pemberian dana kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, menerusi akta berkenaan, semua NGO perlu mengisytiharkan penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, perkara itu telah diamalkan di Amerika Syarikat (AS) melalui Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA) dengan semua penerimaan dana luar oleh mana-mana pertubuhan perlu diisytiharkan kepada kerajaan.

''Saya katakan demikian sebab baru-baru ini timbul isu Suara Inisiatif Sdn. Bhd. terima dana asing dan menyalurkannya kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Mereka yang terlibat dalam Suaram pun ada dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

"Apa-apa pun hujah, mereka kata ini (terima dana asing) tak salah, kita tahu dana itu datang daripada beberapa agensi yang ada agenda politik.

''Kita lihat kebangkitan rakyat di Asia Barat atau 'Arab Springs', memang dalangnya daripada NGO asing. Ini kaedah atau strategi Central Intelligence Agency (CIA) dan Pentagon menggunakan kuasa ketiga iaitu NGO bantu Arab Springs," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, isu kemasukan dana asing yang mempunyai agenda politik perlu ditangani segera dengan penubuhan akta berkenaan.

''Jangan terlambat, bertindak sekarang. Jangan takut-takut. Ini untuk keselamatan negara dan bukannya untuk menyekat demokrasi. Tak boleh samakan dengan dana yang diterima kerajaan kerana dana itu diaudit dan ada laporannya.

''Dana asing lain itu dana sulit. Masuk ke dalam Suaram. Pihak yang menerima dana asing ini (yang ada agenda sulit), mereka tidak ada semangat patriotik," tegasnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya menyediakan imbuhan kepada NGO melalui bajet atau perbelanjaan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Kementerian Pelajaran menyiasat buku teks Harga Sebuah Lukisan untuk pelajar tingkatan tiga yang didapati menyelitkan nama surah palsu yang boleh mengelirukan pelajar Islam.

Mengenai Bajet 2013, Ibrahim meminta semua pihak khususnya pembangkang mengiktiraf kejayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.

''Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berhujah dan saya tak hairan sebab kerjanya membangkang. Tetapi isu ekonomi memerlukan kepakaran. Kita semua tahu sebelum Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Tun Razak) membentangkan bajet, ada dialog-dialog dengan golongan berkepentingan kemudiannya melibatkan agensi kerajaan dan pakar-pakar.

''Bajet tak digubal sekelip mata. Ini untuk rakyat," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menggesa mana-mana pihak yang menuduh bajet berkenaan hanya memberi faedah kepada kroni-kroni kerajaan supaya bertaubat.

''Bertaubatlah. Terutama yang menuduh sedemikian itu orang Islam. Sementara pintu taubat masih terbuka. Kita tahu apa hukum buat tuduhan, memfitnah. Bila nak insaf? Cukuplah, sudahlah.

''Tuhan dah beri peluang. Jangan tunggu peluang ketiga, nanti langsung tiada peluang (bertaubat)," jelasnya.


ORANG TAMAK SELALU RUGI...

Rampas tanah YBK tidak sah



SHAH ALAM 2 Okt. - Kerajaan negeri Selangor hari ini menerima tamparan apabila Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn. Bhd. (PYBK) untuk membatalkan keputusan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor merampas dan menolak bayaran cukai beberapa bidang tanah milik YBK.

Hakim Hadariah Syed Ismail membenarkan rayuan itu dengan kos RM20,000 selepas mendapati tindakan kerajaan negeri Selangor melucutkan hak ke atas empat blok tanah di Serendah, Rawang dan mengembalikan semula bayaran cukai kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah salah di sisi undang-undang dan terbatal.

Dalam rayuan tersebut, PYBK yang merupakan anak syarikat YBK, diwakili oleh peguam-peguam, Hasnal Rezua Merican dan Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor diwakili oleh peguam Edmund Bon.

Menurut Hasnal Rezua ketika dihubungi, mahkamah berpendapat keputusan Pentadbir Tanah tersebut adalah salah di sisi undang-undang kerana mengikut Seksyen 97 dan 98 Kanun Tanah Negara, entiti lain iaitu Yayasan Melaka boleh membuat pembayaran bagi pihak PYBK.

''Untuk tanah yang dilucut hak, mahkamah juga berpendapat keputusan Pentadbir Tanah itu adalah salah dan tanah tersebut perlu dikembalikan kepada YBK,'' kata beliau.

Isu melibatkan tanah YBK bermula dengan keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah sehingga keputusan terpaksa diambil untuk memindahkan projek tersebut ke Semujuk, Melaka.

Ini diikuti dengan tindakan memulangkan bayaran cukai tanah YBK berjumlah RM5.7 juta yang sebahagiannya dilunaskan dengan bantuan Yayasan Melaka dan tindakan merampas tanah berkenaan atas alasan pihak luar tidak boleh membuat bayaran bagi pihak YBK.

Pada 25 Mac 2010, PYBK turut menyaman kerajaan negeri Selangor dan dua lagi bagi menuntut ganti rugi RM73.8 juta kerana didakwa menyalah guna kuasa berhubung pembinaan kampus UiTM di Serendah.

PYBK selaku plaintif menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor dan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 23 April 2010, YBK mengemukakan saman terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri Selangor, Yaakob Sapari untuk menuntut ganti rugi setelah didakwa memfitnah yayasan itu dalam satu kenyataan media pada Februari tahun yang sama.

Dalam saman tersebut, YBK selaku plaintif pertama manakala PYBK dan pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom sebagai plaintif kedua dan ketiga.

 KOMEN : HAHAHAAA... HAKIM TU DAH KENA BAYAR... MESTI UMNO/BN PUNYA KERJA... SENDIRI TAMAK TAK SEDAR?



Tuesday, 2 October 2012

Anwar angkuh, tak bertolak ansur


Najib Tun Razak ditemani Koh Tsu Koon bersalaman dengan para perwakilan selepas perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai individu yang angkuh dan tidak boleh bertolak ansur sejak berada dalam kerajaan lagi.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, terdapat peristiwa semasa beliau masih merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendedahkan sikap negatif Anwar tersebut yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, peristiwa pada 1997 itu berhubung isu kekosongan jawatan Pengarah Pendidikan Negeri di Pulau Pinang.

"Pengarahnya bersara dan timbalan pengarah ketika itu sepatutnya mengisi kekosongan tersebut, tetapi kerajaan Pusat bertindak memilih calon yang lebih muda dengan alasan timbalan pengarah tersebut akan bersara dalam tempoh setahun setengah. Saya berpendapat ia tidak adil.

"Kebetulan ketika itu Anwar berada di Pulau Pinang dan saya berjumpa dengan beliau untuk berbincang mengenai isu tersebut. Bagaimanapun Anwar menegaskan saya tidak perlu campur tangan dan biar kerajaan Pusat menentukannya, saya diarah melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri sahaja," katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di sini hari ini. Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Tsu Koon, berikutan sikap angkuh Anwar tersebut beliau merujuk pula kepada Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berbincang dengannya, beliau akui ia tidak adil dan berjanji akan mengkajinya. Janji beliau ditunaikan kerana dalam masa empat hari sahaja timbalan pengarah tersebut dilantik ke jawatan pengarah.

"Selepas mengetahui perkara itu, Anwar menghubungi saya dan menegur tindakan membawa perkara tersebut kepada Najib. Beliau memarahi saya dan menghempas telefon di akhir percakapan, ini membuktikan sikap angkuh Anwar, tidak seperti Najib yang lebih bertolak ansur serta menepati janji," jelasnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas ucapannya, Tsu Koon memberitahu, tidak timbul isu dalaman berikutan tindakan sayap Pemuda parti tersebut tidak menghantar wakil untuk sesi perbahasan kerana nama yang dihantar ditolak Speaker.

"Kami demokratik, apa yang disuarakan Ketua Pemuda, Lim Si Pin dianggap suara orang muda.

"Orang muda ini mereka vokal dan agresif, kami faham situasinya kerana pucuk pimpinan sedia ada termasuk saya juga berasal daripada sayap Pemuda, tidak timbul isu wujud krisis dalaman," ujarnya.

KOMEN : TENGUK AIR MUKA PUN TAHU....

PM: Senjata pembangkang hanya kutuk, hasut dan janji


DARI UTUSAN MALAYSIA
1/10/2012




KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang di negara ini adalah pasukan yang tidak berkredibiliti kerana hanya bersandarkan kepada tiga senjata utama iaitu 'kutuk, hasut dan janji' dalam usaha memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri menegaskan, rakyat perlu berwaspada dengan tiga senjata pembangkang itu serta tidak termakan dengan agenda pembangkang kerana mereka tidak mampu mentadbir negara.

"Nak jadi pembangkang (dengan) tiga senjata iaitu kutuk, hasut dan janji.

"Kemudian mereka akan janji matahari, bulan, bintang sehingga ke galaksi, itu sahaja tiga senjata yang mereka ada," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di sini hari ini.

Menurut Najib, pembangkang juga tidak mampu menjadi pakatan yang baik kerana gagal memenuhi beberapa syarat asas dalam sesebuah sistem demokrasi berparlimen.

Antaranya, kata beliau, pembangkang tidak didaftarkan di bawah satu nama dan parti serta tidak mempunyai simbol yang sama bagi mewakili sesebuah pasukan.

Jelasnya, keadaan itu berbeza dengan parti-parti komponen BN yang diwakili simbol sama terutamanya ketika bertanding pada pilihan raya.

Selain itu, menurutnya, pembangkang sehingga kini gagal menampilkan senarai Kabinet Bayangan kerana takut berlaku percakaran dalaman antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pembangkang mempunyai pelbagai wajah, ada imej bulan, ada roket dan ada satu lagi entah nampak mata, 'a very funny looking' mata.

"Jadi simbol mereka tidak sama, kita tidak pasti sama ada mereka akan membentangkan manifesto yang sama," katanya.

Menurut Najib, percakaran itu amat jelas antara Pas dan DAP terutama dalam isu pelaksanaan hukum hudud yang menjadi aspirasi Pas manakala DAP pula konsisten menolaknya.

Selain itu, kata beliau, perbalahan antara DAP dan PKR juga ketara di Pulau Pinang apabila Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mansor Othman yang menggelarkan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sebagai seorang yang sombong, angkuh dan bersikap seperti dewa.

"Guan Eng cuba menguar-uarkan kredibiliti, akauntabiliti dan ketelusan atau CAT, timbalannya pula berkata tentang CAT 'cocky, arrogant and tokong' (berlagak, angkuh dan tokong),.

"Kemudian buat sidang akhbar depan Guan Eng, dia nafikan, tetapi apabila rakaman dikeluarkan, nyata dia telah berbohong kepada rakyat, saya tak perlu kata apa-apa lagi, kita tidak boleh mempunyai kerajaan yang menipu rakyat serta tidak melaksanakan janji," katanya.

KOMEN : KAMUS HARIAN MEREKA HANYA ADA 3 SENJATA... KUTUK, HASUT DAN JANJI ... KALAU TAK ADA 3 RAMUAN INI HIDUP MEREKA TAK AKAN TENANG... TEMBERANG BANYAK SANGAT...

Tekad rampas Pulau Pinang


NAJIB Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia 2012, di Menara PGRM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Gerakan memperbaharui semangat perjuangan parti itu terutama di Pulau Pinang bagi merampas kembali negeri tersebut daripada DAP.

Kata beliau, dengan cara itu Gerakan mampu membuktikan parti itu merupakan sebuah rakan kongsi yang baik dan berguna kepada Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Gerakan serta parti komponen BN yang lain tidak perlu takut memasuki gelanggang dan bertarung berhabis-habisan pada pilihan raya umum nanti demi memastikan kejayaan BN.

Jelasnya, usaha itu perlu disertakan dengan strategi yang baik serta kerja keras dan kerjasama di dalam parti serta dengan komponen BN lain.

"Cabaran bukan waktu kita senang, tetapi cabaran sebenar dan terbesar apabila kita bangkit ketika dalam keadaan tertekan dan itulah yang akan kita lakukan," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan, di sini hari ini.

Seruan Najib merangkap Pengerusi BN itu disambut dengan tepukan dan sorakan bersemangat kira-kira 1,800 perwakilan Gerakan yang hadir.

Katanya, usaha merampas kembali Pulau Pinang daripada DAP boleh dilakukan berdasarkan rekod cemerlang Gerakan dan BN memerintah negeri itu sebelum 2008.

