DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuktikan keunggulan
sebagai jaguh kategori institusi pengajian tinggi (IPT) apabila membolot
gelaran juara dan naib juara Karnival Sepaktakraw Kebangsaan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-UiTM Ke-6 2012, kelmarin.
UiTM D (Mohd. Noorhakimi Marzukhi dan pelibas kebangsaan, Al Alhamidi
Ayob serta bekas pemain negara, Kamarudin Mat Arshad) berentap sengit
dalam tempoh 45 minit untuk menewaskan UiTM B (Mohd. Md. Rashid, Badri
Abdul Rahman, Fakarudin Mohamad Zain) 2-1 (17-15, 15-11, 15-13).
Mereka membawa pulang ganjaran kemenangan RM2,300, piala dan pingat
selepas perlawanan akhir di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, Selangor itu
yang turut disaksikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk
Abdul Rahman Palil dan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.
Inilah gelaran keempat kategori IPT karnival yang berjaya dikuasai
tuan rumah dengan mengatasi 23 regu lain, selepas 2008, 2009 dan tahun
lalu sementara Universiti Raja Mongkut dan Majlis Sukan Politeknik
meraihnya pada 2007 dan 2010.
Staf UiTM yang dibarisi bekas pemain negara bagaimanapun terlepas
peluang untuk meneruskan rentak cemerlang tuan rumah apabila disekat
dalam perlawanan akhir kategori Terbuka oleh Majlis Perbandaran Subang
Jaya (MPSJ) B 0-2.
Kejayaan regu Yussyairil Amir, Mohamad Arif Busu dan Mohd. Najib Iman
itu membolehkan mereka meraih RM1,500 selain piala dan pingat sementara
lawan, Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Zulhafizazudin Rosslan
memenangi RM1,000.
MPSJ memerlukan 50 minit untuk memastikan kejuaraan acara kemuncak
itu setelah menang 15-7, 15-10 manakala seperti diduga, Sekolah Sukan
Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pula membuktikan keunggulannya sebagai
jaguh peringkat sekolah dengan status sekolah projek sepaktakraw
nasionalnya.
SSTMI yang dibimbing bekas pemain negara, Ismail Atan menjuarai
kategori Bawah 15 dan 18 Tahun setelah masing-masing menewaskan Sekolah
Menengah Kebangsaan Seksyen 11 'C' dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan
(MSWP) 2-0 (15-11, 15-10) dan (15-10, 16-14).
Sebanyak 104 regu menyertai karnival selama tiga hari melibatkan
tujuh kategori ini iaitu 15 bagi Terbuka, 24 IPT, 14 Kampus UiTM, 16
Bawah 15, 15 Bawah 18, sembilan Wanita dan sembilan Media yang
menawarkan ganjaran kemenangan hampir RM20,000.
KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA...
1 comment:
SLM BRO...ALHAMDULLILAH UiTM JUGAK ADALAH JAGUH MAHASISWA DALAM MEMPERTAHAN KEMENANGAN ASPIRASI PELAJAR MENJADI LEBIH AGRESIF DAN MATANG UNTUK MENCORAK MASADEPAN YG LEBEY CEMERLANG!...YEZZEKKK
Post a Comment