DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012
SHAH ALAM 25 Sept. - i-Berhad, pemaju bandar pintar i-City dijangka
memperoleh pulangan pelaburan bagi taman tema airnya dalam tempoh tiga
tahun akan datang, selepas beroperasi mulai November ini.
Pengarahnya, Monica Ong berkata, syarikat telah melabur sebanyak RM25
juta bagi membina taman tema air, WaterWorld@i-City di atas tanah
berkeluasan 4 hektar.
"Kami sentiasa menawarkan pembaharuan bagi perniagaan liburan yang
merangkumi segmen api iaitu pameran lampu digital dan taman tema luar,
segmen ais (taman tema salji Snowalk) dan taman tema air, WaterWorld
bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung tarikan terbaru di i-City di sini hari ini.
WaterWorld@i-City merupakan satu-satunya taman tema air di rantau
Asia Tenggara yang menawarkan permainan air terkenal, Tornado Ride yang
dipelopori di Kanada sejak sembilan tahun lalu.
Tornado setinggi tujuh tingkat itu kini sudah lebih 80 peratus siap.
Menurut Monica, WaterWorld yang boleh menampung kira-kira 5,000
pengunjung pada satu-satu masa itu turut menawarkan jakuzi gergasi dan
pantai buatan dan skrin LCD bagi penganjuran konsert ataupun majlis.
WaterWorld dijangka beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 7 malam setiap hari.
Tambahnya, dengan pelancaran taman tema terbaru itu, Ong menjangkakan
bilangan pengunjung meningkat 30 peratus terutama pada waktu siang.
Ketika ini i-City berjaya menarik 90,000 pengunjung setiap minggu.
No comments:
Post a Comment