Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 2 April 2014

MH370 - KD Lekiu sertai misi pencarian di Lautan Hindi

PEGAWAI Laksana KD Lekiu TLDM, Leftenan Komander Yusakmizal Mohd Yusuf (kanan) bersalaman dengan Komander Tentera Laut Diraja Australia, Brian Chase di Pangkalan Tentera Diraja Laut Australia, HMAS Stirling, Rockingham, Perth, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

ROCKINGHAM, Perth 1 April - Kapal Diraja KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) HMAS Stirling di sini semalam akan menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.

KD Lekiu yang berukuran 106 meter dan merupakan salah sebuah daripada dua aset dalam Skuadron Frigat Ke-23 TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak tiba pukul 9 pagi semalam selepas menempuh perjalanan selama 11 hari bermula 21 Mac lalu.

Mempunyai kekuatan sebanyak 160 anggota dan pegawai, KD Lekiu yang dipimpin Pegawai Pemerintahnya, Komander Jamsari Tahir akan menjalankan operasi mengesan pesawat MH370 di perairan Lautan Hindi sama ada pagi esok atau lusa.

"KD Lekiu akan menyertai operasi mencari di kawasan perairan yang terletak 1,000 kilometer dari timur laut Perth menggunakan aset serta kelengkapan yang kita miliki termasuk sebuah helikopter Super Lynx.

"Sepanjang operasi itu iaitu tiga hari perjalanan pergi balik ke pangkalan dan lapan hari operasi mencari, kami akan berkomunikasi dengan kapal RAN HMAS Success dan pusat kawalan kami di Lumut bagi mengetahui lokasi pergerakan kapal ini," kata Jamsari ketika ditemui pemberita Malaysia di HMAS Stirling di sini hari ini.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sebelum ini memberitahu, pasukan itu bersedia menggerakkan lebih banyak aset bagi membantu mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sebelum ini menggerakkan enam buah kapal dan tiga helikopter menyertai operasi pencarian di koridor selatan.

Jamsari berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi oleh kapal yang berkelajuan 28 knots ini adalah keadaan cuaca tidak menentu, ombak besar yang mampu mencecah ketinggian tujuh meter serta suhu yang sejuk.

"Bagaimanapun semua ini akan kami tempuhi dan semua anak kapal KD Lekiu memohon doa rakyat Malaysia untuk mempermudahkan usaha mencari serta mendoakan keselamatan semua anak kapal," katanya.

Ketibaan KD Lekiu menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu beberapa buah negara yang menyertai operasi mencari di Lautan Hindi yang diketuai pihak berkuasa Australia.

Sabtu lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar dua pesawat Hercules C-130 ke sini untuk menyertai operasi pencarian tersebut.

Selain KD Lekiu, Skuadron Frigat Ke-23 TLDM mempunyai sebuah lagi kapal iaitu KD Jebat. KD Lekiu merupakan aset moden dalam armada TLDM.

Kapal seberat 1,845 tan itu dilancarkan pada Disember 1994 dan dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jamsari memberitahu, pihaknya berharap mereka dapat memperoleh petunjuk terbaru bagi mengetahui lokasi di mana pesawat MAS itu berada.

"Kami sedar cabaran yang bakal ditempuh. Namun bagi saya dan anak kapal, semua cabaran itu harus dihadapi kerana tugas utama kami adalah mencari pesawat MH370 dalam apa jua keadaan," katanya sambil memberitahu ini merupakan kali pertama KD Lekiu menempuhi perjalanan di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi pencarian pesawat berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140402/dn_01/KD-Lekiu-sertai-misi-pencarian-di-Lautan-Hindi#ixzz2xgguzghD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: