ZULKIFLI JALIL | 22 September 2015 1:19 AM
KERATAN akhbar Utusan Malaysia melaporkan kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.
ADAKAH himpunan haram Bersih 4.0 dan bermacam-macam fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan dalam setahun ini menjadi pukulan maut dalam penentuan pilihan raya kampus yang baru berakhir?
Kemenangan mengejut Pro-Aspirasi (prokerajaan) di tujuh universiti termasuk tiga yang tegar propembangkang, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka lembaran baharu senario politik kampus.
Ini kali pertama Pro-Aspirasi memecah rekod walaupun selepas 2006 secara keseluruhan mereka menang lebih banyak kerusi namun belum berjaya menguasai kampus-kampus utama seperti tiga yang tegar tadi.
Semasa melayari Facebook baru-baru ini, penulis terkesan dan tergamam seketika dengan ucapan seorang ketua Pro-Aspirasi yang hanya sempat dicatatkan dari Perak. Dia begitu berterus-terang dalam nada ungkapannya.
Dengan dijulang rakan-rakannya sambil menghadap sekumpulan penyokong propembangkang daripada Pro-Mahasiswa, dia dengan lantang menolak pembabitan gaya politik pembangkang ke dalam kampus seluruh universiti di negara ini. Antaranya, yang sempat penulis catatkan adalah penolakannya terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Video berdurasi seminit dua yang mendapat ribuan ‘like’ jelas memperlihatkan mahasiswa sudah bosan dengan politik sepanjang masa pembangkang. Tempias daripada politik nasional berjangkit di kampus mendorong mahasiswa kumpulan majoriti senyap dan yang tidak aktif berpersatuan untuk tiba-tiba keluar mengundi sebagai bantahan kepada agenda pembangkang.
Hal ini tidak dijangka langsung oleh kumpulan Pro-Mahasiswa yang mengandaikan orang muda menyokong pelbagai kritikan dan penghinaan kepada pemimpin kerajaan.
Dalam menganalisis kemenangan Pro-Aspirasi, komen Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek kepada Bernama semalam, boleh dijadikan rumusan. Kata Abdul Halim, mahasiswa sentiasa menjadi pemerhati kepada kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.
“Usaha kerajaan seperti memperkenalkan Baucar Buku 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan beberapa langkah lain menjadi pemangkin kepada kemenangan Pro-Aspirasi.
“Mahasiswa memahami usaha kerajaan yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membantu mahasiswa. Kemenangan Pro-Aspirasi adalah satu berita yang baik,” kata beliau.
Prof. Madya Dr. Sarjit Singh Gill dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merujuk kepada konflik dalaman pakatan pembangkang antara punca utama kejatuhan kumpulan Pro-Mahasiswa.
Biar apa pun analisis dan rumusannya, keputusan pilihan raya kampus terbaharu ini adalah cerminan kepada sikap mahasiswa berpolitik. Kematangan berpolitik mereka sebelum ini yang diragui barangkali berpunca daripada seorang dua individu yang cuba menonjolkan diri, mahu menjadi hero, lantas mengambil jalan singkat menjadikan pembangkang sebagai ikon mereka.
Ini boleh dibuat carian Internet dalam demonstrasi semasa perhimpunan Blackout 505, Bersih 1.0, 2.0 3.0, apabila pelajar universiti turut dipergunakan untuk menjayakan agenda licik mencalar imej kerajaan.
Mahasiswa menjadi golongan majoriti semasa himpunan-himpunan tajaan pembangkang dan pentohmah tegar kerajaan sebelum ini. Mereka menjadi pihak yang mengibarkan bendera alternatif selain Jalur Gemilang menjelang detik 12 malam Hari Kemerdekaan ke-55 dan ke-56.
Apa lagi dengan munculnya ‘hero pandir mahasiswa’ dari UPSI waktu itu yang seolah-olah menjadi klon kepada seorang lagi pemimpin kerajaan yang dipecat, menyebabkan segelintir mahasiswa meronta-ronta mahu melupakan tugas hakiki mereka sebagai pelajar di kampus.
Sudahlah pengajian si polan dari UPSI ini diberikan subsidi oleh kerajaan, bersekolah di sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan jika diamati dia sendiri bakal mendapat laluan mudah sebagai seorang guru apabila tamat belajar tanpa perlu menjadi seorang penganggur dalam masa yang lama.
Tetapi ini tidak ada dalam kamus hidupnya. Yang ada hanya cercaan dan herdikan terhadap kerajaan yang menjadi makanannya untuk disuap kepada rakan-rakan penyokongnya di universiti. Darah muda yang meluap-luap hanya untuk menjadi hero muda jalanan mengakibatkannya tercicir dalam pengajian.
Politik kampus yang menghirup nafas baharu dengan kemenangan Pro-Aspirasi akan memadamkan imej mahasiswa yang terpekik terlolong di jalanan seperti yang dipertontonkan aktivis propembangkang seperti Hishamuddin Rais dan seorang budak hingusan dari UPSI tadi.
Kita tidak mahu timbul gerakan melibatkan seorang anak muda bernama Sondang Hutagalung, seorang mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) yang pernah menggemparkan republik Indonesia. Sondang membakar dirinya di hadapan istana Presiden Susilo Bambang Yudhiyono sebagai protes terhadap pemerintahan yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat. Selepas dirinya terbakar, Sondang dibawa ke hospital dan akhirnya meninggal dunia pada 10 Disember 2011.
Sondang mungkin mengorbankan dirinya sebagai isyarat kepada mahasiswa dan masyarakat Indonesia agar lebih tegas menolak ketirisan dan rasuah dalam pemerintahan kerajaan. Namun masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut.
Dan mahasiswa di Malaysia diyakini penulis tidak sampai ke tahap itu kerana kaedah diplomasi masih ada untuk digunakan dan masih boleh membuatkan pucuk pimpinan negara ‘panas punggung’.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/pandir-jalanan-di-lenyapkan-1.138933#sthash.dLMSJUYo.dpuf
No comments:
Post a Comment