Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 16 August 2011

Malaysia negara Islam terbaik


PENCINTA NEGARA MALAYSIA



SAYA adalah bekas Penduduk Tetap Malaysia, saya dan keluarga telah berhijrah ke Malaysia pada tahun 1974, pada ketika itu saya berumur kurang dari satu tahun.

Saya telah membesar dan bersekolah di Malaysia. Saya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu. Sepanjang hayat saya, saya hanya tahu saya adalah rakyat Malaysia, walaupun hakikat sebenarnya tidak. Pada umur 21 tahun iaitu pada tahun 1995 saya telah memohon kewarganegaraan, saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi warganegara.

Saya telah meminta banyak sokongan bermula dari guru sekolah, ketua kampung, wakil rakyat hinggalah kepada para menteri. Sudah banyak kali saya naik turun pejabat Kementerian Dalam Negeri semata-mata untuk membuat rayuan agar permohonan saya diterima.

Pernah juga saya ke pejabat kementerian pada ketika saya belum pun sembuh dari pembedahan.

Ramai pegawai-pegawai atasan di Kementerian Dalam Negeri yang telah saya jumpa kerana urusan rayuan saya ini. Malangnya dari tahun ke tahun, harapan saya untuk menjadi warganegara tidak menjadi kenyataan.

Seorang pegawai atasan di kementerian berkenaan yang pernah saya jumpa berkata kepada saya, mereka tidak hairan dengan sokongan-sokongan yang saya ada, hatta surat sokongan daripada Perdana Menteri sekali pun, kewarganegaraan Malaysia hanya diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja.

Saya merasa kecewa dengan kata-kata pegawai tersebut, sejak dari itu saya telah berhenti membuat rayuan.

Sehinggalah baru-baru ini setelah 37 tahun, saya telah dianugerahkan taraf kewarganegaraan oleh negara yang saya cintai ini.

Semasa mengangkat sumpah untuk menjadi warganegara kami disuruh taat kepada Agong dan setia kepada negara. Tidak ada satu pun elemen politik diselit dalam teks angkat sumpah tersebut.

Saya amat tidak setuju apabila ada sesetengah pihak di negara ini yang mengatakan betapa mudahnya untuk mendapat kewarganegaraan atas sebab-sebab politik.

Daripada pengalaman saya sendiri, sokongan ahli politik tidak memberi jaminan kejayaan permohonan warganegara. Pegawai-pegawai di kementerian juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah.

Saya menyanjung tinggi pendirian pegawai-pegawai ini walaupun saya pernah kecewa kerana permohonan saya ditolak.

Saya pasti tohmahan Mismah yang mendapat kewarganegaraan dalam masa 4 jam adalah tidak benar sama sekali.

Saya pasti dia juga mengharungi berbagai ranjau dan menunggu sekian lama untuk mendapatkan kewarganegaraan. Kesan daripada berita salah yang disebarkan, peribadi Mismah telah menjadi bahan kutukan di dalam blog-blog pembangkang.

Dalam keadaan ini Mismah berhak menyaman pihak terbabit kerana telah menyalahgunakan data peribadi beliau untuk kepentingan politik mereka.

Pada perhatian saya, sesetengah pihak di negara ini sangat suka membuat dakyah melulu tanpa menyiasat secara mendalam. Mereka ini sanggup membuat apa-apa saja cerita semata-mata untuk meraih sokongan dan menanam kebencian di hati rakyat terhadap kerajaan. Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka sebenarnya merugikan diri dan negara sendiri.

Bagi orang yang pernah tidak mempunyai negara seperti saya, kami lebih tahu menghargai negara Malaysia berbanding rakyat Malaysia sendiri.

Rakyat Malaysia dekad ini tidak pernah merasa sengsara akibat kemusnahan negara justeru mereka mengambil remeh tentang kepentingan kestabilan negara.

Tidak ada satu pun negara di dunia ini sebagus negara Malaysia. Walaupun berbagai cerita indah yang diceritakan mengenai negara luar, tetapi mereka tidak setanding dengan negara Malaysia yang tercinta ini.

Seorang pensyarah dari Pakistan di sebuah universiti pernah memberi tahu kepada kami di kelas, setelah beliau mengembara ke pelosok dunia, beliau tidak akan kemana-mana lagi, kerana Malaysia adalah negara Islam terbaik yang pernah dia menetap.

Sempena Bulan Kemerdekaan ini saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar cintailah negara ini. Jagalah negara kita ini sebaik mungkin kerana sekali kita kehilangan negara, kita tidak akan dapat kembali lagi.

Janganlah disebabkan politik kita sanggup merosakkan negara sendiri, politik seperti ini adalah politik kotor yang menghancurkan rakyat dan negara.

KOMEN : Jagalah negara kita ini sebaik mungkin kerana sekali kita kehilangan negara, kita tidak akan dapat kembali lagi.

No comments: