DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012
KUALA LUMPUR 25 Sept. - Ahli Parlimen Pasir Mas,
Datuk Ibrahim Ali membidas tindakan pembangkang yang tidak menghormati
institusi Parlimen kerana mahu mengumumkan bajet mereka sebelum
pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, Jumaat ini.
Beliau yang juga wakil rakyat Bebas berkata, walaupun tindakan
pakatan pembangkang itu tidak menyalahi undang-undang atau mana-mana
peraturan tetapi dari segi moralnya, ia adalah perbuatan mengenepikan
hak kerajaan memerintah yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.
Sambil menyifatkan ia perbuatan terdesak pembangkang untuk mendapat
publisiti politik murahan, Ibrahim berkata, sejak pakatan itu diterajui
Datuk Seri Anwar Ibrahim pelbagai perkara mengarut telah dilakukan oleh
Ketua Pembangkang itu.
"Mengumumkan bajet rekaan sendiri sebelum bajet rasmi kerajaan
dibentangkan jelas menunjukkan tindakan terdesak pembangkang yang mahu
mencari publisiti murahan. Ini kerana mereka menyedari sokongan rakyat
semakin kukuh terhadap Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang
akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas mengenai rancangan pakatan pembangkang untuk membentangkan bajet mereka di Parlimen esok.
Ibrahim berkata, pembangkang bertindak demikian kerana bimbang Bajet
2013 yang akan diumumkan nanti mesra rakyat dan seterusnya memberi kesan
buruk kepada pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Sebab itu, pembangkang akan membentangkan bajet mereka terlebih
dahulu supaya sekiranya ada persamaan dengan Bajet 2013 nanti, sudah
pasti Anwar akan mendakwa kerajaan meniru dan mencedok idea mereka.
"Sebab itu, saya tegaskan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan
gimik politik murahan pembangkang kerana segala dilakukan itu sebenarnya
memberi kesan buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi turut
menjejaskan imej Malaysia di mata dunia," katanya.
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan
untuk meningkatkan pendapatan boleh guna oleh rakyat Malaysia dalam
Bajet Alternatif mereka yang diumumkan dua hari sebelum Barisan Nasional
(BN) membentangkan Bajet 2013.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
pendapatan boleh guna akan meningkat melalui penurunan harga kereta,
pemansuhan tol, dan pemansuhan pinjaman pelajaran, melalui bajet yang
dibentangkan beliau hari ini.
Anwar turut berkata, kerajaan PR akan berupaya untuk menampung
cadangan mereka itu tanpa meningkatkan kadar cukai, sebaliknya hanya
mengawal ketirisan yang meningkat sebagai akibat daripada gejala rasuah
dan ketidakcekapan.
“Kami akan memastikan polisi kerajaan PR lebih telus untuk
mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran kerana gejala rasuah,”
katanya sewaktu pembentangan Bajet Alternatif 2012 di sini.
“Kami juga akan memastikan proses pemberian kontrak kerajaan akan lebih telus melalui tender terbuka,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga menegaskan PR akan
membentangkan situasi ekonomi Malaysia yang lebih “realistik” tahun
hadapan, dengan saiz ekonomi Malaysia RM1,064 bilion dengan perkembangan
ekonomi pada 5.2 peratus, kadar inflasi tiga peratus dan bajet defisit
pada kadar 3.5 peratus.
“BN tidak pernah memenuhi ramalan ekonomi mereka. Mereka tidak jujur tentang angka,” katanya
“PR akan lebih jujur tentang angka dan akan menunjukkan cadangan ekonomi yang lebih realistik,” tambahnya.
Dalam Bajet Alternatif yang diumumkan hari ini, Anwar juga turut
mengumumkan akan memastikan Khazanah Nasional Berhad membayar RM2 bilion
kepada kerajaannya sekiranya mereka memerintah kerana syarikat milik
kerajaan itu tidak membayar sebarang dividen sejak ditubuhkan.
“1MDB akan dihapuskan supaya tidak bertindih dengan fungsi Khazanah.
Khazanah juga akan mula membayar RM2 bilion kepada kerajaan mulai tahun
depan sekiranya kami memerintah,” kata Penasihat Ekonomi Selangor itu
lagi.
Perdana Menteri (PM) juga dijangka akan membentangkan bajet kerajaan
Jumaat ini berkemungkinan menarik undi dan meletakkan harapan untuk
memenangi pilihan raya walaupun kadar hutang negara yang semakin
meningkat.
Pakar ekonomi berkata Najib akan melengahkan pembaharuan untuk
meluaskan dasar cukai Malaysia dan mengurangkan kebergantungan terhadap
simpanan minyak untuk sekurang-kurangnya setahun, dan mengumumkan
langkah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah yang bertarung dengan
kenaikan harga barang.
Anwar dan Najib dilihat menggunakan pendekatan populis untuk menarik
undi dalam pilihan raya yang dijangka paling sengit dalam sejarah tanah
air, dan kedua-duanya dilihat cuba untuk mengelakkan daripada
menjanjikan langkah perubahan drastik.
KOMEN : FIKIRLAH SENDIRI...
No comments:
Post a Comment