Jelasnya, operasi pelbagai syarikat multinasional seperti Western Digital dan Motorola di negeri itu bermula semasa era pentadbiran BN manakala ada sesetengahnya berkembang secara kebetulan ketika negeri itu diperintah DAP selepas 2008.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan Pulau Pinang akan kembali ditadbir Gerakan sekiranya BN menang sekalipun jika strategi memerlukan calon UMNO ditampilkan melebihi calon Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita telah lama mempunyai persefahaman itu dan akan terus memegang kepada persefahaman tersebut," katanya.

KOMEN : ITU PUN KALAU ORANG P. PINANG DAH SERIKLAH... KALAU TAK LU FIKIRLAH SENDIRI?

Melayu sudah abai ajaran agama Islam sehingga tolak perpaduan


DARI UTUSAN MALAYSIA
1/10/2012



SHAH ALAM 30 Sept. - Orang Melayu di negara ini boleh disifatkan berada di persimpangan apabila mereka kini seolah-oleh sudah hilang jati diri sebagai seorang Muslim dan bangsa Melayu.

Pengerusi Yayasan Darul Hanan, Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ini dapat dilihat apabila umat Islam sendiri mengabaikan perkara tonggak dalam agama iaitu persaudaraan Islam.

Beliau berkata, umat Islam sering berpolemik sesama sendiri sehingga melupakan ajaran dan prinsip Islam yang sebenar dan memberikan pelbagai alasan untuk menolak perpaduan dalam kalangan orang Islam sendiri.

"Dengan orang Islam beri 1,001 alasan untuk tidak bersama dan penuh dengan prasangka serta prejudis sedangkan dengan bukan Islam yang jelas tidak pernah berubah malah konsisten menolak pelaksanaan hudud dan tolak negara Islam (boleh bersatu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk Bahaya Ketaksuban pada Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, terdapat di kalangan umat Islam yang mengkritik para pemimpin negara terdahulu dengan mengatakan mereka tidak Islamik sedangkan mereka telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Beliau berkata, keadaan berbeza berlaku kepada negara Islam yang lain seperti Turki sebelum ini yang mengamalkan sekularisme hingga menyaksikan agama Islam diporakperandakan.

"Di Tukri tidak ada subjek agama di sekolah dan universiti sedangkan 90 peratus penduduk adalah Islam. Begitu yang terjadi negara-negara lain seperti Algeria dan Maghribi," katanya.

Dalam hal ini beliau berkata, pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan gerakan untuk menggugat kedudukan Islam di negara ini termasuk melalui usaha memurtadkan orang Islam terutama selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan berlaku perpecahan besar di kalangan masyarakat Melayu.

Katanya, ini termasuk terdapat kumpulan Majlis Antara Agama (IFC) membuat tuntutan luar biasa hendak meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain.

"Mereka juga mahu meminda undang-undang berkaitan murta dan minta kementerian khas untuk agama lain dan meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang tidak perlu pertikaikan," katanya.

Beliau berkata, umat Islam harus mengelakkan diri daripada perpecahan dengan keadaan itu hanya menyebabkan segelintir pihak akan menjadi lebih berani termasuk membawa masuk penggiat-pengiat NGO ke dalam parti politik untuk memastikan tuntutan mereka boleh dilaksanakan.

Beliau turut memperbetulkan salah faham tentang konsep assabiyah apabila menyentuh tentang kepentingan orang Melayu di negara ini.

''Kecintaan terhadap bangsa bukan assabiyah tapi bila tolong puak kamu melakukan kezaliman itu baru assabiyah. Sedangkan kepentingan Allah pun kita bersifat apologetik sebab itu orang boleh perlekehkan Islam, ini kerana orang Islam tidak bersatu.

''Sepatutnya kenalah berpada-pada dalam berpolitik iaitu dalam memutuskan perkara membabitkan kepentingan umat Islam dan Perlembagaan Persekutuan mesti bersatu,'' katanya.

Beliau berkata, pihak yang sering mengatakan 'buat apa pun asal parti menang' itulah sebenarnya assabiyah.

''Orang UMNO sendiri malu cakap tentang orang Melayu sebab terlalu banyak tekanan. Assabiyah ini kalau pertahankan pemimpin bila melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan Islam,'' katanya.