21 September 2015 12:23 AM
SEBASTIAN VETTEL mencium trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Singapura semalam. - AFP
SINGAPURA – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Singapura setelah mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pelumba pilihan utama Lewis Hamilton yang gagal menamatkan persaingan semalam.
Kejayaan Vettel itu sekali gus menghidupkan semula persaingan untuk memburu kejuaraan F1 musim ini, yang kini berbaki enam perlumbaan.
Pelumba kelahiran Jerman itu mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan dan menamatkan persaingan dengan masa dua jam, satu minit 22.118 saat dalam perlumbaan yang terganggu seketika oleh peminat yang berkeliaran di dalam trek.
Vettel melintasi garisan penamat untuk kemenangan ketiganya musim ini dengan berada 1.4 saat di hadapan naib juara Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.
Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menduduki tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga pelumba ini kekal di posisi sama sejak awal perlumbaan yang berlangsung di litar Marina Bay.
Pelumba Mercedes, Hamilton pula terpaksa berundur awal apabila jentera yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pertengahan perlumbaan, namun penyandang juara itu masih mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 252 mata.
Kejayaan Vettel bagaimanapun merapatkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan dengan berada lapan mata di belakang rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat keempat. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/vettel-hidupkan-persaingan-rebut-gelaran-formula-satu-1.138446#sthash.IYa2nj5u.dpuf
No comments:
Post a Comment