DARI UTUSAN MALAYSIA
3/9/2012
SHAH ALAM 2 Sept. - Pro-Canselor Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub menerima anugerah Tokoh
Sebaran Gemilang atas jasanya terhadap Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media (FKPM) universiti itu.
Beliau menerima anugerah tersebut pada Jamuan Makan Malam Home Coming
FKPM di Dewan Agong Tunku Canselor (DATC), UiTM yang dihadiri hampir
1,000 alumni fakulti tersebut di sini malam tadi.
Menurut Arshad, beliau berasa amat terharu dengan pemberian anugerah
tersebut malah ia adalah sesuatu yang sungguh bermakna kerana segala
perjuangan demi memastikan Mass Comm UiTM muncul sebagai program pengajian media terbaik di negara ini telah menjadi kenyataan.
''Alumni Mass Comm yang selesa saya panggil sebagai budak-budak Mass Comm
cukup dekat di hati saya. Setiap perkembangan dan peningkatan kerjaya
graduan fakulti tersebut terus saya ikuti sehingga kini," katanya dalam
ucapan penerimaan anugerah tersebut di sini.
Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar,
Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Adnan Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Mas,
Datuk Ibrahim Ali.
Arshad berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian para alumni
fakulti tersebut yang kini menjadi tokoh industri media, pendidik dan
ahli politik yang disegani.
''Saya akui mungkin sesetengah daripada anda kurang selesa atau tidak
gemar dengan kepimpinan saya kerana saya dikenali sebagai seorang yang
garang.
''Namun sebagai bapa yang menjadi ketua dan memimpin anak bangsa yang
serba kekurangan ketika itu, ketegasan dalam kepimpinan amat perlu agar
semuanya berjalan lancar," katanya.
Pada majlis sama, FKPM turut memberikan Anugerah Perintis Sebaran
kepada Dekan Sebaran Am yang pertama, Datin Marina Samad; dekan pertama
dalam kalangan alumni, Prof. Datuk Mohd.
Hamdan Adnan dan Ibrahim yang
merintis usaha menaiktaraf Institut Teknologi Mara (ITM) kepada UiTM.
Bagi melengkapkan sambutan ulang tahun ke-40 tahun FKPM, pihak penganjur telah melancarkan buku bertajuk Jejak Sebaran yang mencatatkan sejarah penubuhan fakulti tersebut sejak tahun 1972 sehingga kini.
KOMEN : JASAMU TETAP DIKENANG
No comments:
Post a Comment