DARI UTUSAN MALAYSIA
KLANG 18 Jan. - Umat Islam di negeri ini kesal dengan tindakan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu yang bertindak mencampuri urusan agama Islam apabila mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik garis panduan larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan arak.
Seorang pekerja swasta, Mohamad Azmi Sadali, 32, berkata, Exco tersebut tidak sepatutnya mencampur aduk kepentingan politiknya dengan isu agama yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negeri ini.
''Ronnie bertindak seperti hero mahu menyelamatkan mata pencarian pekerja Islam yang bekerja di premis jualan arak tetapi adakah dia memahami soal hukum-hakam dalam Islam.
''Saya juga menjadi bingung dengan kerajaan negeri sekarang apabila sekejap kata tarik balik larangan dan selepas itu kata tidak ada larangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri yang dilaporkan telah mengarah MPSJ menarik balik larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan minuman keras.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bagaimanapun dilihat melindungi Exconya itu apabila menyatakan tiada sebarang penarikan balik larangan tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata, MPSJ sebenarnya hanya menyerahkan surat peringatan atau tatacara kepada para pemilik premis hiburan agar mereka tidak menggajikan pekerja Islam.
Kakitangan swasta, Firdaus Ismail, 27, pula menyifatkan tindakan Ronnie seperti mahu menghina agama Islam kerana arahannya supaya larangan itu ditarik balik seolah-olah beliau mempertahankan golongan pekerja yang terlibat dalam pekerjaan tidak halal.
Katanya, Ronnie sepatutnya tidak campur tangan dalam hal-hal berkaitan agama Islam sebaliknya perkara itu perlu diserahkan kepada pihak yang layak berbuat demikian.
''Mungkin dia sendiri keliru dengan larangan tersebut yang dilihat akan memberikan kerugian kepada pemilik premis hiburan terbabit," katanya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Muhamad Fahmi Muhamad Mujal, 28, pula berkata, isu larangan orang Islam bekerja di premis penjualan arak sebenarnya memperlihatkan kepincangan kepimpinan pakatan pembangkang yang sering kali menghadapi masalah berkaitan sensitiviti agama.
''Mengapa Ronnie pula beria-ia menunjukkan kuasanya sedangkan daripada laporan yang saya baca, garis panduan MPSJ itu ternyata memberikan kesan apabila 157 premis hiburan telah mematuhinya.
''Jadi apa masalah dengan garis panduan itu sehingga hendak dipertikaikan oleh Ronnie," katanya.
Dalam hal ini katanya, sebagai seorang Islam, dia berasa amat tercabar apabila Ronnie bertindak mencampuri urusan agama Islam.
''Orang Islam perlu buka mata dan berfikir pemimpin seperti inikah yang kita mahukan, asyik masuk campur tentang urusan agama Islam,'' katanya.
KOMEN : KITA KENA FAHAM AGENDA ORANG DAP NI NAK MEMECAHBELAHKAN ORANG MELAYU/ISLAM. SUPAYA ORANG MELAYU LALAI DAN SENANG DITINDAS DAN DIHINA. JADI JANGAN FIKIR BERKALI-KALI NAK AJAR PARTI DAP/PKR/PAS DI PRU AKAN DATANG. JANGAN UNDI MEREKA...FIKIRKANLAH MASA DEPAN ANAK-ANAK DAN CUCU KITA.
No comments:
Post a Comment