Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 27 October 2011

PERKASA BUKAN PERTUALANG

Jangan takut kepada perjuangan Perkasa
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


ENTAH untuk ke berapa kali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali terpaksa membuat penjelasan mengenai peranan pertubuhan tersebut.

Sebelum ini Ibrahim sudah menjelaskan berkali-kali bahawa Perkasa bukan rasis atau bersikap perkauman, malahan Perkasa bukan wujud untuk memerangi mana-mana kaum.

Dan Perkasa juga tidak 'dilahirkan' bagi menyaingi mana-mana parti politik apatah lagi jauh sekali merebut kuasa politik.

Tetapi Perkasa seperti mana dijelaskan oleh Ibrahim ketika persidangan kedua pertubuhan itu semalam hanya akan bertindak sebagai benteng pertahanan negara daripada ancaman musuh yang cuba menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Perkasa ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan yang menunjangi kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

"Justeru, Perkasa tidak boleh dilihat sebagai sebuah pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman apabila ia hanya bertindak melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata," tegas Ibrahim.

Oleh itu, tidak perlu mana-mana lagi pihak cuba mempolitikkan apatah lagi bermain sentimen kononnya Perkasa adalah sebuah pertubuhan rasis.

Jika ada pihak yang membuat tanggapan sedemikian merekalah sebenarnya rasis kerana melihat dan menilai sesuatu itu melalui sudut perkauman.

Kalau mereka melihat Perkasa sebagai sebuah pertubuhan rasis, kenapa tafsiran yang sama tidak dilakukan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu lain yang memperjuangkan hak sesuatu kaum tertentu?

Kenapa perlu ada sikap 'double standard' apabila melihat sesuatu perkara berkaitan orang Melayu adalah rasis?

Justeru Perkasa tidak perlu ditakuti atau diperangi sebaliknya pertubuhan itu harus dibenarkan meneruskan perjuangannya demi mempertahankan apa yang sudah terkandung dalam Perlembagaan.

Ia kerana seperti mana tegas Ibrahim, Perkasa merupakan sebuah pertubuhan yang memangkin perpaduan rakyat di negara ini dan segala yang dilakukan adalah untuk mengelakkan wujudnya ketegangan antara kaum.

"Bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, mereka mesti terselamat daripada sebarang ancaman dan ganggu-gugat. Jadi, untuk terselamat daripada ancaman dan ganggu-gugat itu, kita semua perlu memelihara serta melindungi keluhuran undang-undang utama iaitu Perlembagaan Persekutuan.

"Itulah yang dilakukan oleh Perkasa selama ini. Perkasa bukan bersifat perkauman tetapi memangkin perpaduan di kalangan rakyat Malaysia," tegas beliau.

Justeru apa lagi jaminan yang dimahukan oleh pihak-pihak tertentu yang terus melihat seolah-olah Perkasa adalah musuh mereka?

Terimalah hakikat dan fakta bahawa Perkasa wujud dengan niat murni bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Malahan sepanjang kewujudannya Perkasa tidak pernah menyerang mana-mana pertubuhan yang mewakili kaum tertentu sebaliknya tetap menghormati mereka.

Oleh itu, mereka yang terus melihat Perkasa dari sudut negatif sebenarnya mempunyai agenda tersendiri, mungkin juga disebabkan bimbang kerana sudah wujud sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang cukup lantang seperti Perkasa.

Tambahan pula, dari semasa ke semasa, walaupun dikecam dengan pelbagai tuduhan dan menghadapi pelbagai tekanan Perkasa tidak pernah rasa tergugat atau goyah, malahan terus kukuh.

Ia terbukti apabila jumlah keahlian pertubuhan itu kini sudah mencecah 200,000 orang dan kehadiran ke majlis-majlis mereka juga semakin bertambah.

Apa yang menarik, Perkasa bukan sekadar mampu menarik generasi tua malahan juga golongan muda, ini dapat disaksikan ketika persidangan yang berlangsung semalam, apabila 7,000 orang menghadirinya.

Semua ini menjadi bukti bahawa Perkasa kini semakin berpengaruh dan niat murni perjuangannya semakin diterima oleh keseluruhan orang Melayu.

Namun semua itu bukanlah alasan bagi Perkasa untuk berasa angkuh sebaliknya Perkasa terus kekal di landasan perjuangan yang telah ditetapkan.

Bagi Perkasa, keahliannya terbuka kepada semua orang Melayu tidak kira apa pun fahaman politik mereka kerana matlamat pertubuhan itu ialah menyatukan orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, kewujudan Perkasa tidak harus dicemburui kerana sudah terbukti setakat ini pertubuhan berkenaan telah berjaya menyatukan orang Melayu.

Ini bersesuaian dengan seruan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mengingatkan orang Melayu supaya kembali bersatu untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Menurut Abdul Rahim yang menerima anugerah tertinggi Perkasa, penyatuan orang Melayu bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malah ia juga akan memberi rahmat kepada kaum lain yang hidup bersama di negara ini.

Berdasarkan semua fakta-fakta ini dan dengan jaminan tegas yang diberikan oleh Ibrahim, kehadiran Perkasa tidak perlu ditakuti atau dianggap 'mimpi ngeri' yang menakutkan.

Mereka yang takut atau memandang serong kepada Perkasa hakikatnya kelompok yang takut kepada bayang-bayang sendiri dan tidak mahu orang Melayu kembali bersatu.

Jika mereka tidak mempunyai niat sedemikian maka berhentilah melihat Perkasa dari sudut negatif kerana setakat ini sudah terbukti kewujudan pertubuhan berkenaan tidak pernah menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Ingatlah Perkasa bukan hantu atau jembalang tetapi pejuang.

KOMEN : PUAK-PUAK RASIS NI MANA BOLEH TENGUK ORANG MELAYU/ISLAM BERSATU PADU... WALAUPUN ADA PARTI TU MENGAKU MEMPERJUANGKAN ISLAM... BERDOSA BESAR KALAU MEMBIARKAN ORANG MELAYU/ISLAM BERSATU PADU DALAM PERPADUAN UMMAH BAGI MEMBELA AGAMA, BANGSA DAN NEGARA...

No comments: