Oleh Zaini Hassan
KITA, di negara tersayang Malaysia ini tidak pernah menghadapi bencana kebangsaan (national disaster) sebegini besar magnitutnya.
Walaupun kita sudah merdeka selama hampir 60 tahun dan ke arah menjadi sebuah negara maju, sebenar-benarnya kita kena belajar banyak lagi.
Tidak dinafikan kita berjaya menangani isu-isu sensitif, seperti kegelisahan kaum 1969, namun kita masih mentah dalam menangani isu yang bakal menarik perhatian dunia sebegini.
Ini bukan kali pertama kita kehilangan pesawat MAS. Pada 1977 kita pernah hilang pesawat di Tanjung Kupang, Johor. Walaupun insidennya hampir serupa, tetapi environmennya berbeza.
Kehilangan MH370 ini lain daripada yang lain. Namun, kehilangan pesawat penerbangan akan terus berlaku dalam industri penerbangan di mana-mana sekalipun di dunia. Yang menarik perhatian semua pihak ialah bagaimana kita menangani krisis ini.
Dalam isu MH370, perhatian bukan sahaja kepada menangani aspek kemanusiaan, tetapi keseluruhan pentadbiran negara akan diperhatikan.
Bukan semua kritikan itu perlu dilihat secara negatif. Kita harus menerima hakikat, media luar tidak akan mengubah pendekatannya dalam apa suasana sekali pun. Mereka mengejar rating.
Sekiranya, insiden ini berlaku kepada negara lain, pendekatan CNN, Fox, BBC dan SkyTV tetap sama.
Setiap langkah kita akan diteliti dan dianalisis. Segala kelemahan kita akan menjadi bahan komentar mereka.
Dan komentar serta analisis itu akan membuatkan kita lebih tabah dan kuat jika kita melihatnya dari sudut yang lebih konstruktif.
Pada hari-hari pertama insiden ini, kita harus mengaku yang kita ada banyak kelemahan. Kita menggunakan analogi yang salah serta memberi maklumat yang tidak konsisten.
Satu sahaja yang menyelamatkan air muka kerana kita mempunyai seorang menteri berpendidikan undang-undang dari UK, yang berjaya menjawab soalan-soalan - berat dan provokatif - daripada media dunia.
Barangkali ini merupakan kali pertama Malaysia berada di bawah perhatian terus dunia, di sepanjang ingatan kita.
Kalaulah kita boleh bariskan kelemahan dan fakta yang tidak konsisten itu, saya percaya kita akan lebih baik pada masa akan datang.
Namun, biarlah kita jimatkan ruang ini untuk usaha-usaha lain. Saya tahu tumpuan kita kini harus difokuskan kepada pencarian pesawat itu. Kita buat post-mortem itu di lain masa.
Tapi ingat, kita tidak seharusnya mengabaikan pengajaran yang kita sedang lalui sekarang.
Apakah universiti kita tidak mengajar bagaimana mahu menyelongkar hard disc sehingga kena meminta pertolongan orang luar?
Apakah radar kita tidak cukup canggih dan orang yang mengendalikan tahu menganalisisnya dengan cekap?
Apakah aset kapal perang kita gagal belayar ke selatan Lautan Hindi kerana endurance yang terhad serta tidak dapat mengharungi lautan bergelora sehingga ke Force 12?
Endurance bermaksud jarak maksimum kapal boleh belayar dengan kapasiti minyak maksimum. Dalam hal ini KD Kasturi (corvette) dan kapal PV tidak mempunyai minyak mencukupi bagi pelayaran pergi dan balik, dan bagi melakukan pencarian di lautan yang sungguh mencabar.
Jarak dari Pelabuhan Tanjung Periuk, Indonesia ke lokasi pencarian adalah 2,250 batu nautika (bn). Pada kelajuan 15 knots ia mengambil masa 150 jam iaitu 6.25 hari. Pergi balik 13 hari. Tidak ada pelabuhan terdekat untuknya singgah mengisi minyak. Pelabuhan Freemantle adalah 1,850 bn. Di dalam keadaan laut bergelora, kelajuan perlu dikurangkan bagi mengurangkan dilambung ombak. Kalau kelajuan 12 knots, memakan masa hampir lapan hari.
TLDM sudah tentu berpendapat kapal tersebut tidak sesuai dioperasikan untuk operasi ini.
Namun Alhamdulillah, kita mempunyai aset KD Lekiu yang meneruskan operasi.
Kapal itu mempunyai endurance dan boleh tahan gelombang sehingga Force 12. Warganya pula telah diperlengkapkan dengan pakaian menahan sejuk.
Kita juga, Alhamdulillah telah menghantar pesawat TUDM C-130H untuk tugas SAR. Sekurang-kurangnya kita akan mempelajari sesuatu.
Jadi, pada pandangan saya semua apa yang berlaku ini terlalu banyak hikmah yang boleh kita pelajari. Banyak sangat kekurangan kita.
Ingatlah kuasa-kuasa besar dunia telah mengalami cabaran demi cabaran seumpamanya lebih awal daripada kita - dan terbabit dalam pelbagai peperangan. Itu pasal mereka hebat sekarang.
Di masa hadapan, jika kita mengambil semua daripada iktibar ini, kita akan menjadi sebuah negara dan bangsa yang lebih hebat, insya-Allah. #DoaMH370!
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140402/re_06/MH370-Terimalah-kritikan-secara-positif#ixzz2xh3WtOII © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment