Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
SAYA sempat berbual dengan seorang wartawan penyiaran dari SDTV, China, Steven Han baru-baru ini semasa semua petugas media berkampung di pekarangan pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook untuk membuat liputan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menurut Steven, dia ialah wartawan dari sebuah agensi yang bersifat neutral, iaitu menyiarkan laporan mengenai kehilangan pesawat itu secara `telus' tanpa sebarang unsur ketidakadilan kepada mana-mana pihak sama ada rakyat China atau Malaysia.
Namun Steven yang mendakwa dirinya tidak bias itu, tiba-tiba melontarkan satu persoalan kepada saya.
Soalannya: ``Kenapa Malaysia seolah-olah menyembunyikan sesuatu dan lambat memaklumkan kepada kami? (China).'
Saya tidak terkejut dengan soalan itu, kerana sudah mengagak bahawa soalan itu pasti akan keluar juga, sebaliknya dengan tenang saya menjawab: - "Steven, saya percaya anda mendapat maklumat yang salah daripada agensi berita luar negara (sambil menunjukkan ke arah petugas media asing yang lengkap dengan peralatan canggih untuk menghantar bahan ke pejabat masing-masing)."
Saya meneruskan hujah saya dengan penuh yakin kerana saya berasakan sedang mewakili Malaysia ketika itu untuk berdepan dengan tohmahan yang dilemparkan oleh media asing dan diambil bulat-bulat oleh media di China.
Saya terangkan kepadanya, semua laporan putar-belit yang kononnya kerajaan Malaysia cuba menyembunyikan fakta mengenai siasatan insiden kehilangan pesawat MH370 itu dicipta semata-mata untuk melihat Malaysia dan China bersengketa.
Maka tidak hairanlah, ramai pihak termasuk selebriti di China yang mengkritik dan menyalahkan kerajaan Malaysia berhubung pengendalian tragedi pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Kehilangan pesawat MH370 mencetuskan pelbagai reaksi dari China, antaranya kekurangan maklumat berhubung tragedi itu sehingga menerima kritikan pelbagai pihak di republik itu termasuk selebriti seperti Zhang Ziyi, Meng Fei, Ada Choi dan Chen Kun, yang juga mengugut untuk memboikot Malaysia dalam laman sosial.
Berbalik kepada pertemuan saya dengan Steven tadi, reaksi wartawan berusia lingkungan 30-an itu seolah-olah dia bersetuju dengan pendapat saya. Malah katanya, SDTV merupakan sebuah syarikat penyiaran yang tidak bersikap double-standard dan majikannya juga mengarahkannya supaya menghantar laporan yang adil sepanjang berada di Perth.
Steven masih sudi berbual dengan saya. Katanya, sebagai dua negara yang terlibat secara langsung dalam insiden itu, Malaysia dan China perlu sama-sama merungkai misteri kehilangan pesawat MAS tersebut.
Saya memberitahunya, itu sudah pasti. Saya memaklumkan bahawa Malaysia juga tidak mahu insiden seperti ini berlaku begitu juga China. Atas sebab itu juga kata saya, kita berdua dapat bertemu di Perth kerana sama-sama mahu merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut yang dianggap paling misteri di dunia.
"Steven, saya harap apa yang berlaku ini tidak menghalang hubungan baik antara kedua-dua negara kita. Saya juga bersimpati dengan nasib menimpa 152 penumpang negara anda.
Satu pesan saya, jangan percaya bulat-bulat pada laporan media asing. Kita berada di sini sekarang, jadi laporlah apa yang tepat kepada negara anda dan begitu juga saya akan lakukan," kata saya sebelum meminta diri untuk mencari bahan berita lain.
Cabaran seterusnya yang saya hadapi adalah selang dua hari kemudian iaitu ketika Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengadakan kunjungan rasmi ke pusat operasi mencari itu di Pangkalan RAAF Pearce.
Ketibaan Abbott pukul 8 pagi dimulakan dengan lawatannya ke pusat operasi tersebut selama kira-kira 45 minit sebelum sebahagian daripada media luar negara termasuk saya dan seorang wartawan RTM diberi kebenaran untuk membuat liputan sidang akhbar di dalam kem berkenaan.
Kami petugas media dibawa memasuki kawasan kem RAAF dengan kawalan ketat pasukan tentera sejauh kira-kira satu kilometer ke bilik khas.
Sebelum dibenarkan masuk, Ketua Skuadron RAAF Pearce, John Mc Court dengan tegas mengarahkan seorang wartawan wanita dari China supaya tidak menyertai sidang akhbar tersebut kerana keengganannya untuk meninggalkan kamera digital yang disandang.
Sebelum itu kami semua diberi taklimat supaya wartawan tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar sepanjang sesi sidang akhbar tersebut. Ini kerana jurugambar sudah diletakkan tanggungjawab itu dan hanya jurugambar dan jurukamera dari agensi AP serta ABC sahaja yang dibenarkan mengikuti rombongan Abbot ketika melawat pusat operasi di kem itu.
Kebanyakan petugas media Malaysia lain pula tidak menyertai sidang akhbar tersebut kerana menaiki dua buah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyertai operasi pencarian.
Semasa sidang akhbar itu, seorang wartawan dari CNN bertanyakan satu soalan, kenapa kerajaan Malaysia lambat memaklumkan tentang hasil pencarian pesawat ini dan seolah-olah cuba menyembunyikan fakta.
Dengan pantas Abbott menjawab, Malaysia tidak menyembunyikan sebarang fakta. Sebaliknya Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
Najib turut menunjukkan komitmennya dalam usaha mencari itu termasuk menghantar pasukan tentera yang kini menyertai operasi itu.
Sepasukan 50 anggota dan pegawai TUDM tiba Sabtu lalu menaiki dua pesawat Hercules C-130 manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba dengan kekuatan 160 anggota dan pegawai dengan kapal diraja KD Lekiu dua hari kemudian.
Sikap professional yang ditunjukkan oleh Abbott ketika menjawab soalan itu amat dipuji. Beliau cuba menafikan mainan fakta atau fact-spin yang cuba diolah dan dilakukan oleh media asing tersebut.
Sememangnya media asing ini, mempunyai agenda tertentu untuk memutarbelitkan kenyataan dan mujurlah pucuk pimpinan kita dan Kerajaan Australia matang dalam menangani situasi ini.
Andai kata saya dan RTM tidak dibawa masuk ke dalam sidang akhbar itu, entah apa sahaja yang akan dilaporkan oleh agensi berita asing dalam sidang akhbar tersebut.
Namun saya kagum dengan layanan yang diberikan oleh pihak berkuasa Australia termasuk RAAF. Sepanjang berkampung di luar kawasan tempat letak kereta di RAAF Pearce, kami diberi layanan yang begitu memuaskan.
Mereka profesional dan sudah semestinya petugas media juga perlu bertindak profesional.
Kepada pihak berkuasa dan kerajaan Australia, kesanggupan mereka membiayai dan menjadi ketua operasi pencarian di selatan Lautan Hindi ini amat dihargai dan saya masih teringat kata-kata Abbott bahawa, Australia berbangga kerana dapat membantu semua negara yang menyertai operasi ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140404/re_03/Antara-laporan-tepat-media-China-dan-Tony-Abbott#ixzz2xsVAw5HN © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment