DARI UTUSAN MALAYSIA
17/9/2012
SIBU 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan semua pihak tidak lagi mempersoalkan isu-isu seperti kuasa
autonomi Sarawak dan perjanjian sewaktu penubuhan Malaysia.
Perdana Menteri berkata, ia memandangkan Kerajaan Pusat dan negeri
mempunyai persefahaman yang jitu dalam membangunkan negeri ini sehingga
mampu melakar pelbagai kejayaan seperti menarik pelaburan bernilai RM30
bilion di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Jelasnya, Kerajaan Pusat juga memenuhi hasrat negeri ini supaya SCORE
diberi keutamaan sehingga bekalan elektrik yang dijana Empangan Hidro
Elektrik Bakun dikhaskan kepada wilayah pembangunan itu dan rakyat
negeri ini walaupun perancangan awalnya dibekalkan ke Semenanjung.
"Apabila kerajaan negeri Sarawak kata mesti beri keutamaan kepada
pembangunan SCORE dan Sarawak, saya bersetuju serta-merta bahawa itu
mesti diterima dan dihormati oleh kita.
"Sebab itu tidak perlulah kita persoalkan soal autonomi, soal Sarawak
merdeka mengikut perjanjian kerana kita sudah ada persefahaman yang
amat jitu.
"Jika tidak, tidak mungkin Sarawak boleh berjaya, tidak mungkin boleh
tarik pelaburan RM30 bilion, tidak mungkin lancar Universiti Kolej
Teknologi Sarawak dan pelbagai lagi yang kita telah dan akan
laksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya
Aidilfitri di pekarangan Masjid An-Nur, di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua
Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Raghad Kurdi
Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Pada majlis dihadiri kira-kira 10,000 tetamu itu, Najib turut menyerahkan geran pemulihan Masjid An-Nur sebanyak RM1 juta.
Sementara itu, tambah beliau, rakyat negeri ini tidak memerlukan
pihak yang hanya 'sehari dua' ini membuat bermacam-macam pengisytiharan
mengenai masa depan Sarawak.
Katanya, perkongsian kuasa sedia ada melalui kerajaan Barisan
Nasional (BN) telah terbukti membawa pembangunan dan pembaharuan di
negeri itu.
"Kemakmuran negara dikongsi bersama dan kita juga memberi perhatian
kepada Sabah dan Sarawak supaya pembangunannya adalah saksama dengan
Semenanjung.
"Sebab itulah bila kita berjanji, kita hanya menjanjikan sesuatu yang
boleh ditunaikan, kita janji secara bertanggungjawab dan realistik dan
sebab itulah bila Sarawak merdeka dalam Malaysia, Sarawak telah
menjalani perubahan yang amat besar dan akan terus dibantu untuk
berkembang pesat lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment