Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 2 April 2014

MH370 - Mahkamah Chicago tolak publicity stunt - Oleh Salleh Buang

Monica Kelly dari firma guaman Amerika Syarikat, Ribbeck Law Chartered International menghadiri sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu, bagi mengumumkan yang firma itu telah memulakan prosiding undang-undang bernilai berjuta-juta dolar terhadap syarikat Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung kes kehilangan pesawat MH370. - AFP

BERITA terkini dari Chicago menyatakan prosiding mahkamah yang difailkan oleh firma guaman Ribbeck Law Chartered di bandar raya itu minggu lalu berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah pra-matang dan menyalahi peraturan.

Hakim Kathy Flanagan memutuskan pada Isnin lalu (31 Mac 2014) bahawa undang-undang hanya membenarkan kes seperti itu difailkan di mahkamah apabila identiti bakal defendan sudah pun dikenal pasti.

Hakim itu selanjutnya memarahi firma itu kerana memfailkan kesnya terlalu awal sebelum ada apa-apa keterangan kukuh dikumpulkan. Walaupun kapal terbang malang itu hilang pada 8 Mac lalu, hakikatnya sehingga kini usaha mencari dan menyelamatkan pesawat dan penumpang masih lagi belum menunjukkan apa-apa hasil.

Keputusan hakim ini disokong pelbagai pihak dalam kalangan pengamal undang-undang di bandar raya itu.

Robert Clifford, seorang peguam yang punyai pengalaman luas selama 30 tahun mewakili ahli keluarga mangsa nahas kapalterbang, menganggap perbuatan firma Ribbeck Law Chartered itu sebagai satu publicity stunt untuk mendapatkan manfaat bagi firma itu sahaja.

"Perbuatan seperti ini membuat kita semua (pengamal undang-undang) nampak buruk sekali di mata rakyat," tambah Clifford lagi.

Menurut Clifford, firma Ribbeck Law telah melakukan perkara yang sama pada tahun lalu selepas nahas pesawat Penerbangan 214 di San Francisco. Dalam kes itu, mahkamah telah juga menolak kes yang difailkan itu sebagai pra-matang.

Pakar litigasi penerbangan sependapat dengan Clifford. Walaupun tindakan memfailkan kes di mahkamah dengan maksud memelihara keterangan yang berkaitan itu adalah satu langkah yang amat penting, perbuatan memfailkan kes sebelum pesawat yang hilang itu ditemui adalah jumping the gun dan tidak wajar sama sekali.

Prof. Bruce Ottley dari De Paul University menyatakan bahawa tindakan memfailkan kes di peringkat awal memang menarik perhatian semua pihak. "Tetapi bila anda failkan kes anda sebelum ada kepastian penumpang kapal terbang itu telah meninggal dunia, itu adalah terlalu awal sekali".

AMARAN DIKENAKAN SEKATAN

Hakim Flanagan turut menyatakan dalam penghakiman empat halamannya bahawa firma Ribbeck telah memfailkan petisyen yang hampir serupa pada tahun lalu selepas peristiwa nahas kapal terbang di San Francisco dan Laos. Dalam semua kes itu, dia (Hakim Flanagan) telah menolaknya atas alasan yang sama - iaitu kes difailkan terlalu awal dan belum matang.

Kata Hakim Flanagan lagi, walaupun firma berkenaan telah diperintahkan jangan mengulangi perbuatan silam mereka, firma berkenaan masih degil melakukannya lagi dalam kes ini (petisyen berhubung penerbangan MH370), walaupun ia tahu belum ada asas untuk berbuat demikian.

Justeru, Hakim Flanagan memberi amaran kepada firma itu sekiranya ia meneruskan juga memfailkan kes sedemikian pada masa depan, mahkamah akan (impose sanctions) mengenakan hukuman terhadap firma tersebut.

PETISYEN PENZAHIRAN

Dalam dua kes yang difailkan oleh firma Ribbeck Law Chartered minggu lalu (di­sebutkan sebagai ‘petisyen penzahiran’) dua orang plaintif yang diwakili firma itu memohon mahkamah memerintahkan syarikat Boeing dan MAS menzahirkan beberapa perkara yang didakwa ada kaitannya dengan kehilangan pesawat MAS yang malang itu.

Perkembangan berikutnya menunjukkan bahawa salah seorang plaintif, bernama Januari Siregar, yang disebutkan sebagai bapa kandung penumpang Firman Chandra Siregar (24 tahun) yang hilang bersama pesawat MAS itu, ialah sebenarnya bapa saudara dan hubungannya dengan ahli keluarga lain pun tidak begitu mesra atau rapat. Seorang jurucakap bapa sebenar Firman Chandra memberitahu akhbar Chicago Tribune bahawa firma Ribbeck Law tidak diberi apa-apa kebenaran atau izin memfailkan kes bagi pihak keluarga mereka di Chicago.

Pada minggu lalu, seperti semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum, sepasukan peguam dari firma Ribbeck Law, diketuai Monica Kelly, sudah pun mendarat di lapangan terbang KLIA dan sejurus selepas itu telah membuat sidang akhbar menawarkan khidmat dan kepakaran firma itu kepada ahli keluarga penumpang yang hilang dalam pesawat MAS pada 8 Mac lalu.

Selesai bercakap dengan wakil media di Kuala Lumpur, mereka terus bergegas ke Beijing, pastinya dengan maksud mencari pelanggan dalam kalangan ahli keluarga penumpang China yang hilang bersama pesawat malang itu.

DAKWAAN MONICA KELLY

Semasa bercakap kepada pengamal media di Kuala Lumpur minggu lalu, Monica Kelly menyatakan bahawa sebagai peguam plaintif, mereka telah memohon dibekalkan dokumen berhubung reka bentuk dan kecacatan mekanikal serta tindakan yang diambil oleh syarikat Boeing dan MAS (defendan) yang mungkin menyebabkan nahas itu berlaku.

"Kita percaya kedua-dua defendan bertanggungjawab atas nahas MH370," katanya lagi.

Monica menjelaskan bahawa matlamat petisyen itu adalah meminta mahkamah memerintahkan Boeing menzahirkan identiti pembuat komponen kapal terbang malang itu, termasuklah komponen elektrik dan pendawaian, bateri, bekalan oksigen, dan sistem penggera api. Permohonan itu juga mahu dizahirkan identiti syarikat atau individu yang membuat pemeriksaan terakhir badan kapal terbang (fuselage) dan siapakah yang menjalankan penyenggaraan.

Petisyen itu juga meminta mahkamah memerintahkan MAS memberi maklumat sepenuhnya mengenai latihan yang diberi kepada anak kapal untuk menangani insiden nahas, amalan dan latihan keselamatan, serta penilaian anak kapal.

"Kita mesti cari kepastian apa yang menyebabkan nahas itu dan selanjutnya mendesak agar apa sahaja masalah yang ada kaitan dengan reka bentuk dan pembuatan pesawat itu segera diatasi agar nahas yang serupa tidak berlaku lagi di masa depan," tambah Monica.

Monica juga memaklumkan wartawan bahawa firmanya akan menamakan beberapa defendan lain dalam masa terdekat, termasuklah pereka (designers) dan pembuat bahagian-bahagian kapal terbang yang berkaitan.

Akhbar South China Morning Post minggu lalu ada memetik kata-kata Monica Kelly setelah dia selesai ditemubual warga media di negara itu. Kata peguam dari Chicago itu - "Our theory of the case is that there was a failure of the equipment in the cockpit that may have caused a fire that rendered the crew unconscious, or perhaps because of the defects in the fuselage, which had been reported before, there was some loss in the cabin pressure that also made the pilot and co-pilot unconscious."

Lalu Monica Kelly membuat kesimpulan - "That plane was actually a ghost plane for several hours until it ran out of fuel."

Kini setelah dua kesnya yang difailkan di mahkamah ditolak Hakim Flanagan, manakala dia sendiri telah ditegur oleh mahkamah, apakah Monica Kelly akan terus mempromosikan teorinya tanpa mengambil kira perasaan ahli keluarga penumpang pesawat malang MH370 di saat-saat begini? Sama-samalah kita tunggu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140402/re_01/Mahkamah-Chicago-tolak-ipublicity-stunti#ixzz2xh9k7nhP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: