Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 2 April 2014

FAM - JDT hanya didenda RM30,000

Damian Stewart turut hadir untuk memberi keterangan berhubung pendengaran kes Pablo Aimar dan Luciano Figueroa yang didakwa menghinanya.

PETALING JAYA - Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya dikenakan denda sebanyak RM30,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas 'insiden terowong' manakala tindakan ke atas individu yang didakwa terlibat dalam kejadian itu akan dibuat hanya selepas kes itu diputuskan oleh Peguam Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kes ini sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM, hasil siasatan polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jadi Jawatankuasa Tatatertib berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu-individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.

"Jawatankuasa Tatatertib akan membiarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dan jika pihak polis mengambil tindakan, kami akan mengambil langkah yang sama kerana kami boleh bangkitkan perkara ini dalam tempoh dua tahun.

"Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan apa hasil siasatan pihak polis kepada pihak media dan akan tunggu keputusan daripada mereka (polis)," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM selama hampir 11 jam, yang berlanjutan sehingga pukul 8.30 malam tadi.

Insiden terowong berlaku pada 1 Februari lalu ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dengan T-Team. Kejadian itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pihak pengurusan T-Team mendakwa pemain, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya, Stefano Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT dalam insiden itu.

Pihak pengurusan T-Team mengambil langkah untuk tidak meneruskan permainan babak kedua ekoran berasa keselamatan mereka terancam namun pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menolak alasan mereka dan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT.

Kedua-dua warga Brazil itu kemudian membuat laporan polis.

Susulan kejadian itu Jawatankuasa Tatatertib juga telah menghantar surat pertuduhan ke atas Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ) atas dakwaan cuai daripada segi kawalan ke­selamatan.

"Setelah perbincangan secara panjang lebar dengan pihak JDT, komisioner perlawanan, koordinator perlawanan dan pengadil, memang terdapat kelemahan daripada segi penyediaan keselamatan di laluan menuju bilik persalinan pemain.

"Perkara ini diakui sendiri oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd. Fahmy Yahya.

"Akibat daripada masalah keselamatan yang menjadi punca awal mengapa kekecohan itu tidak dapat dielakkan, JDT didenda sebanyak RM30,000 di bawah Peruntukkan 56.1 Kod Tatater­tib 2012 dan diberi amaran keras supaya kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.

Jelas Taufek, hukuman maksimum bagi kesalah­an itu adalah sebanyak RM100,000, dan JDT dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh tiga hari selepas mendapat surat pemberitahuan hukuman daripada FAM.

Sementara itu, dua pemain JDT yang didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan berunsur perkauman semasa menentang Pahang awal bulan lalu dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ednan Othman berkata, selepas meneliti bukti serta hujah yang dikemukakan, panel jawatankuasa sebulat suara memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dua pemain dari Argentina, Luciano Figueroa dan Pablo Aimar kerana tidak mempunyai bukti mencukupi.

Beliau berkata, kes berkenaan digugurkan akibat beberapa masalah teknikal termasuk mangsa iaitu pemain import Pahang, Damion Stewart membuat laporan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk memaklumkan kepada pengadil bertugas semasa perlawanan berlangsung.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 7 Februari lalu, Figrueroa dan Aimar didakwa menggunakan kata-kata penghinaan terhadap Stewart termasuk memanggilnya 'monkey' dan 'negro'.

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pula didenda RM10,000 bagi dua kesalahan melibatkan pembakaran dan melontar suar ke dalam Stadium Sela­yang pada 18 Januari lalu ketika pertemuan menentang ATM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140402/su_01/JDT-hanya-didenda-RM30000#ixzz2xgqOFHjF  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: